Rakan Kami

Wednesday, January 21, 2009

Sukarelawan satu kepuasan?

Oleh : MOHD HISHAM ABDUL RAFAR
Sumber : KOSMO! Online

Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misi-misi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng.

JIKA diminta menawarkan diri untuk melakukan kerja sukarela, pasti ramai yang akan berfikir panjang. Apa tidaknya, tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran, dan kerap kali tiada penghargaan.

Namun ramai juga individu seperti Shahriman Abdul Rahman, 37, anggota sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Salam Malaysia merasakan kerja sebagai sukarelawan memberikan kepuasan kepadanya.

Pekerja kilang di Mentakab, Pahang itu menganggotai Yayasan Salam sejak tahun 2000 kerana merasakan kerja sukarelawan adalah satu perkara terbaik yang pernah dilakukannya untuk membantu insan yang memerlukan.

"Pelbagai program telah saya ikuti dan terbaru ialah mengikuti misi kemanusiaan ke Kemboja anjuran Yayasan Salam dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Veteran Kedah.
"Sepanjang berada di sana, kami dapat melihat dan merasai kesusahan masyarakat Islam di Kratie, Kemboja. Melihat itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh sekarang," katanya.

Kata-kata Shahriman turut disokong rakannya, Diana Syafiza Said, 26, yang berpendapat kerja sukarelawan mampu melatih dirinya menghargai setiap pemberian yang dikurniakan.
"Kini, saya lebih bersyukur kerana kalau kita fikir kita susah, masih ada orang lain yang lebih susah. Saya berminat menjadi sukarelawan sebab ia memberi kepuasan kepada saya, selain minat saya untuk membantu orang yang memerlukan," katanya yang bekerja sebagai Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur.

Cabaran menjadi sukarelawan

Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misi-misi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng. Shahriman juga berpendapat, dalam menjalankan kerja kebajikan atau sukarela, cabaran mental dan fizikal, amat diperlukan.

"Kita harus mempunyai keyakinan diri, selain sihat untuk menjalankan kerja sukarela ini. Misalnya, ketika kejadian tsunami di Aceh, kami memerlukan sepenuh kudrat untuk mengangkat mayat," katanya.

Bagi Diana Syafiza pula, sebagai seorang wanita, beliau tetap bersemangat melakukan tugasnya walaupun menuntut pengorbanan yang tinggi daripada segi tenaga, wang dan masa, selain terdedah kepada bahaya dan risiko penyakit.

"Apa yang penting, kita harus tabah dan berani untuk melakukan tugas ini. Bukan semua orang mampu membuatnya. Menyertai badan sukarela bukan bertujuan makan angin atau melancong.
"Tanggapan itu tidak boleh ada sama sekali. Kita kena ikhlas dengan apa yang kita nak buat. Barulah apa yang kita buat diberkati," katanya.

Kos menjadi cabaran

Seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Salam. Datuk Ahmad A. Talib berkata, kos dan dana adalah cabaran utama bagi menjayakan sesuatu misi kemanusiaan.

"Apa yang menjadi masalah ialah kos. Kami mengharapkan ada individu atau badan-badan korporat bermurah hati untuk membantu. Bagi individu, pihak kami akan mengeluarkan resit yang membolehkan mereka mendapat rebat cukai pendapatan.

"Seperti contohnya, pembinaan masjid di Kampung Praksandai, Tropengbeang, dan Tanaksawai di wilayah Kratie, Kemboja yang mana setiap satunya memerlukan perbelanjaan hampir RM63,000. Tetapi buat masa ini, kami hanya mampu membantu setakat RM10,000 sahaja," katanya.

Sementara itu, Presiden MAYC Veteran Kedah, Fazilah Ismail pula berkata, MAYC Veteran hanya wujud di Kedah.

"Di negeri-negeri lain, masih belum ada. Tujuan kami adalah membantu bekas aktivis masyarakat yang berumur kerana selepas bersara menjadi aktivis, mereka ini seolah-olah dilupakan.

"Untuk itu, kami akan membantu setakat yang mampu," katanya sambil memberitahu Yayasan Salam dan MAYC Veteran Kedah saling bekerjasama bagi membantu mereka yang ditimpa kesusahan termasuk melaksanakan projek kemanusiaan.

Misi kemanusiaan

Bagi Yayasan Salam, misi kemanusiaan adalah misi utama yang sentiasa diberi perhatian penuh.
Ahmad berkata, sekiranya tidak mempunyai dana sekalipun untuk membantu, yayasan itu akan tetap digerakkan untuk membantu sekadar yang boleh terutama daripada segi tenaga dan kepakaran.

Semasa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu, Yayasan Salam melancarkan Tabung Bencana Bukit Antarabangsa bagi membantu penduduk yang terlibat.
Sebagai sebuah pertubuhan yang tidak mengaut keuntungan, membantu rakyat negara ini yang ditimpa bencana adalah keutamaan.

"Kami tidak mahu dilihat seperti menganaktirikan penduduk tempatan apabila kami menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain. Kami lebih mementingkan bantuan kepada mereka yang susah di negara sendiri. Kemudian barulah kami fikirkan untuk membantu penduduk luar seperti di Somalia dan Pakistan, " katanya. - Bernama

No comments: