Rakan Kami

Tuesday, April 8, 2008

Program Anti Dadah dan Anti Rokok Peringkat Sekolah Menengah

Oleh: Unit Pendidikan dan Komuniti, SMART

Pada 19 Mac 2008, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah, Permatang Pauh, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah tersebut telah menjemput Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang untuk mengadakan sesi ceramah, bengkel dan pameran. Pusat Racun Negara juga menjemput En. Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas dan Penyelaras SMART yang merupakan kakitangan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kehadiran En. Abdul Harris adalah untuk membantu Pusat Racun Negara dalam sesi pameran dan bengkel.


Sesi dimulakan dengan penyampaian ceramah mengenai bahaya tabiat merokok kepada pelajar-pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Sesi ceramah tersebut telah disampaikan oleh Pn. Sulastri Samsudin, Ketua Unit Pendidikan dan Pencegahan, Pusat Racun Negara. Sesi yang memakan masa hampir 1 jam 30 minit itu mengajak para pelajar mengenali apa itu rokok dan bahan-bahan yang terkandung didalam sebatang rokok. Sesi yang menggunakan paparan salid powerpoint ditambah dengan beberapa fakta terkini menunjukkan situasi sebenar perokok terutama sekali golongan remaja amnya. Dalam pada masa yang sama, penceramah juga mengemukakan beberapa soalan dari slaid-slaid ceramah beliau. Bagi pelajar yang berjaya menjawab soalan-soalan yang dikemukan, mereka diberikan hadiah sebagai tanda saguhati dan keprihatinan mereka memberikan perhatian sepanjang sesi ceramah dijalankan. Sesi ceramah ini selesai pada jam 10.30 pagi dan para pelajar yang terlibat dibenarkan keluar berehat.

Pn. Lee Chu Goik, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMKSG kemudiannya menjemput dan mengiringi rombongan ke kantin untuk minum pagi sebelum sesi seterusnya dijalankan. Semasa para pelajar yang mengikuti sesi ceramah berehat dan ahli rombongan menjamu selera, para pelajar dari tingkatan-tingkatan lain terlibat dalam sesi pameran yang diadakan. Antara bahan-bahan pameran yang disediakan oleh Pusat Racun Negara ialah poster-poster berkaitan rokok, dadah, daun ketum dan inhalan. Selain itu, contoh rekabentuk kotak rokok baru yang mengandungi pelbagai amaran bahaya merokok turut juga dipamerkan dan tidak lupa juga beberapa risalah berkaitan rokok, dadah, daun ketum dan inhalan turut sama dibawa.

Pada jam 11.15 pagi, sesi seterusnya dijalankan iaitu sesi bengkel. Dalam sesi bengkel ini, seramai 60 orang pelajar dipilih dari pelbagai tingkatan yang telah dikenalpasti berisiko tinggi terlibat dengan masalah merokok. Sesi bengkel ini dikendalikan oleh Profesor Madya Razak Haji Lajis, Pengarah Pusat Racun Negara. Sesi ini dimulakan dengan tayangan beberapa video berkaitan bahaya tabiat merokok dan penipuan syarikat tembakau yang berusaha menarik perhatian remaja untuk merokok. Terdapat juga beberapa video yang benar-benar menarik perhatian para pelajar. Ini membuktikan bahawa para pelajar terbabit mengambil perhatian dan peka dengan isi kandungan video terbabit. Selepas tayangan video terbabit, Prof. Madya Razak berbincang dengan para pelajar mengenai maksud tersirat setiap video yang ditayangkan.

Sesi bengkel diteruskan dengan latihan dalam kumpulan (LDK). LDK ini dijalankan supaya para pelajar tidak merasa bosan dan dalam masa yang sama untuk mengetahui adakah mereka masih mengingati apa yang telah disampaikan semasa sesi ceramah yang diadakan tadi. Sebelum LDK ini dimulakan, para pelajar telah dipecahkan kepada dua kumpulan besar. Kumpulan pertama dikenali sebagai Faxtor manakala kumpulan kedua dikenali sebagai Condition Zero. Dalam LDK ini, setiap kumpulan perlu meneka perkataan yang berkaitan dengan kandungan rokok dan kesan-kesan tabiat merokok. Setiap ruangan perkataan ini dikosongkan. Kumpulan-kumpulan tersebut perlu meneka abjad yang terkandung didalam ruangan kosong tersebut. Sekiranya kumpulan tersebut memilih abjad, maka bahagian-bahagian tubuh badan orang lidi akan dilukis (seperti kepala, badan, tangan, kaki, mata, hidung dan mulut) dan berada dalam posisi tergantung. Andainya lukisan orang lidi ini sempurna sifatnya, maka kumpulan tersebut kalah.

Setiap kumpulan diberikan tiga pusing yang mana setiap perkataan yang dikosongkan itu disediakan oleh Prof. Madya Razak. Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti sesi ceramah yang dijalankan pada awal pagi tadi, agak mudah untuk meneka perkataan tersebut. Dari sesi permainan ini (pada awalnya), kelihatan kedua-dua belah pihak agak pasif dan kurang memberikan kerjasama. Dalam pusingan pertama, kumpulan Condition Zero telah memenangi pusingan tersebut. Masuk sahaja pusingan kedua, kedua-dua kumpulan kelihatan agak agresif dengan persaingan untuk menang. Pun begitu, nasib menyebelahi Condition Zero. Dalam pusingan ketiga, kedua-dua kumpulan diberikan peluang untuk mencabar kumpulan lawan dengan memberikan soalan-soalan berkaitan kesan bahan-bahan khayal sama ada rokok, dadah, inhalan mahupun daun ketum. Dalam pusingan kali ini, giliran kumpulan Faxtor memenanginya. Namun begitu, kemenangan keseluruhan dimenangi oleh kumpulan Condition Zero.

Aktiviti LDK diteruskan lagi dengan aktiviti penyediaan poster kumpulan. Untuk aktiviti kali ini, setiap kumpulan perlu mempunyai 10 orang ahli sahaja. Para pelajar diberikan masa selama 5 minit untuk memilih dan membentuk kumpulan. Di akhir masa yang ditetapkan, enam kumpulan berjaya dibentuk. Setiap kumpulan kemudiannya diberikan beberapa naskah surat khabar. Tugas setiap ahli kumpulan ialah mencari dan menggunting berita-berita berkaitan gejala dan masalah sosial didalam surat khabar terbabit. Mereka kemudiannya perlu melekatkan keratan-keratan berita terbabit diatas kad manila yang telah disediakan. Poster-poster mereka ini kemudiannya akan dinilai berdasarkan kesesuaian keratan berita, kreativiti susunan dan gaya persembahan kumpulan. Masa yang diperuntukkan ialah 1 jam 30 minit. Pn. Sulastri dan En. Abdul Harris ditugaskan untuk membantu kumpulan-kumpulan untuk menyiapkan tugasan mereka.

Selesaikan masa yang diberikan, setiap kumpulan perlu berhenti dan membersihkan hasil poster dan sampah-sarap yang terdapat disekeliling mereka. Panel juri terdiri daripada pasukan Pn. Lee Chu Goik. Melalui aktiviti LDK ini, para pelajar didedahkan dengan cara dan gaya komunikasi, teknik percambahan fikiran, cara persembahan dan akhir sekali semangat kerjasama antara ahli kumpulan. Bagi setiap kumpulan yang berani dan berjaya membentangkan hasil poster kumpulan, mereka diberikan hadiah saguhati yang disediakan oleh Pusat Racun Negara. Di akhir aktiviti dan penilaian, kumpulan Impak Maksima telah dinobatkan sebagai pemenang manakala Ketua Kumpulannya dinobatkan sebagai Ketua Kumpulan Terbaik.

Di akhir sesi, pihak sekolah telah menyampaikan cenderahati kepada Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengarah, Pusat Racun Negara sebagai wakil kepada semua ahli rombongan manakala pihak Pusat Racun Negara yang diwakili oleh Pn. Sulastri menyampaian cenderahati sebab tanda penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah. Program tamat pada jam 1.00 petang.