Rakan Kami

Friday, July 24, 2009

Realiti dan Cabaran Fasilitator

Akhirnya, selesai jugak Kursus Pra Fasilitator buat kali kelima.Aku pun dah selamat sampai ke KL tepat jam 4.30 pagi di Plaza Rakyat. KPF kali ni memang mencabar mental dan fizikal. Buat mereka yang tak tahan, pasti akan menyerah kalah. Kursus ini telah diadakan selama 4 hari 3 malam di Monkey Beach atau lebih dikenali sebagai Teluk Duyung. Lokasinya terletak dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.

Sepanjang program ini berlangsung, peserta diberi tunjuk ajar peraturan-peraturan menjadi seorang fasilitator dan diberi pendedahan tentang cara-cara hidup di dalam hutan serta cara menyelamatkan mangsa jika di timpa kemalangan.

Penyelaras SMART, Saudara Abd. Haris telah memberi taklimat kepada peserta semasa berada di chekpoint pertama di Sg Tukun.

Kursus kali ini merupakan kursus yang terbaik yang pernah aku cover, kerana kali ini aku dapat cover full dari hari pertama sehingga hari keempat iaitu hari terakhir. Dan aku rasa seronok kerana dapat menjalankan tanggungjwab aku sebagai official photographer untuk KPF kali ni. Terima Kasih SMART dan terima kasih kepada Pusat Racun Negara.

So,hope korang semua enjoy dengan hasil aku yang tak seberapa ni. Sebarang komen amat di alu-alukan untuk memantapkan lagi hasil kerja aku.

Sekian, terima kasih.
Hasil nukilan : nasrulhakeem (http://nasrulhakeem.cemetion.com/)

Tuesday, February 17, 2009

Lawatan Ke Baitul Ummul

Pada 27 Januari 2009 (Selasa), saya dan Syazwan mengambil keputusan untuk menghabiskan cuti mingguan kami dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menghilangkan rasa bosan disamping mencari peluang untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti SMART nanti. Beberapa hari sebelum itu, saya berkesempatan bermesej dengan Abang Anuar yang merupakan seorang aktivis yang aktif dalam hal-hal berkaitan agama, persekitaran dan masyarakat. Dalam mesej tersebut, saya bertanyakan mengenai rumah anak-anak yatim yang dibangunkan oleh beliau dan sahabatnya. Menurut beliau, rumah anak-anak tersebut terletak di kawasan Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor. Hmm..memang saya tahu sangat kawasan tersebut kerana salah seorang Fasilitator Kor tinggal disana. Menurut Abang Anuar lagi, rumah tersebut diuruskan oleh Salman. Salman juga pernah terlibat bersama-sama kami dalam program dakwah bersama orang-orang asli di Kuala Mu, Perak beberapa tahun lalu. Peluang yang ada tidak saya lepaskan begitu sahaja. Lantas, perancangan dibetuk bersama-sama Syazwan.

Memandangkan tahun baru, SMART mempunyai lebihan sumber kewangan termasuklah baki keuntungan program-program perkhemahan terdahulu dan wang pengurusan. Saya mencadangkan kepada Syazwan untuk menyediakan sedikit jamuan semasa kami berada di rumah anak-anak yatim kelak dengan menggunakan wang tersebut. Syazwan bersetuju. Dalam masa yang sama, saya menghubungi Marliyana yang merupakan mentor Syazwan. Marliyana berminat untuk membantu. Selepas pulang dari pejabat, Marliyana menghubungi saya untuk membeli barang-barang keperluan dan penyediaan jamuan. Kami membeli belah di Tesco Seberang Jaya. Antara barangan yang dibeli termasuklah bihun, kicap, sos dan sebagainya. Kami kemudiannya ke pasar malam di Kubang Semang. Disana, kami membeli udang, sayur-sayuran, bawang goreng dan telur. Lebih kurang pukul 9.00 malam, kami pulang. Syazwan pula sudah siap sedia menunggu saya dengan kuali ibunya. Memang banyak kerja yang perlu lakukan pada malam itu.

Agihan kerja dimulakan. Bermula dengan membersihkan sayur-sayuran sehinggalah membersihkan udang yang telah dibeli. Lebih kurang pukul 2.00 pagi, baru selesai segala kerja. Syazwan minta diri untuk pulang ke rumah. Memang Syazwan kelihatan letih kerana petang itu dia menghadiri latihan bola sepak di sekolah. Pun begitu, bukan bermakna tugas-tugas menyediakan jamuan sudah selesai. Mata saya masih belum letih. Dan tak rasa mengantuk pun. Dari membuang masa, saya terus menyediakan bahan-bahan untuk dimasak. Bihun segara direndam untuk dilembutkan. Cili kering, bawang putih dan bawang merah dikisar untuk menyediakan sos sambal. Dalam masa yang sama, minyak dipanaskan. Sebagai permulaan, saya menyediakan sosnya dahulu. Udang, garam dan gula juga dimasukkan. Lepas semuanya masak, saya berehat seketika.

Selepas subuh, Syazwan datang ke rumah saya. Saya meminta Syazwan untuk menyediakan bungkusan bihun goreng yang akan digunakan nanti. Di dapur, saya sibuk menggoreng bihun. Apabila siap, saya minta Syazwan untuk merasanya. Yes! Menjadi juga bihun goreng saya. Tanpa berlengah, saya menolong Syazwan untuk membungkus bihun-bihun tersebut. Akhirnya semua selesai termasuklah kerja-kerja membersih dan mengemas dirumah saya. Lebih kurang pukul 8.30 pagi, Syazwan pulang ke rumah untuk bersiap. Begitu juga dengan saya. Kami berjanji untuk bertolak pukul 9.30 pagi.

Seperti yang dijanjikan, kami bertolak pukul 9.30 pagi. Saya berjanji pada Salman untuk tiba di rumah tersebut sebelum 10.30 pagi. Jadi, kami tak perlu terburu-buru untuk ke sana. Kami menikmati susana pagi. Lebuh raya agak lenggang memandangkan tidak banyak kereta. Mungkin masih menikmati cuti mingguan yang sememangnya panjang pada minggu tersebut. Lebih kurang pukul 10.20 pagi, kami tiba di rumah anak-anak yatim. Saya menelefon Salman. Pada mulanya, tidak dijawab kerana waktu tersebut Salman sedang mengajar mengaji. Bila Salman menyedari kedatangan saya diluar rumah, saya disambut dengan tangan terbuka. Begitu juga penghuni-penghubi di rumah tersebut. Selain Salman, kami juga berkenalan dengan ustaz dan pembantu-pembantunya yang bertanggungjawab menguruskan penghuni-penghuni disitu.

Saya cuba mendapatkan serba sedikit maklumat rumah anak-anak yatim tersebut. Menurut ustaz terbabit, penghuni-penghuni yang berada disitu berusia antara 7 tahun hingga 20 tahun. Mereka datangnya dari pelbagai taraf kehidupan. Ada yang merupakan anak yatim piatu, anak keluarga susah dan sebagainya. Terdetik dalam hati kami, dalam kemajuan dan kepesatan negara, masih ada lagi yang kekurangan. Sistem pengurusan dan pembelajaran di rumah tersebut sebagaimana sekolah berasrama penuh. Mereka mempunyai jadual yang padat. Bermula pada jam 4.30 pagi sehinggalah 11.00 malam. Ini membuatkan para penghuni tidak mempunyai masa yang terbuang begitu sahaja. Para penghuni juga diberikan pendidikan lebih dalam pembacaan dan hafazan Al-Quran. Pun begitu, hasilnya masih baru kerana rumah tersebut baru sahaja 2 bulan dibuka. Setakat ini, hanya 15 orang penghuni sahaja yang ditempatkan disana.

Rumah anak-anak yatim tersebut masih belum diberikan nama. Cuma di kalangan rakan-rakan, ianya dikenali sebagai Baitul Ummul. Untuk menggerakkan rumah tersebut, beberapa bantuan diperlukan seperti guru-guru sukarela untuk mengajar subjek-subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan sebagainya. Sebagai remaja, para penghuni juga seringkali berasa jemu. Ini adalah kerana kekurangan aktiviti-aktiviti diluar rumah. Menurut ustaz terbabit, masalah kewangan dan pengangkutan menjadi salah satu penyebab kekurangan aktiviti-aktiviti diluar rumah. Dalam masa yang sama, pihak pengurusan masih membincangkan mengenai aktiviti-aktiviti yang boleh dan sesuai diadakan untuk para penghuni. Dalam sedikit masa yang ada, kami sempat berkenalan dengan beberapa penghuni. Dari kisah kehidupan mereka yang lalu sememangnya tidak disangka. Ada diantara penghuni tidak bersekolah selama dua tahun dan bekerja di kilang besi berdekatan. Ini menyebabkannya kurang mendapat pendidikan formal kerana kekurangan hidup lantas memilih jalan lain demi mendapatkan sesuap nasi.

Lawatan kami selesai pada jam 1.00 petang. Dari hemat kami, mungkin kami boleh merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan matlamat SMART untuk diketengahkan dan meberikan faedah kepada penghuni-penghuni rumah tersebut. Insya Allah.

Disediakan oleh: Unit Kebajikan & Sosial

Monday, February 2, 2009

Fatwa rokok haram jejas pengeluaran

Sumber: Berita Harian Online

JAKARTA: Fatwa mengharamkan merokok di tempat awam yang dibuat oleh majlis Islam tertinggi Indonesia mengundang perbalahan di negara paling ramai umat Islam itu di tengah konflik kepentingan antara kesihatan dan perniagaan. "Kami akan menyerahkan fatwa kepada Mahkamah Agung sebagai asas menarafkan tembakau sebagai bahan ketagihan. Jika mahkamah mendapati tembakau adalah bahan ketagihan, merokok akan diharamkan. "Jadi, fatwa tidak terhad kepada kanak-kanak dan wanita hamil saja," kata setiausaha agung Hak Asasi Manusia Kebangsaan bagi Perlindungan Kanak-Kanak, Aries Merdeka Sirait.

Hampir 700 ilmuwan Majlis Ulama minggu lalu mengharamkan merokok di tempat awam dan bagi kanak-kanak serta wanita hamil. Umat Islam yang membentuk 86.1 peratus daripada 235 juta penduduk Indonesia tidak terikat dengan fatwa tetapi ia boleh mempengaruhi dasar kerajaan. "Saya gembira dengan fatwa itu," kata Menteri Kesihatan, Siti Fadilah Supari.

Indonesia mempunyai jumlah perokok ketiga paling ramai di dunia selepas China dan India. Pada harga sekitar AS$1 (RM3.50) sepaket, rokok di Indonesia antara paling murah di dunia. Lebih 60 juta penduduk negara itu adalah perokok aktif. Bagaimanapun, pengeluar rokok memberi amaran fatwa itu boleh menjejaskan ekonomi negara. "Fatwa itu menjejaskan keuntungan apatah lagi jika diluluskan Mahkamah Agung. Beratus industri rokok di Jawa Timur akan mati," kata timbalan setiausaha Persatuan Syarikat Rokok di Jawa Timur, Amin Wahyu Hidayat. Persatuan Penanam Tembakau Indonesia menjangkakan pengeluaran industri rokok tempatan menurun kira-kira 50 peratus selepas fatwa dikeluarkan. Industri tembakau bernilai RM28 bilion adalah sumber utama pendapatan Indonesia. - Agensi

Wednesday, January 21, 2009

Sukarelawan satu kepuasan?

Oleh : MOHD HISHAM ABDUL RAFAR
Sumber : KOSMO! Online

Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misi-misi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng.

JIKA diminta menawarkan diri untuk melakukan kerja sukarela, pasti ramai yang akan berfikir panjang. Apa tidaknya, tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran, dan kerap kali tiada penghargaan.

Namun ramai juga individu seperti Shahriman Abdul Rahman, 37, anggota sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Salam Malaysia merasakan kerja sebagai sukarelawan memberikan kepuasan kepadanya.

Pekerja kilang di Mentakab, Pahang itu menganggotai Yayasan Salam sejak tahun 2000 kerana merasakan kerja sukarelawan adalah satu perkara terbaik yang pernah dilakukannya untuk membantu insan yang memerlukan.

"Pelbagai program telah saya ikuti dan terbaru ialah mengikuti misi kemanusiaan ke Kemboja anjuran Yayasan Salam dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Veteran Kedah.
"Sepanjang berada di sana, kami dapat melihat dan merasai kesusahan masyarakat Islam di Kratie, Kemboja. Melihat itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh sekarang," katanya.

Kata-kata Shahriman turut disokong rakannya, Diana Syafiza Said, 26, yang berpendapat kerja sukarelawan mampu melatih dirinya menghargai setiap pemberian yang dikurniakan.
"Kini, saya lebih bersyukur kerana kalau kita fikir kita susah, masih ada orang lain yang lebih susah. Saya berminat menjadi sukarelawan sebab ia memberi kepuasan kepada saya, selain minat saya untuk membantu orang yang memerlukan," katanya yang bekerja sebagai Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur.

Cabaran menjadi sukarelawan

Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misi-misi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng. Shahriman juga berpendapat, dalam menjalankan kerja kebajikan atau sukarela, cabaran mental dan fizikal, amat diperlukan.

"Kita harus mempunyai keyakinan diri, selain sihat untuk menjalankan kerja sukarela ini. Misalnya, ketika kejadian tsunami di Aceh, kami memerlukan sepenuh kudrat untuk mengangkat mayat," katanya.

Bagi Diana Syafiza pula, sebagai seorang wanita, beliau tetap bersemangat melakukan tugasnya walaupun menuntut pengorbanan yang tinggi daripada segi tenaga, wang dan masa, selain terdedah kepada bahaya dan risiko penyakit.

"Apa yang penting, kita harus tabah dan berani untuk melakukan tugas ini. Bukan semua orang mampu membuatnya. Menyertai badan sukarela bukan bertujuan makan angin atau melancong.
"Tanggapan itu tidak boleh ada sama sekali. Kita kena ikhlas dengan apa yang kita nak buat. Barulah apa yang kita buat diberkati," katanya.

Kos menjadi cabaran

Seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Salam. Datuk Ahmad A. Talib berkata, kos dan dana adalah cabaran utama bagi menjayakan sesuatu misi kemanusiaan.

"Apa yang menjadi masalah ialah kos. Kami mengharapkan ada individu atau badan-badan korporat bermurah hati untuk membantu. Bagi individu, pihak kami akan mengeluarkan resit yang membolehkan mereka mendapat rebat cukai pendapatan.

"Seperti contohnya, pembinaan masjid di Kampung Praksandai, Tropengbeang, dan Tanaksawai di wilayah Kratie, Kemboja yang mana setiap satunya memerlukan perbelanjaan hampir RM63,000. Tetapi buat masa ini, kami hanya mampu membantu setakat RM10,000 sahaja," katanya.

Sementara itu, Presiden MAYC Veteran Kedah, Fazilah Ismail pula berkata, MAYC Veteran hanya wujud di Kedah.

"Di negeri-negeri lain, masih belum ada. Tujuan kami adalah membantu bekas aktivis masyarakat yang berumur kerana selepas bersara menjadi aktivis, mereka ini seolah-olah dilupakan.

"Untuk itu, kami akan membantu setakat yang mampu," katanya sambil memberitahu Yayasan Salam dan MAYC Veteran Kedah saling bekerjasama bagi membantu mereka yang ditimpa kesusahan termasuk melaksanakan projek kemanusiaan.

Misi kemanusiaan

Bagi Yayasan Salam, misi kemanusiaan adalah misi utama yang sentiasa diberi perhatian penuh.
Ahmad berkata, sekiranya tidak mempunyai dana sekalipun untuk membantu, yayasan itu akan tetap digerakkan untuk membantu sekadar yang boleh terutama daripada segi tenaga dan kepakaran.

Semasa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu, Yayasan Salam melancarkan Tabung Bencana Bukit Antarabangsa bagi membantu penduduk yang terlibat.
Sebagai sebuah pertubuhan yang tidak mengaut keuntungan, membantu rakyat negara ini yang ditimpa bencana adalah keutamaan.

"Kami tidak mahu dilihat seperti menganaktirikan penduduk tempatan apabila kami menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain. Kami lebih mementingkan bantuan kepada mereka yang susah di negara sendiri. Kemudian barulah kami fikirkan untuk membantu penduduk luar seperti di Somalia dan Pakistan, " katanya. - Bernama

Sunday, January 11, 2009

Majlis Kesyukuran & Ceramah Maal Hijrah 1430H


Maal Hijrah menjelma lagi. Tahun ini kita menyambut Maal Hijrah kali 1430. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sama ada peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun kawasan. Bandar Seberang Jaya yang menjadi lokasi utama SMART juga tidak terkecuali mengadakan sambutan Maal Hijrah ini. Hasil inisiatif dan usaha Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah dan Majlis Perpaduan & Kebajikan Rakyat Negeri Pulau Pinang, majlis sambutan tersebut telah berlangsung dengan jaya di perkarangan Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah. Majlis dimulakan dengan pendaftaran para tetamu dan hidangan makan malam disamping aluan lagu-lagu nasyid yang memuji kebesaran Illahi. Selepas solat Isyak, para tetamu telah dijemput untuk memenuhkan ruangan hadapan kerana penceramah jemputan telah tiba. Pengerusi Majlis seterusnya memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Baqarah oleh pelajar sekolah agama rakyat yang dijemput khas oleh pengelola. Pelajar terbabit baru berusia lapan tahun. Walaupun agak gementar ketika memperdengarkan bacaan Al-Quran, namun ketekunannya perlu menjadi inspirasi kepada para remaja hari ini [sila tonton video dibawah].


Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput YB Datuk Arif Shah Hj. Omar Shah untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapan, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan dalam menjayakan majlis yang diadakan. Beliau juga mengingatkan mengenai sikap kita sebagai hamba Allah yang perlu redha dengan segala yang berlaku dan dalam masa yang sama memuhasabahkan diri. Muhasabah diri ini tidak hanya dalam tempoh masa tertentu sahaja tetapi perlu diteruskan dari semasa ke semasa demi kebaikkan diri pada masa hadapan. Beliau juga dalam masa yang sama memaklumkan kepada para tetamu, sekiranya mempunyai masalah berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mereka boleh terus berhubung dengan beliau kerana beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pihak Berkuasa Tempatan.

Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput penceramah yang diundang khas, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hassan untuk menyampaikan ceramah. Menurut penceramah, tahun baharu Hijriah bermula selepas masuknya waktu maghrib dan menjadi amalan sunat untuk seseorang itu berdoa untuk akhir tahun iaitu selepas asar dan berdoa untuk awal tahun selepas maghrib. Meneruskan sesi ceramah tersebut, beliau menceritakan mengenai peristiwa sebelum zaman Hijrah. Pada masa itu, Nabi Muhammad SAW telah dipulau, dihina, dimaki dan diseksa dari segi fizikal dan mental. Ini termasuk juga para sahabat Baginda seperti Bilal Bin Rabah, Yasser dan lain-lain lagi. Selain dari itu, Baginda juga pernah diberikan rasuah oleh kaum jahilliah supaya berhenti berdakwah. Antaranya menjadi raja, diberikan kekayaan dan harta benda malah mereka juga menawarkan perempuan-perempuan yang cantik. Namun, semuanya itu ditolak mentah-mentah oleh Baginda.

Memandangkan segala usaha itu tidak berkesan, mereka berjumpa dengan Baginda dan mencabar Baginda dengan beberapa perkara sekiranya inginkan mereka memeluk Islam dan keluar dari agama nenek moyang mereka. Antara cabaran mereka ialah meminta supaya Baginda mengeluarkan mata air, menyediakan ladang kurma, menurunkan langit berkeping-keping ke atas mereka seperti mana diancamkan kepada mereka dan membawa Allah dan malaikat bersemuka dengan mereka. Segala tuntutan dan cabaran yang diberikan oleh mereka kepada Baginda tidak dapat ditunaikan kerana Baginda hanyalah utusan Allah SWT.

Akhirnya, satu mesyuarat kabilah tergempar telah diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, iblis menyertainya dengan menjelmakan diri sebagai salah seorang ahli kabilah tersebut. Dalam mesyuarat tersebut, mereka mencadangkan beberapa perkara untuk memusahkan Baginda. Antara cadangan mereka ialah membuang daerah, memenjarakan Baginda dan akhir sekali membunuh Baginda. Cadangan yang pertama dan kedua telah dibantah oleh iblis laknatullah. Akhirnya cadangan membunuh Baginda telah diterima dengan sebulat suara. Mereka kemudiannya mencaturkan strategi untuk membunuh Baginda. Malam yang telah dirancangkan, mereka telah bersedia untuk membunuh Baginda namun Baginda sedar akan hal tersebut. Penceramah kemudiannya bertanya kepada para tetamu akan usaha Baginda untuk mengelakkan diri dari dibunuh. Menurut penceramah, Baginda telah membaca ayat kesembilan dari Surah Yassin iaitu:

WAJA’ALNAA MIMBAINI AIDIIHIM SADDAU WAMIN KHALFIHIM SADDAM FA AGH SYAINAAHUM FAHUM LAA YUBSIRUUN

Penceramah mengajak para tetamu mengamalkan ayat ini ketika berada didalam kesusahan mahupun kesulitan. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkatinya.

Menurut penceramah, kejayaan Nabi Muhammad SAW seringkali menjadi rujukan orang ramai diseluruh dunia. Pun begitu, sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang mampu menandingi kehebatan Baginda. Kenapa Baginda berjaya? Itu persoalan yang dikemukakan oleh penceramah. Terdapat tiga faktor utama kejayaan Baginda iaitu:

Pertama – Keperibadian dan perwatakkan yang sempurna. Baginda diberikan gelaran Al-Amin iaitu amat dipercayai.

Kedua – Akhlak dan tingkahlaku yang terpuji. Sekiranya berada di dalam halaqah (bulatan) ketika berbincang, Baginda tidak akan keluar halaqah tersebut sebelum para sahabat. Apabila bersalam, biarlah orang menarik tangan dulu sebelum kita dan apabila bersalam, tengok mata orang terbabit. Didalam masyarakat, Baginda juga amat mengasihani orang fakir, orang susah dan orang sakit.

Dalam waktu ini, penceramah membuat jenaka. Beliau menyatakan sekiranya seseorang bersalam tanpa melihat mata, itu bermaksud orang itu sombong atau membela hantu raya. Diwaktu ini para tetamu gelak dengan gelagat penceramah.

Ketiga – Kebijaksanaan dalam tindakan. Ini membolehkan kejayaan Baginda dalam setiap tindakan yang diambil.

Penceramah juga menyatakan bahawa beliau banyak terlibat dalam kes-kes membabitkan perceraian suami isteri. Menurut beliau, orang lelaki mempunyai sikap yang paling buruk iaitu EGO & PANTANG DICABAR manakala orang perempuan pula amat pantang apabila di KRITIK & PUJI. Ini merupakan tips yang berguna untuk mereka yang bakal mendirikan rumah tangga mahupun untuk mereka yang ingin mengecapi kebahagiaan dalam berumah tangga.

Majlis tamat pada jam 10.30 malam selepas YB Datuk Arif Shah menyampaikan cenderahati kepada mereka yang terlibat. SMART melalui Unit Kebajikan dan Sosial mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah kerana telah menjemput kami ke majlis ilmu yang telah diadakan. Harapan kami agar majlis-majlis seperti ini diteruskan pada masa depan demi pembangunan diri dan sahsiah rakyat dikawasan sekitar.

Disediakan oleh: Unit Kebajikan dan Sosial, SMART

Sunday, January 4, 2009

MINDA TAZKIRAH: Terima Kasih 1429H & Selamat Datang 1430H


Oleh: Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas & Penyelaras SMART

Bismillahhirrahmannirrahim.
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,

Mutiara Muqqadimah:

Manusia mencipta peluang, Allah SWT menjayakannya. Kita dikurniakan kekayaan yang luar biasa untuk mencipta berbagai-bagai peluang yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat (Ustaz Akhil Hayy Rawa)

Alhamdunillah. Bertemu kita sekali lagi dalam kolum Minda Tazkirah yang merupakan salah satu medium penulisan saya untuk mengetengahkan idea dan padangan saya berkaitan isu semasa lebih-lebih lagi berkaitan remaja dan belia. Sebelum saya mulakan nukilan saya ini, marilah kita bersama-sama mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab dan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Al-Fatihah.

Apa khabar? Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan salam Maal Hijrah dan selamat tahun baru kepada semua ahli keluarga dan para sahabat sama ada didalam organisasi SMART mahupun diluar. Akhirnya kita telah pun meninggalkan tahun 2008 dan lebih tepat lagi 1429H. Sepanjang tahun tersebut, pelbagai rintangan dan halangan telah kita tempuhi dan lalui. Kegembiraan, kesedihan, kedukaan, harapan, cabaran, kegagalan dan kejayaan telah membaluti episod organisasi kita pada tahun lalu. Semuanya itu menjadi sejarah yang perlu kita renungi dan menghargainya kerana ianya mendidik dan mematangkan diri kita dalam meneruskan perjuangan ini. Dalam Minda Tazkirah kali ini, saya akan membawa kembali kisah-kisah kejayaan dan kegagalan organisasi ini pada tahun lalu. Semoga melaluinya, kita akan terus berusaha dan berusaha untuk memantapkan organisasi pada tahun ini. Insyallah.

Tahun lalu, SMART bermula dengan pelbagai masalah yang membelenggu dan ianya melibatkan keahlian SMART yang semakin hari semakin merosot. Ini ditambah pula dengan keputusan beberapa orang Fasilitator dan Fasilitator Pelatih SMART mengundurkan diri. Antara nama-nama besar termasuklah Sharizan Abdul Rahim (Jan), Mohd. Isa Abdul Rassak (Isa), Nurul Adibah Mohd. Khairi (Diba), Zulsyedi Zakaria (Zul), Irman Ishak (E-man), Muhd. Syazwan Azahar (Wan), Nor Hidayat Noordin (Yat), Nurul Ain Safiee (Ain), Sa’dat Abdul Manab dan Suvendran Kobalakrishnan (Suven). Masalah ini terus saya utarakan kepada Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengerusi, Lembaga Penasihat SMART. Pada awalnya, saya perlu menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan. Ini sedikit sebanyak membebankan saya kerana saya sendiri tidak mengetahui permasalahannya. Walau apa pun, saya tetap menerima segala teguran dan nasihat yang diberikan. Tiga bulan pertama, sememangnya membuatkan saya benar-benar tertekan. Pun begitu, saya tidak keseorangan kerana saya sering diberikan nasihat dan motivasi oleh Pn. Hafilah Said, Penasihat, Lembaga Penasihat SMART dan Dr. Haji Mazzan Mat Issa@Desa, Penasihat (Bersekutu), Lembaga Penasihat. Untuk menyelesaikan masalah ini, Lembaga Penasihat menyaran agar Jawatankuasa SMART 2008 dikecilkan dan diperkukuhkan terlebih dahulu. Ini termasuklah menangguhkan perlantikan Lembaga Fasilitator yang telah dimansuhkan oleh Zulhilmi Mukhatar, bekas Ketua Fasilitator. Hasilnya, pentadbiran SMART dapat dibentuk kecuali perlantikan Presiden SMART yang baru. Ini disebabkan ketiadaan calon-calon yang sesuai untuk dilantik. Masalah ini tidak lama kerana hasil persetujuan semua Fasilitator Kanan, Fasilitator Kor dan Fasilitator Pelatih yang ada, maka Eric Francis George telah dilantik sebagai Presiden SMART yang baru dan berkuatkuasa April 2008.

Kehadiran Presiden SMART sebagai satu rahmat.

Kesusahan demi kesusahan ditempuhi oleh beberapa orang Fasilitator SMART yang berusaha mengumpulkan dana bagi menampung kos penerbangan Presiden SMART ke Pulau Pinang. Nyata kesusahan itu tidak dihargai sepenuhnya oleh Presiden SMART. Semuanya bermula apabila Presiden SMART mula menjejakkan kaki ke Pulau Pinang. Pertemuan awal, dengan lagaknya seperti presiden dari sebuah negara yang maju, pelbagai andainya dan arahan diberikan kepada saya. Namun saya hanya mengikut sahaja kerana sebagai tetamu, saya perlu melayannya sebaik mungkin. Pada masa yang sama, saya bertanyakan mengenai jadualnya sepanjang berada di Pulau Pinang. Dia memaklumkan bahawa jadual tersebut ditinggalkan di Sabah. Alahai..kurang bertanggungjawab juga Presiden SMART ini. Sepanjang dia berada di Pulau Pinang, pelbagai masalah dan kerenah yang perlu saya tempuhi. Akhirnya kesabaran saya kian menipis. Bermula dengan episod dia menyatakan yang dia amat tidak berpuas hati dengan semua Fasilitator SMART sehinggalah dia melangkau dan masuk campur dalam urusan Lembaga SMART. Lebih membuatkan saya berasa tertekan apabila Lembaga Penasihat mula mempertikaikan kewibawaan saya selaku Penyelaras. Ini adalah kerana saya tidak mengambil berat tentang penyakitnya iaitu sawan. Jujurnya, dia tidak pernah memaklumkan kepada saya mengenai penyakitnya itu. Mungkin agak kejam bunyinya tetapi inilah keputusan yang saya ambil sehinggakan berlaku sedikit perselisihan faham dengan kakitangan Pusat Racun Negara apabila saya menghalaunya keluar dari rumah saya. Ini disebabkan oleh ugutannya kepada saya. Kali ini, boleh dikatakan dia silap perhitungan. Saya nekad dan dengan sokongan semua Fasilitator SMART dibelakang, saya tidak kisah apa pun tindakan yang bakal saya hadapi kelak. Akhirnya, dia pulang ke Sabah dan beberapa hari selepas itu dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan mengundurkan diri dari SMART. Mengapa saya katakan rahmat kehadiran Presiden SMART? Ini kerana, Syazwan dan Suven kembali ke dalam SMART. Manakala Jan pula sudi membantu SMART apabila diperlukan. Alhamdunillah.

Kejayaan yang tak mungkin dicapai.

Hasil kesabaran dan ketekunan saya sebagai pekerja kontrak di Pusat Racun Negara telah membuahkan hasil apabila saya diterima sebagai kakitangan tetap Universiti Sains Malaysia (USM). Bermula September 2007, saya berkhidmat di Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan memegang jawatan sebagai Pembantu Penyelidik Sosial. Walaupun pada awalnya agak membosankan, akhirnya saya menerima rezeki yang tidak disangka dan saya berkongsi dengan SMART. Pun begitu, bila diselidik, rupa-rupanya Prof. Madya Razak Haji Lajis telah memaklumkan mengenai kelebihan saya dalam perlaksanaan program-program sekolah dan komuniti kepada Prof. Sharif Mahsufi Mansor, Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan. Hasilnya, saya telah diberikan projek bernilai RM 40, 000.00! untuk perlaksanaan Program Bebaskan Diri Dari Rokok dan Dadah (BERTEKAD). Berita ini sememangnya mengejutkan ramai orang termasuklah SMART sendiri. Yealah..saya kan suka melawak dengan duit ringgit nie. Lebih-lebih lagi dengan Isa yang pernah memegang jawatan Bendahari SMART. Hehehehehe. Projek tersebut merupakan projek dibawa peruntukkan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM. Saya pula bekerja dibawah Dr. Sabariah Ismail.

Awalnya pada fasa pertama, projek ini memang menakjubkan dan menyeronokkan tetapi apabila bermula fasa kedua, pelbagai masalah berlaku. Disini, saya mengakui ada beberapa masalah yang melibatkan diri saya dengan orang lain termasuklah masalah komunikasi. Pun begitu, masalah tersebut tetap saya harungi walaupun realitinya saya kehilangan keyakinan saya terhadap projek tersebut lebih-lebih lagi apabila orang kurang percaya dengan kebolehan saya disamping campur tangan pihak lain. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Fasilitator SMART yang telah membantu, mencurah bakti dan memberikan sokongan kepada saya lebih-lebih lagi semasa kita semua bersama-sama mengendalikan Perkhemahan Jati Diti Remaja 2008 di Pulau Aman. Kenangan tidur semalaman di tandas dan berhujan disana benar-benar membuktikan betapa keutuhan semangat kekeluargaan dan kesukarelawanan kita didalam organisasi ini. Terima kasih sekali lagi!

Aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang menarik!

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 40 aktiviti yang telah dilaksanakan dan disertai oleh SMART. Ini setakat yang direkod dalam jadual saya dan belum lagi aktiviti-aktiviti yang tidak sempat direkodkan. Pun begitu, saya percaya, kejayaan setiap aktiviti ini tidak akan terlaksana sekiranya Fasilitator-Fasilitator kita tidak memberikan komitmen yang tinggi.

Antara aktiviti-aktiviti menariknya yang boleh saya nukilkan disini ialah:

Seminar Menangani Masalah Sosial Remaja yang telah dijalankan di Masjid Seberang Jaya pada 24 Februari yang lalu. Seminar ini juga turut sama disertai oleh golongan ibubapa dan belia-belia yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti menangani gejala sosial.

Program Outreach Remaja bersempena Nafas Baru Bermula Ramadhan 1429H yang diadakan di Sek. Men. Keb. Permatang Tok Jaya, pada 17 September, anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara. Dalam program ini, SMART turut bekerjasama dan menjemput Pelatih Program BERTEKAD seramai tiga orang dan beberapa PRS di Sek. Men. Keb. Permatang Tok Jaya. Program ini dijalankan dengan jayanya dengan penyertaan hampir 100 peserta.

Bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, SMART juga julung-julung kali mengadakan Rumah Terbuka SMART pada 25 Oktober yang lalu. Projek ini merupakan hasil daripada Mohd. Shah Rizan Hamzah, Fasilitator Kanan SMART yang mengetuai projek ini. Tetamu-tetamu yang hadir turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengerusi, Lembaga Penasihat SMART yang menyampaikan ucapan disamping cabutan bertuah dan Pertandingan Karaoke Bintang Aidilfitri 2008.

Perancangan SMART untuk melaksanakan Kursus Pra Fasilitator Siri 5/2008 direalisasikan juga. Kursus ini diketuai oleh Mohd. Syazwan Azahar dan telah dijalankan pada 13-16 Disember lalu bertempat di Teluk Duyung, P. Pinang. Walaupun pada dasarnya kursus ini mengalami beberapa masalah, ianya dapat diselesaikan hasil bantuan dan sokongan beberapa orang Fasilitator dan bekas ahli SMART.

Sebagai penutup tirai 1429H, YB. Datuk Arif Shah Hj. Omar Shah telah menjemput SMART untuk bersama-sama menyertai Majlis Kesyukuran dan Ceramah Maal Hijrah yang telah diadakan di KADUN beliau pada 28 Disember yang lalu. Penceramah yang dijemput dari Jabatan Agama Negeri Pulau Pinang, benar-benar menyeronokkan dengan lawak jenaka disamping beberapa tips-tips untuk menjadi insan baru di tahun baru.

SMART diakhirnya.

Walaupun pada awalnya SMART mengalami pelbagai masalah, syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan laluan yang mudah untuk saya meneruskannya. Berkat nasihat, sokongan dan kasih sayang dari Lembaga Penasihat dan ahli keluarga SMART, keahlian SMART kini mula bertambah. Jika pada tahun 2007 SMART mempunyai 25 orang ahli, tahun 2008 pula keahlian SMART bertambah dari 11 orang ke 17 orang. Ini termasuklah penyertaan semula Yat, Ayu dan Diba. Ini membuktikan yang SMART masih lagi releven untuk meneruskan perjuangannya lagi.

Pun begitu, pelbagai usaha perlu dilipat gandakan dan sikap-sikap perlu diubah bagi memastikan SMART sentiasa berdiri kukuh disamping hubungan dan jalinan kerjasama dipereratkan antara ahli dan organisasi lain. Ini juga sejajar dengan matlamat Rancangan SMART Kedua: 2008-2014 yang telah dibentangkan kepada Lembaga Penasihat. Harapan saya, mungkin disatu hari nanti SMART akan menjadi sebuah organisasi yang kukuh dalam memperjuangan pelbagai isu berkaitan remaja dan belia disamping menjadi sumber rujukan orang ramai.

Saya selaku Pengasas dan Penyelaras SMART mewakili Lembaga Penasihat, Fasilitator Kanan, Fasilitator Kor, Fasilitator Pelatih, Pelatih dan ahli-ahli SMART mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah membantu menjayakan misi SMART 1429H/2008. Sekiranya ada terkasar bahasa, tersilap kata, tersilap perbuatan dan menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak, saya memohon ribuan kemaafan dari anda semua. Terima kasih semua, terima kasih 1429H dan selamat datang 1430H/2009!

Wassalam.