Rakan Kami

Monday, February 2, 2009

Fatwa rokok haram jejas pengeluaran

Sumber: Berita Harian Online

JAKARTA: Fatwa mengharamkan merokok di tempat awam yang dibuat oleh majlis Islam tertinggi Indonesia mengundang perbalahan di negara paling ramai umat Islam itu di tengah konflik kepentingan antara kesihatan dan perniagaan. "Kami akan menyerahkan fatwa kepada Mahkamah Agung sebagai asas menarafkan tembakau sebagai bahan ketagihan. Jika mahkamah mendapati tembakau adalah bahan ketagihan, merokok akan diharamkan. "Jadi, fatwa tidak terhad kepada kanak-kanak dan wanita hamil saja," kata setiausaha agung Hak Asasi Manusia Kebangsaan bagi Perlindungan Kanak-Kanak, Aries Merdeka Sirait.

Hampir 700 ilmuwan Majlis Ulama minggu lalu mengharamkan merokok di tempat awam dan bagi kanak-kanak serta wanita hamil. Umat Islam yang membentuk 86.1 peratus daripada 235 juta penduduk Indonesia tidak terikat dengan fatwa tetapi ia boleh mempengaruhi dasar kerajaan. "Saya gembira dengan fatwa itu," kata Menteri Kesihatan, Siti Fadilah Supari.

Indonesia mempunyai jumlah perokok ketiga paling ramai di dunia selepas China dan India. Pada harga sekitar AS$1 (RM3.50) sepaket, rokok di Indonesia antara paling murah di dunia. Lebih 60 juta penduduk negara itu adalah perokok aktif. Bagaimanapun, pengeluar rokok memberi amaran fatwa itu boleh menjejaskan ekonomi negara. "Fatwa itu menjejaskan keuntungan apatah lagi jika diluluskan Mahkamah Agung. Beratus industri rokok di Jawa Timur akan mati," kata timbalan setiausaha Persatuan Syarikat Rokok di Jawa Timur, Amin Wahyu Hidayat. Persatuan Penanam Tembakau Indonesia menjangkakan pengeluaran industri rokok tempatan menurun kira-kira 50 peratus selepas fatwa dikeluarkan. Industri tembakau bernilai RM28 bilion adalah sumber utama pendapatan Indonesia. - Agensi

No comments: