Rakan Kami

Tuesday, December 9, 2008

Minda Tazkirah - Perjuangan Baru Perjalanan Berliku

Oleh: Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas & Penyelaras SMART

Bismillahhirrahmannirrahim.
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,


Mutiara Muqqadimah:

Sebaik-baik manusia ialah manusia yang menyinari manusia lain. Kekayaan anda hendaklah melimpah kepada manusia lain yang memerlukan, barulah dikatakan sebaik-baik manusia! (Ustaz Akhil Hayy Rawa)


Alhamdunillah. Bertemu kita sekali lagi dalam ruangan Minda Tazkirah yang merupakan salah satu medium penulisan saya untuk mengetengahkan idea dan padangan saya berkaitan isu semasa lebih-lebih lagi berkaitan remaja dan belia. Sebelum saya mulakan nukilan saya ini, marilah kita bersama-sama mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab dan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Al-Fatihah.


Tidak beberapa lama lagi kita akan meninggalkan tahun 2008 dan juga tahun Hijrah 1429. Bagaikan seketika sahaja kita berada di tahun 2008/1429H. Dalam tidak kita sedari, pelbagai pengalaman dan perjalanan telah kita tempuhi untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan kita sebagai seorang insan di muka bumi ini. Adakalanya pengalaman itu amat manis untuk dilupakan dan adakalanya kita ingin lupakan segala pengalaman pahit yang menyelubungi diri kita. Tidak dinafikan, ramai di kalangan kita yang seringkali lupa dan alpa dari segala kejadian yang berlaku sejak-sejak akhir ini. Perjuangan yang dimulakan dengan penuh berkobar-kobar tetapi akhirnya padam secara perlahan-lahan. Apakah sebabnya? Adakah kita bersalah dalam hal ini? Atau kita hanya mangsa keadaan yang rasuk meragut segala hak-hak kita?


Realiti, itulah perjuangan kita hari ini yang seringkali kita tidak sedari. Kita sedang berjuang. Berjuang untuk memajukan diri sendiri, agama, bangsa, negara dan keluarga. Walhal, ada dikalangan rakan-rakan kita yang lebih suka membuang masa tanpa faedah. Bak kata orang Ngori, “mengabeskan boras jo!”. Kalau dulu, isu mat-mat rempit menjadi topik utama didada-dada akhbar dan kini, isu remaja-remaja dengan tarian shuffle pula. Sempat saya menonton drama FRONTPAGE yang disiarkan di NTV7. Menarik drama tersebut. Sudahlah menggunakan bahasa Inggeris yang mudah difahami malah secara tidak langsung kita mengetahui kerjaya sebagai seorang wartawan. Salah satu episod ialah berkisarkan masalah remaja-remaja shuffle yang sering bergaduh dengan remaja-remaja rock. Pergaduhan sering berlaku walaupun masalah kecil. Sehinggalah satu hari, salah seorang remaja dari kumpulan shuffle telah terbunuh pada malam hari.


Maunya tak mengamuk kumpulan remaja shuffle tu! Sasaran utama mereka ialah kumpulan remaja rock yang memang anti sangat-sangat dengan kumpulan shuffle ini. Realitinya, mereka tidak tahu kisah sebenar. Kematian kawan mereka bukanlah disebabkan oleh pergaduhan tetapi disebabkan oleh overdose najis dadah. Itupun selepas dirungkai oleh Jehan Miskin yang memegang watak Dylan. Sukar bukan? Apabila dua gajah sedang bertembung, pasti akan ada haiwan lain yang mengambil kesempatan. Rakan mereka yang mati tu bukanlah seorang drug addict tetapi dia telah dianiaya. Pusher dadah sememangnya tidak berpuas hati kerana mereka sering melepak dikawasan perniagaannya sehinggakan pelanggannya takut untuk berurusan jual beli dadah. Lantas, dianiaya budak tu. Saya yang menonton kisah terbabit rasa agak kesian kerana tiba-tiba sahaja seorang remaja boleh menjadi mangsa keadaan. Tapi saya tertanya-tanya juga, kenapa remaja terbabit berada diluar rumah pada pukul 1-2 pagi? Bukan itu bahaya dan mencari bala namanya?


Berkaitan isu budak-budak shuffle seperti yang dipaparkan dalam Harian Metro beberapa minggu lalu. Lokasinya di Bukit Bintang. Dah menjadi seperti parti liar kumpulan shuffle nie. Majoritinya anak-anak Melayu kita sendiri. Seringkali diadakan battle antara kumpulan. Battle secara sihat sememangnya tidak salah tetapi dalam battle terbabit, terselit minuman keras (arak) dan pergaulan bebas sehinggakan wujudnya perhubungan bukan muhrim. Lebih teruk, mana-mana kumpulan yang kalah cukup sukar mengakui kekalahannya sehinggakan melibatkan pergaduhan yang besar. Cuba bayangkan. Bukit Bintang. Lokasi utama tumpuan pelancong. Jangan salah pelancong apabila mereka menyatakan Malaysia mempunyai ramai pengganas. Realitinya memang ada ramai pengganas. Pengganas kecil yang bermaharajalela tanpa memikirkan maruah diri, agama, negara dan keluarga!


Saya bukanlah penentang kumpulan shuffle malah saya sendiri agak tertarik dengan tarian shuffle ini. Pergerakkannya seperti kita berlari setempat. Secara tidak langsung dapat menyihatkan tubuh badan dan ‘mengaktifkan’ jantung kita. Latihan perlu dijalankan dengan konsisten, barulah rentak tarian dan pergerakkan kita tidak sumbang. Namun begitu, aktiviti yang boleh dikatakan sebagai perjuangan baru seringkali dirosakkan oleh mereka yang rata-rata seperti tidak bertamadun. Aktiviti yang sah dan halal secara tidak langsung akan diharamkan pada satu hari nanti. Ini semua gara-gara masalah sosial yang menyelit dicelah-celah hiburan sihat.


Dalam SMART sendiri, kita mempunyai beberapa orang Pelatih dan Fasilitator yang terlibat dalam kumpulan-kumpulan shuffle. Pun begitu, pemerhatian dan seliaan dijalankan dari semasa ke semasa. Ini adalah untuk memastikan mereka tidak menyimpang dan tersasar jauh dari landasan yang telah ditetapkan. Selagi aktiviti tersebut merupakan aktiviti yang sihat dan memberikan faedah, SMART akan terus memberikan sokongan 100%.


Perjuangan kumpulan-kumpulan shuffle masih lagi baru dan perjalanan mereka di masa hadapan akan lebih berliku sekiranya masalah-masalah sosial sering membelenggu mereka. Sebagai remaja yang semakin lanjut usia, saya menyarankan agar kumpulan-kumpulan shuffle ini berusaha mengukuhkan pergerakkan mereka secara sah dan berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan mahupun NGO dalam memastikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak.


Wassalam.