Rakan Kami

Sunday, January 11, 2009

Majlis Kesyukuran & Ceramah Maal Hijrah 1430H


Maal Hijrah menjelma lagi. Tahun ini kita menyambut Maal Hijrah kali 1430. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sama ada peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun kawasan. Bandar Seberang Jaya yang menjadi lokasi utama SMART juga tidak terkecuali mengadakan sambutan Maal Hijrah ini. Hasil inisiatif dan usaha Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah dan Majlis Perpaduan & Kebajikan Rakyat Negeri Pulau Pinang, majlis sambutan tersebut telah berlangsung dengan jaya di perkarangan Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah. Majlis dimulakan dengan pendaftaran para tetamu dan hidangan makan malam disamping aluan lagu-lagu nasyid yang memuji kebesaran Illahi. Selepas solat Isyak, para tetamu telah dijemput untuk memenuhkan ruangan hadapan kerana penceramah jemputan telah tiba. Pengerusi Majlis seterusnya memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Baqarah oleh pelajar sekolah agama rakyat yang dijemput khas oleh pengelola. Pelajar terbabit baru berusia lapan tahun. Walaupun agak gementar ketika memperdengarkan bacaan Al-Quran, namun ketekunannya perlu menjadi inspirasi kepada para remaja hari ini [sila tonton video dibawah].


Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput YB Datuk Arif Shah Hj. Omar Shah untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapan, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan dalam menjayakan majlis yang diadakan. Beliau juga mengingatkan mengenai sikap kita sebagai hamba Allah yang perlu redha dengan segala yang berlaku dan dalam masa yang sama memuhasabahkan diri. Muhasabah diri ini tidak hanya dalam tempoh masa tertentu sahaja tetapi perlu diteruskan dari semasa ke semasa demi kebaikkan diri pada masa hadapan. Beliau juga dalam masa yang sama memaklumkan kepada para tetamu, sekiranya mempunyai masalah berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mereka boleh terus berhubung dengan beliau kerana beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pihak Berkuasa Tempatan.

Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput penceramah yang diundang khas, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hassan untuk menyampaikan ceramah. Menurut penceramah, tahun baharu Hijriah bermula selepas masuknya waktu maghrib dan menjadi amalan sunat untuk seseorang itu berdoa untuk akhir tahun iaitu selepas asar dan berdoa untuk awal tahun selepas maghrib. Meneruskan sesi ceramah tersebut, beliau menceritakan mengenai peristiwa sebelum zaman Hijrah. Pada masa itu, Nabi Muhammad SAW telah dipulau, dihina, dimaki dan diseksa dari segi fizikal dan mental. Ini termasuk juga para sahabat Baginda seperti Bilal Bin Rabah, Yasser dan lain-lain lagi. Selain dari itu, Baginda juga pernah diberikan rasuah oleh kaum jahilliah supaya berhenti berdakwah. Antaranya menjadi raja, diberikan kekayaan dan harta benda malah mereka juga menawarkan perempuan-perempuan yang cantik. Namun, semuanya itu ditolak mentah-mentah oleh Baginda.

Memandangkan segala usaha itu tidak berkesan, mereka berjumpa dengan Baginda dan mencabar Baginda dengan beberapa perkara sekiranya inginkan mereka memeluk Islam dan keluar dari agama nenek moyang mereka. Antara cabaran mereka ialah meminta supaya Baginda mengeluarkan mata air, menyediakan ladang kurma, menurunkan langit berkeping-keping ke atas mereka seperti mana diancamkan kepada mereka dan membawa Allah dan malaikat bersemuka dengan mereka. Segala tuntutan dan cabaran yang diberikan oleh mereka kepada Baginda tidak dapat ditunaikan kerana Baginda hanyalah utusan Allah SWT.

Akhirnya, satu mesyuarat kabilah tergempar telah diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, iblis menyertainya dengan menjelmakan diri sebagai salah seorang ahli kabilah tersebut. Dalam mesyuarat tersebut, mereka mencadangkan beberapa perkara untuk memusahkan Baginda. Antara cadangan mereka ialah membuang daerah, memenjarakan Baginda dan akhir sekali membunuh Baginda. Cadangan yang pertama dan kedua telah dibantah oleh iblis laknatullah. Akhirnya cadangan membunuh Baginda telah diterima dengan sebulat suara. Mereka kemudiannya mencaturkan strategi untuk membunuh Baginda. Malam yang telah dirancangkan, mereka telah bersedia untuk membunuh Baginda namun Baginda sedar akan hal tersebut. Penceramah kemudiannya bertanya kepada para tetamu akan usaha Baginda untuk mengelakkan diri dari dibunuh. Menurut penceramah, Baginda telah membaca ayat kesembilan dari Surah Yassin iaitu:

WAJA’ALNAA MIMBAINI AIDIIHIM SADDAU WAMIN KHALFIHIM SADDAM FA AGH SYAINAAHUM FAHUM LAA YUBSIRUUN

Penceramah mengajak para tetamu mengamalkan ayat ini ketika berada didalam kesusahan mahupun kesulitan. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkatinya.

Menurut penceramah, kejayaan Nabi Muhammad SAW seringkali menjadi rujukan orang ramai diseluruh dunia. Pun begitu, sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang mampu menandingi kehebatan Baginda. Kenapa Baginda berjaya? Itu persoalan yang dikemukakan oleh penceramah. Terdapat tiga faktor utama kejayaan Baginda iaitu:

Pertama – Keperibadian dan perwatakkan yang sempurna. Baginda diberikan gelaran Al-Amin iaitu amat dipercayai.

Kedua – Akhlak dan tingkahlaku yang terpuji. Sekiranya berada di dalam halaqah (bulatan) ketika berbincang, Baginda tidak akan keluar halaqah tersebut sebelum para sahabat. Apabila bersalam, biarlah orang menarik tangan dulu sebelum kita dan apabila bersalam, tengok mata orang terbabit. Didalam masyarakat, Baginda juga amat mengasihani orang fakir, orang susah dan orang sakit.

Dalam waktu ini, penceramah membuat jenaka. Beliau menyatakan sekiranya seseorang bersalam tanpa melihat mata, itu bermaksud orang itu sombong atau membela hantu raya. Diwaktu ini para tetamu gelak dengan gelagat penceramah.

Ketiga – Kebijaksanaan dalam tindakan. Ini membolehkan kejayaan Baginda dalam setiap tindakan yang diambil.

Penceramah juga menyatakan bahawa beliau banyak terlibat dalam kes-kes membabitkan perceraian suami isteri. Menurut beliau, orang lelaki mempunyai sikap yang paling buruk iaitu EGO & PANTANG DICABAR manakala orang perempuan pula amat pantang apabila di KRITIK & PUJI. Ini merupakan tips yang berguna untuk mereka yang bakal mendirikan rumah tangga mahupun untuk mereka yang ingin mengecapi kebahagiaan dalam berumah tangga.

Majlis tamat pada jam 10.30 malam selepas YB Datuk Arif Shah menyampaikan cenderahati kepada mereka yang terlibat. SMART melalui Unit Kebajikan dan Sosial mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah kerana telah menjemput kami ke majlis ilmu yang telah diadakan. Harapan kami agar majlis-majlis seperti ini diteruskan pada masa depan demi pembangunan diri dan sahsiah rakyat dikawasan sekitar.

Disediakan oleh: Unit Kebajikan dan Sosial, SMART

No comments: