Rakan Kami

Sunday, January 4, 2009

MINDA TAZKIRAH: Terima Kasih 1429H & Selamat Datang 1430H


Oleh: Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas & Penyelaras SMART

Bismillahhirrahmannirrahim.
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,

Mutiara Muqqadimah:

Manusia mencipta peluang, Allah SWT menjayakannya. Kita dikurniakan kekayaan yang luar biasa untuk mencipta berbagai-bagai peluang yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat (Ustaz Akhil Hayy Rawa)

Alhamdunillah. Bertemu kita sekali lagi dalam kolum Minda Tazkirah yang merupakan salah satu medium penulisan saya untuk mengetengahkan idea dan padangan saya berkaitan isu semasa lebih-lebih lagi berkaitan remaja dan belia. Sebelum saya mulakan nukilan saya ini, marilah kita bersama-sama mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab dan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Al-Fatihah.

Apa khabar? Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan salam Maal Hijrah dan selamat tahun baru kepada semua ahli keluarga dan para sahabat sama ada didalam organisasi SMART mahupun diluar. Akhirnya kita telah pun meninggalkan tahun 2008 dan lebih tepat lagi 1429H. Sepanjang tahun tersebut, pelbagai rintangan dan halangan telah kita tempuhi dan lalui. Kegembiraan, kesedihan, kedukaan, harapan, cabaran, kegagalan dan kejayaan telah membaluti episod organisasi kita pada tahun lalu. Semuanya itu menjadi sejarah yang perlu kita renungi dan menghargainya kerana ianya mendidik dan mematangkan diri kita dalam meneruskan perjuangan ini. Dalam Minda Tazkirah kali ini, saya akan membawa kembali kisah-kisah kejayaan dan kegagalan organisasi ini pada tahun lalu. Semoga melaluinya, kita akan terus berusaha dan berusaha untuk memantapkan organisasi pada tahun ini. Insyallah.

Tahun lalu, SMART bermula dengan pelbagai masalah yang membelenggu dan ianya melibatkan keahlian SMART yang semakin hari semakin merosot. Ini ditambah pula dengan keputusan beberapa orang Fasilitator dan Fasilitator Pelatih SMART mengundurkan diri. Antara nama-nama besar termasuklah Sharizan Abdul Rahim (Jan), Mohd. Isa Abdul Rassak (Isa), Nurul Adibah Mohd. Khairi (Diba), Zulsyedi Zakaria (Zul), Irman Ishak (E-man), Muhd. Syazwan Azahar (Wan), Nor Hidayat Noordin (Yat), Nurul Ain Safiee (Ain), Sa’dat Abdul Manab dan Suvendran Kobalakrishnan (Suven). Masalah ini terus saya utarakan kepada Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengerusi, Lembaga Penasihat SMART. Pada awalnya, saya perlu menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan. Ini sedikit sebanyak membebankan saya kerana saya sendiri tidak mengetahui permasalahannya. Walau apa pun, saya tetap menerima segala teguran dan nasihat yang diberikan. Tiga bulan pertama, sememangnya membuatkan saya benar-benar tertekan. Pun begitu, saya tidak keseorangan kerana saya sering diberikan nasihat dan motivasi oleh Pn. Hafilah Said, Penasihat, Lembaga Penasihat SMART dan Dr. Haji Mazzan Mat Issa@Desa, Penasihat (Bersekutu), Lembaga Penasihat. Untuk menyelesaikan masalah ini, Lembaga Penasihat menyaran agar Jawatankuasa SMART 2008 dikecilkan dan diperkukuhkan terlebih dahulu. Ini termasuklah menangguhkan perlantikan Lembaga Fasilitator yang telah dimansuhkan oleh Zulhilmi Mukhatar, bekas Ketua Fasilitator. Hasilnya, pentadbiran SMART dapat dibentuk kecuali perlantikan Presiden SMART yang baru. Ini disebabkan ketiadaan calon-calon yang sesuai untuk dilantik. Masalah ini tidak lama kerana hasil persetujuan semua Fasilitator Kanan, Fasilitator Kor dan Fasilitator Pelatih yang ada, maka Eric Francis George telah dilantik sebagai Presiden SMART yang baru dan berkuatkuasa April 2008.

Kehadiran Presiden SMART sebagai satu rahmat.

Kesusahan demi kesusahan ditempuhi oleh beberapa orang Fasilitator SMART yang berusaha mengumpulkan dana bagi menampung kos penerbangan Presiden SMART ke Pulau Pinang. Nyata kesusahan itu tidak dihargai sepenuhnya oleh Presiden SMART. Semuanya bermula apabila Presiden SMART mula menjejakkan kaki ke Pulau Pinang. Pertemuan awal, dengan lagaknya seperti presiden dari sebuah negara yang maju, pelbagai andainya dan arahan diberikan kepada saya. Namun saya hanya mengikut sahaja kerana sebagai tetamu, saya perlu melayannya sebaik mungkin. Pada masa yang sama, saya bertanyakan mengenai jadualnya sepanjang berada di Pulau Pinang. Dia memaklumkan bahawa jadual tersebut ditinggalkan di Sabah. Alahai..kurang bertanggungjawab juga Presiden SMART ini. Sepanjang dia berada di Pulau Pinang, pelbagai masalah dan kerenah yang perlu saya tempuhi. Akhirnya kesabaran saya kian menipis. Bermula dengan episod dia menyatakan yang dia amat tidak berpuas hati dengan semua Fasilitator SMART sehinggalah dia melangkau dan masuk campur dalam urusan Lembaga SMART. Lebih membuatkan saya berasa tertekan apabila Lembaga Penasihat mula mempertikaikan kewibawaan saya selaku Penyelaras. Ini adalah kerana saya tidak mengambil berat tentang penyakitnya iaitu sawan. Jujurnya, dia tidak pernah memaklumkan kepada saya mengenai penyakitnya itu. Mungkin agak kejam bunyinya tetapi inilah keputusan yang saya ambil sehinggakan berlaku sedikit perselisihan faham dengan kakitangan Pusat Racun Negara apabila saya menghalaunya keluar dari rumah saya. Ini disebabkan oleh ugutannya kepada saya. Kali ini, boleh dikatakan dia silap perhitungan. Saya nekad dan dengan sokongan semua Fasilitator SMART dibelakang, saya tidak kisah apa pun tindakan yang bakal saya hadapi kelak. Akhirnya, dia pulang ke Sabah dan beberapa hari selepas itu dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan mengundurkan diri dari SMART. Mengapa saya katakan rahmat kehadiran Presiden SMART? Ini kerana, Syazwan dan Suven kembali ke dalam SMART. Manakala Jan pula sudi membantu SMART apabila diperlukan. Alhamdunillah.

Kejayaan yang tak mungkin dicapai.

Hasil kesabaran dan ketekunan saya sebagai pekerja kontrak di Pusat Racun Negara telah membuahkan hasil apabila saya diterima sebagai kakitangan tetap Universiti Sains Malaysia (USM). Bermula September 2007, saya berkhidmat di Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan memegang jawatan sebagai Pembantu Penyelidik Sosial. Walaupun pada awalnya agak membosankan, akhirnya saya menerima rezeki yang tidak disangka dan saya berkongsi dengan SMART. Pun begitu, bila diselidik, rupa-rupanya Prof. Madya Razak Haji Lajis telah memaklumkan mengenai kelebihan saya dalam perlaksanaan program-program sekolah dan komuniti kepada Prof. Sharif Mahsufi Mansor, Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan. Hasilnya, saya telah diberikan projek bernilai RM 40, 000.00! untuk perlaksanaan Program Bebaskan Diri Dari Rokok dan Dadah (BERTEKAD). Berita ini sememangnya mengejutkan ramai orang termasuklah SMART sendiri. Yealah..saya kan suka melawak dengan duit ringgit nie. Lebih-lebih lagi dengan Isa yang pernah memegang jawatan Bendahari SMART. Hehehehehe. Projek tersebut merupakan projek dibawa peruntukkan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM. Saya pula bekerja dibawah Dr. Sabariah Ismail.

Awalnya pada fasa pertama, projek ini memang menakjubkan dan menyeronokkan tetapi apabila bermula fasa kedua, pelbagai masalah berlaku. Disini, saya mengakui ada beberapa masalah yang melibatkan diri saya dengan orang lain termasuklah masalah komunikasi. Pun begitu, masalah tersebut tetap saya harungi walaupun realitinya saya kehilangan keyakinan saya terhadap projek tersebut lebih-lebih lagi apabila orang kurang percaya dengan kebolehan saya disamping campur tangan pihak lain. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Fasilitator SMART yang telah membantu, mencurah bakti dan memberikan sokongan kepada saya lebih-lebih lagi semasa kita semua bersama-sama mengendalikan Perkhemahan Jati Diti Remaja 2008 di Pulau Aman. Kenangan tidur semalaman di tandas dan berhujan disana benar-benar membuktikan betapa keutuhan semangat kekeluargaan dan kesukarelawanan kita didalam organisasi ini. Terima kasih sekali lagi!

Aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang menarik!

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 40 aktiviti yang telah dilaksanakan dan disertai oleh SMART. Ini setakat yang direkod dalam jadual saya dan belum lagi aktiviti-aktiviti yang tidak sempat direkodkan. Pun begitu, saya percaya, kejayaan setiap aktiviti ini tidak akan terlaksana sekiranya Fasilitator-Fasilitator kita tidak memberikan komitmen yang tinggi.

Antara aktiviti-aktiviti menariknya yang boleh saya nukilkan disini ialah:

Seminar Menangani Masalah Sosial Remaja yang telah dijalankan di Masjid Seberang Jaya pada 24 Februari yang lalu. Seminar ini juga turut sama disertai oleh golongan ibubapa dan belia-belia yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti menangani gejala sosial.

Program Outreach Remaja bersempena Nafas Baru Bermula Ramadhan 1429H yang diadakan di Sek. Men. Keb. Permatang Tok Jaya, pada 17 September, anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara. Dalam program ini, SMART turut bekerjasama dan menjemput Pelatih Program BERTEKAD seramai tiga orang dan beberapa PRS di Sek. Men. Keb. Permatang Tok Jaya. Program ini dijalankan dengan jayanya dengan penyertaan hampir 100 peserta.

Bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, SMART juga julung-julung kali mengadakan Rumah Terbuka SMART pada 25 Oktober yang lalu. Projek ini merupakan hasil daripada Mohd. Shah Rizan Hamzah, Fasilitator Kanan SMART yang mengetuai projek ini. Tetamu-tetamu yang hadir turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengerusi, Lembaga Penasihat SMART yang menyampaikan ucapan disamping cabutan bertuah dan Pertandingan Karaoke Bintang Aidilfitri 2008.

Perancangan SMART untuk melaksanakan Kursus Pra Fasilitator Siri 5/2008 direalisasikan juga. Kursus ini diketuai oleh Mohd. Syazwan Azahar dan telah dijalankan pada 13-16 Disember lalu bertempat di Teluk Duyung, P. Pinang. Walaupun pada dasarnya kursus ini mengalami beberapa masalah, ianya dapat diselesaikan hasil bantuan dan sokongan beberapa orang Fasilitator dan bekas ahli SMART.

Sebagai penutup tirai 1429H, YB. Datuk Arif Shah Hj. Omar Shah telah menjemput SMART untuk bersama-sama menyertai Majlis Kesyukuran dan Ceramah Maal Hijrah yang telah diadakan di KADUN beliau pada 28 Disember yang lalu. Penceramah yang dijemput dari Jabatan Agama Negeri Pulau Pinang, benar-benar menyeronokkan dengan lawak jenaka disamping beberapa tips-tips untuk menjadi insan baru di tahun baru.

SMART diakhirnya.

Walaupun pada awalnya SMART mengalami pelbagai masalah, syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan laluan yang mudah untuk saya meneruskannya. Berkat nasihat, sokongan dan kasih sayang dari Lembaga Penasihat dan ahli keluarga SMART, keahlian SMART kini mula bertambah. Jika pada tahun 2007 SMART mempunyai 25 orang ahli, tahun 2008 pula keahlian SMART bertambah dari 11 orang ke 17 orang. Ini termasuklah penyertaan semula Yat, Ayu dan Diba. Ini membuktikan yang SMART masih lagi releven untuk meneruskan perjuangannya lagi.

Pun begitu, pelbagai usaha perlu dilipat gandakan dan sikap-sikap perlu diubah bagi memastikan SMART sentiasa berdiri kukuh disamping hubungan dan jalinan kerjasama dipereratkan antara ahli dan organisasi lain. Ini juga sejajar dengan matlamat Rancangan SMART Kedua: 2008-2014 yang telah dibentangkan kepada Lembaga Penasihat. Harapan saya, mungkin disatu hari nanti SMART akan menjadi sebuah organisasi yang kukuh dalam memperjuangan pelbagai isu berkaitan remaja dan belia disamping menjadi sumber rujukan orang ramai.

Saya selaku Pengasas dan Penyelaras SMART mewakili Lembaga Penasihat, Fasilitator Kanan, Fasilitator Kor, Fasilitator Pelatih, Pelatih dan ahli-ahli SMART mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah membantu menjayakan misi SMART 1429H/2008. Sekiranya ada terkasar bahasa, tersilap kata, tersilap perbuatan dan menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak, saya memohon ribuan kemaafan dari anda semua. Terima kasih semua, terima kasih 1429H dan selamat datang 1430H/2009!

Wassalam.

No comments: