Rakan Kami

Sunday, February 10, 2008

MINDA TAZKIRAH – TONGGAK 12: BUDAYA KERJA BERJAYA

Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,

Alhamdunillah, bersyukur kita kepada Allah swt. kerana dengan rahmat dan izinNya kita dapat ketemu lagi dalam lapangan Minda Takzkirah pada bulan ini. Bagaimana semua? Anda semua berasa sihat dan hebat? Kalau tak sihat, kenalah berjumpa dengan Dr. Mazzan tapi kalau rasa kurang hebat, pergi lihat cermin dan cerminkan apa kelemahan yang anda semua masih miliki. Tak gitu? Hehehehehehehehe...

Bulan Januari yang lalu, saya sibuk dengan Kursus Induksi di Dewan Persidangan Universiti, USM P. Pinang. Kursus tersebut dijalankan selama dua minggu bermula 15 hingga 29 Januari yang lalu. Kursus Induksi ini merupakan kursus wajib kepada semua staf kerajaan yang fungsi utamanya ialah untuk mendedahkan kepada semua staf mengenai stuktur pentadbiran dan tugas-tugas sebagai Penjawat Awam. Kalau diikutkan, ramai yang memaklumkan kursus tersebut membosankan tetapi lain pula jadinya dengan kursus yang saya sertai ini. Dengan riuh rendah dan hilai tawa, memang seronok berada dalam kursus tersebut. Penghulu kami, merupakan staf Jabatan Keselamatan dan sememangnya beliau sangat-sangat ceria setiap masa dan tidak hairanlah kami sentiasa ceria. Bukan itu saja, malah dikalangan penceramah sendiri pun memuji semangat kami yang suka dan minat dalam setiap topik yang disampaikan. Seriusnya, kami semua nak pastikan semuanya mendapat segala maklumat yang disampaikan supaya apabila mengambil Peperiksaan Perkhidmatan nanti, kami semua akan lulus dan seterusnya disahkan dalam jawatan. Waktu itu, semuanya akan seronok kerana dah lulus ujian untuk menjadi Penjawat Awam yang sah. Doa-doakan yea!

Dalam banyak-banyak topik, ada satu topik yang saya ingin berkongsi dengan anda semua. Rasanya topik ini sangat sesuai dengan pentadbiran organisasi kita. Memandangkan organisasi kita ini sudah berusia enam tahun tapi secara dalamannya organisasi kita ini ibarat sebuah organisasi yang baru hidup dan ditubuhkan. Setiap tahun, kita menghadapi dan pening dengan masalah-masalah yang sama. Dari masalah keahlian, disiplin, perlaksanaan projek, Fasilitator dan lain-lain lagi menjadikan organisasi kita ini seperti organisasi badut. Semua perkara dan benda yang dijalankan tidak mempunyai sistem atau manual yang membolehkan kita menjalankannya secara bersistematik. Akhir sekali, bukan kita merancang untuk berjaya tetapi kita merancang untuk gagal. Apabila ini berlaku, mulalah masing-masing hendak menuduh yang lain. Ada juga yang mempertikai peranan Fasilitator dan peranan Lembaga Penasihat juga. Ini menunjukkan kematangan akal dan fikiran tidak jauh ke hadapan serta tanggungjawab bukan menjadi asas utama. Jadi apa matlamat kita sebenarnya? Kenapa dikalangan kita memilih untuk menyertai SMART? Tepuk dada dan tanyalah iman apa peranan kita sebenarnya dalam SMART.

Tonggak Dua Belas merupakan 12 perkara yang diasaskan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, mantan Ketua Setiausaha Negara pada tahun 1992. Antara 12 perkara tersebut ialah:

1. Menghargai Masa
Masa amat berharga dalam kehidupan kita. Masa yang telah berlalu tidak dapat diulang kembali dan manusia sentiasa berasa berada dalam kerugian kecuali bagi yang tahu menghargai masa.
Ini telah termaktub dalam ayat Al-Quran Surah Al-‘Asr (ayat 1-3):
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Antara amalan-amalan positif yang boleh kita terapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Menepati masa.
þ Menyegerakan tugas.
þ Mempunyai perancangan waktu.
þ Bijak menguruskan tempoh masa.
þ Menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif.
þ Menetapkan ‘target date’

2. Ketekunan Membawa Kejayaan
Bermaksud memberikan tumpuan kepada sesuatu kerja hingga selesai dengan sempurnanya dan membawa kejayaan kepada organisasi dan individu. Ini memastikan kedua-dua pihak sama ada organisasi dan individu berpuas hati dengan segala usaha kita demi menjayakan perancangan yang telah ditetapkan. Antara amalan-amalan positif yang kita boleh terapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Gigih.
þ Rajin.
þ Tekun.
þ Sabar.
þ Berdisiplin.
þ Berpandangan jauh.
þ Bersemangat.
þ Dedikasi.
þ Cekal.

3. Keseronokan Bekerja
Kerja merupakan sesuatu perlakuan yang tiada penghujungnya. Kerja hendaklah dianggap suatu ibadah kerana ia membawa ganjaran. Ia mempunyai unsur sumbangan kepada negara dan masyarakat. Secara realitinya, setiap kerja kita lakukan demi kepentingan masyarakat sememangnya akan diberikan ganjaran tetapi bila dan bagaimana ganjarannya, hanyalah Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.
Antara amalan-amalan positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Menganggap kerja sebagai suatu ibadah.
þ Mempunyai inisiatif sendiri.
þ Menghasilkan sesuatu kerja yang boleh memberikan faedah.
þ Mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kerja.
þ Sedia memberikan kerjasama kepada orang lain dan rakan sekerja tanpa diminta atau diharapkan.

4. Kemuliaan dan Kesederhanaan
Kesederhanaan adalah sikap yang menolak keterlaluan, sama ada dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya. Sebagai lambang kebolehan dan kepakaran yang kita miliki, sikap sederhana dalam percakapan, mengeluarkan arahan, bergaul, berpakaian kemas dan sopan adalah sesuatu yang penting.
Antara amalan-amalan positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Tidak tamakkan pangkat dan kedudukan.
þ Tidak membazir dalam perbelanjaan organisasi.
þ Bersikap pemaaf dan bertolak ansur.
þ Jujur dan ikhlas.
þ Cermat dalam berkata-kata.
þ Mesra dalam pergaulan (tidak melampaui batas).

5. Ketinggian Peribadi
Peribadi seseorang ialah personaliti yang menyeluruh iaitu wataknya, sikapnya, perilakunya dan gaya dia membawa diri dalam pergaulan sama ada di dalam organisasi, rumah mahu pun masyarakat. Ia menggabungkan faktor luaran dan dalaman seseorang itu Ketinggian peribadi akan dilihat sebagai contoh seseorang yang berjiwa besar dan berakhlak tinggi.
Antara amalan-amalan positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Beriman dan bertakwa.
þ Amanah.
þ Ikhlas.
þ Berilmu dan berpengetahuan luas.
þ Adil.
þ Kemas.
þ Sabar.
þ Tertib dan berbudi cara.

6. Kekuatan Sifat Baik Hati
Adalah menjadi fitrah manusia suka kepada kebaikan. Sifat suka menolong, bertimbang rasa, sopan santun, pemaaf, pemurah, beramah mesra dan kasih sayang adalah perbuatan yang baik dan disenangi ramai orang.
Antara amalan-amalan positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Bersopan santun.
þ Pemaaf.
þ Merendah diri.
þ Berbudi mulia.
þ Sedia menerima cadangan.
þ Suka tolong-menolong

7. Pengaruh Teladan
Segala geraklaku pemimpin memberi kesan kepada masyarakat dan seterusnya menjadi ikutan. Teladan yang baik atau buruk akan menjadi ikutan kepada pengikutnya.
Antara amalan-amalan yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Sentiasa berkelakuan baik.
þ Tertib dan beradab.
þ Bekerjasam untuk kebaikan.
þ Amah dan bertanggungjawab.
þ Berpandangan jauh.

8. Kewajipan Menjalankan Tugas
Tugas ialah tanggungjawab yang ditetapkan bagi seseorang yang hidup bermasyarakat. Tugas akan menentukan produktiviti sesuatu organisasi. Tugas mesti dilaksanakan dengan cekap, cepat, berkesan dan sempurna. Tugas juga amanah yang perlu dilaksanakan.
Antara amalan-amalan yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Bertanggungjawab terhadap tugas.
þ Tekun dan sabar.
þ Mementingkan kualiti.
þ Boleh diharap.
þ Mempunyai inisiatif.



9. Kebijaksanaan Berhemat
Orang yang berhamat ialah orang yang menghargai perkara yang dicermatkan seperti masa, bahan, wang, kata-kata dan sebagainya. Sikap berhati-hati dalam membelanjakan sesuatu menunjukkan bahawa seseorang itu berhati-hati.
Antara amalan-amalan positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Berhati-hati apabila belanja.
þ Tahu membezakan antara keperluan dengan kemewahan.
þ Menyelenggara harta organisasi dengan baik.
þ Menyedari bahawa hasil organisasi datangnya dari ahli-ahli.

10. Keutamaan Kesabaran
Kesabaran ialah sifat yang dipuji oleh semua agama. Orang sabar menerima segala cabaran dengan tenang, memikir dengan teratur dan jika timbul masalah ia tidak akan terputus asa.

11. Peningkatan Bakat
Bakat ialah sifat yang mendorong ke arah penciptaan, inovasi dan penyelesaian masalah yang rumit. Hal ini penting kerana keadaan yang sentiasa berubah-ubah. Perubahan akan membawa kepada peningkatan hidup yang lebih selesa dan sempurna.
Antara amalan-amalan positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan kita ialah:
þ Memberi dorongan kepada kreativiti.
þ Berani mencuba idea-idea baru.
þ Mengenal dan memupuk bakat-bakat yang sedia ada.
þ Menggalakkan percambahan fikiran.

12. Nikmat Mencipta
Kepuasan ialah tujuan dan puncak segala usaha manusia. Kepuasan yang paling tinggi ialah nikmat yang diperolehi daripada mencipta sesuatu, lebih-lebih lagi apabila perkara atau bahan yang dicipta itu mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara.

Kesimpulan Minda Tazkirah saya pada kali ini adalah berdasarkan kepada Hadis Riwayat Muslim ini:

Dari Abu Syaibah r.a dari Nabi S.A.W. sabdanya:

“Setiap perbuatan baik (makruf) adalah sedekah”

Wassalam!