Rakan Kami

Sunday, May 4, 2008

MINDA TAZKIRAH: MEMPERKASAKAN ORGANISASI REMAJA


Oleh:
Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas & Penyelaras SMART (cairel_harriz@yahoo.com.my)

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT. kerana berkat rahmatNya kita sekali lagi dapat bertemu dalam Minda Tazkirah bagi bulan Mei. Tidak lupa juga selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Semoga kita mendapat syafaat baginda diakhirat kelak. Dan akhir sekali, kita mulakan Minda Tazkirah kita kali ini dengan Al-Fatihah.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat kita bukan sahaja dari SMART tetapi dari pelbagai organisasi lagi yang telah banyak membantu, menyokong dan bekerjasama dengan SMART dalam melaksanakan pelbagai program sejak tahun 2001 sehinggalah sekarang. Tak lupa juga kepada para pembimbing dan mentor kita dari Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia yang selalu berada disisi kita sama ada didalam kesusahan mahupun kesenangan. Inilah realitinya. Tiada sesiapa atau mana-mana organisasi pun yang boleh berdiri dengan sendirinya tanpa bantuan atau sokongan dari pihak lain. Dan inilah yang akan menjadi teras kepada tajuk Minda Tazkirah saya kali ini.

Realiti ini tidak perlu kita sangkalkan lagi. Realiti ini perlu kita lihat dan renung kembali. Adakah ianya melibatkan diri kita? Atau, adakah ianya memerlukan penglibatan kita? Tanyalah diri kita sendiri. Diam tak diam, SMART secara zahirnya berusia tujuh tahun penubuhannya pada tahun ini. Setiap tahun, tanggal 21 Disember menjadi satu tarikh kemuncak kepada organisasi. Disember, seperti mana yang diketahui menjadi bulan ketakutan kepada semua pelatih kerana pada bulan inilah mereka akan dilantik dan diangkat sebagai salah seorang Fasilitator SMART. Dalam masa yang sama, kumpulan pelatih ini akan bertungkus lumus untuk menjayakan Majlis Ulangtahun SMART. Inilah yang menjadi cabaran utama kepada para pelatih kerana mereka perlu memastikan majlis tersebut berjalan dengan baik disamping menunjukkan kemampuan dan kepimpinan mereka kepada Lembaga Penasihat dan ibubapa mereka. Lembaga Penasihat dan ibubapa akan diraikan dan dijamu dengan santapan-santapan yang dipilih oleh para pelatih terbabit. Dan klimaksnya ialah sesi Penganugerahan Lencana Kor kepada pelatih-pelatih yang layak dan mereka yang telah menamatkan Latihan Asas Fasilitator.

Persoalannya disini, berapa banyak organisasi remaja berpeluang menjalankan program dan majlis sedemikian rupa? Pernah tak kita terfikir atau berfikir? Sekiranya para sahabat pernah terfikir atau berfikir, bagus! Anda seorang yang amat prihatin dan mengambil berat tentang orang lain berbanding diri sendiri. Tetapi, bagi sesiapa yang tidak pernah terfikir atau berfikir, jangan gusar. Anda bukan kurang bagus tetapi kurang tahu. Itu saja. So, think smart and let’s start!

Baru-baru ini, saya telah dijemput oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara untuk menyampaikan ceramah kepada para kakitangan mereka dalam Bengkel Pemantapan Program Sihat Untuk Remaja. Mereka telah meminta saya untuk berkongsi pengalaman mengenai perlaksanaan program-program remaja. Kenalah dengan masanya kerana saya sedang menyediakan kertas kerja Program Sihat Melalui Anjakan Remaja Terkini atau dikenali sebagai Program SMART. Jadi, dengan kesempatan yang ada, saya berkongsi pengalaman saya bersama Kelab Nafas Baru dan SMART. Pada mulanya, reaksi mereka agak hambar. Mana taknya, sesi saya bermula jam 2.00 petang. Dari reaksi dan raut wajah para peserta, saya tahu mereka tidak nampak realiti dari sesi ceramah saya. Dengan meminta izin, saya tukar slaid powerpoint saya kepada slaid powerpoint SMART. Realiti. Itulah yang membuatkan mereka kembali celik mata dan minda kerana penerangan serba sedikit mengenai SMART dan beberapa gambar aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Selepas itu, barulah saya boleh meneruskan sesi ceramah saya yang telah diamanahkan.

Sedar tak kita. Di Malaysia, kita cukup bertuah kerana mempunyai pelbagai organisasi remaja. Tak percaya? Cuba taip perkataan program-program remaja di Malaysia dalam enjin pencari seperti Google.com atau Yahoo.com. Pasti banyak! Kalau tak silap, SMART pun ada dalam senarai carian tersebut. Kelab Nafas Baru tu jangan katalah. Memang confirm ada! Itulah salah satu kemampuan teknologi yang tidak boleh kita abaikan. Pun begitu, sejauh mana kita betul-betul mengambil tahu atau mengambil berat tentang perkara ini? Cuba lihat ke satu sudut yang lain. Apa yang kita nampak? Kepimpinan. Kepimpinan sekumpulan remaja yang cuba memimpin kumpulan remaja yang lain bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Betul? Walaupun begitu, realitinya ialah dalam memimpin, kita perlulah boleh dipimpin. Jika tidak, matlamat yang telah ditetapkan tidak akan tercapai. Seorang pemimpin yang baik ialah mereka yang boleh memimpin dan dalam masa yang sama boleh dipimpin. Tak faham? Cakap mudah, orang lebih tua (jangan marah) atau otai perlu membantu orang muda untuk menunjukkan jalan bagi memastikan matlamat tersebut tercapai. Mudah bukan?

Selepas ada kepimpinan, barulah boleh bekerjasama. Tetapi realitnya, banyak organisasi remaja tidak begitu mudah bekerjasama. Bak kata orang-orang lama, masing-masing nak nama. Saya sendiri pun pernah ditanya oleh beberapa orang Fasilitator SMART kenapa nama SMART diletakkan dibahagian bawah dalam kertas kerja. Kenapa tidak di atas sebab segala perlaksanaan dipertanggungjawabkan kepada SMART. Jawapan saya mudah. Apa yang penting, amanah dan tanggungjawab yang diberikan perlu dijalankan sebaiknya. Bukan nama kerana kalau nama hebat sekali pun tetapi kemampuan dalam memikul amanah dan tanggungjawab lemah, ianya akan memburukkan nama SMART sendiri. Itu belum lagi mereka yang ingin dan memburukkan nama dan reputasi SMART. Inilah cabaran sesebuah organisasi remaja. Adakalanya, terdapat organisasi remaja memburukkan organisasi remaja yang lain. Lebih teruk, organisasi remaja memperlekehkan organisasi remaja yang lain. Tak percaya? Percayalah kerana SMART sendiri perlu melaluinya. Alhamdunillah. Berkat kesabaran dan tawakal kepada Allah SWT. kami berjaya mengharunginya.

Realiti. Pernah orang bertanya kepada saya, adakah organisasi remaja ditempatnya? Mungkin perkataan organisasi membawa makna yang cukup besar. Lebih mudah kita labelkan kumpulan remaja. Ya! Memang ada! Tu kumpulan mat-mat rempit yang ada berselerak di pelusuk negara bukan organisasi ke? Hehehe..nanti marah pula mat-mat rempit kat saya. Sorry yea mat-mat rempit sekalian. Tak dapek den nak nolongnya. Jom kita singgah ke Permatang Manggis di Seberang Perai Utara. Nape ke sana pula? Nak kait buah manggis ke? Tak aih! Saya cuma nak bawa sahabat sekalian ke surau yang terdapat di kawasan tu. Dalam tak sedar, rupa-rupanya ada kumpulan remaja yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai PEWARIS. Hebat! Kenapa hebat? Hebatlah sebab keahliannya pun dah mencecah 50 orang ahli. Tapi ada tak sapa-sapa yang tahu yea pasal kumpulan ini? Itulah realitinya. Ramai yang tidak tahu sebenarnya. Saya sendiri pun baru jea tahun dari Pn. Azizan, staf di Pusat Racun Negara. Insyallah. Dalam masa terdekat SMART akan bekerjasama dengan PEWARIS untuk menjalankan program luar (outdoor).

Kepimpinan dah ada. Kerjasama pun dah ada tetapi kenapa kumpulan (atau organisasi) remaja masih tak dikenali? Ha! Sekarang ni kenalah memperkasakan bahagian publisiti. Macam mana ya? Cadangan saya, kalau mampu, sewa server dan bangunkan laman web macam PROSTAR. Tapi bila dah ada laman web tu, jangan lupa pula nak kemaskini. Asyik maklumat yang sama jea. Kalau makanan tu, mau jenuh basi dibuatnya. Atau bagi kumpulan remaja yang tak mampu nak sewa server, boleh bangunkan laman blog di Blogspot.com. Percuma jea. Tapi saya nasihatkan, jangan bangunkan blog politik pula. Nak bincang apa-apa pun, biarlah kena pada tempatnya. Macam SMART ada blognya sendiri (http://smart-malaysia.blogspot.com/). Kan mudah bunyinya. Mesti ada punya dalam ramai-ramai ahli tu yang berminat dan boleh membantu dalam hal-hal berkaitan IT ni. Cuba tanya tengok. Kalau takda, boleh upah Unit Media dan Dokumentasi SMART. Harga boleh runding..hehehe.

Macam mana? Ada masalah lagi? Rasa-rasa boleh memperkasakan organisasi atau kumpulan remaja yang sedia ada? Saya tanya ni bukan kepada orang luar saja tapi saya tanya ni dekat sahabat-sahabat dalam SMART sama. Al-maklumlah. Sahabat-sahabat SMART sekarang ini berada di seluruh Malaysia. Ada yang bekerja, ada yang sambung belajar dan ada yang dah berpindah. Pendek kata, dimana anda berada, idealisme SMART bawalah bersama. Rasanya cukuplah celoteh saya untuk kali ini. Insyallah jika ada rezeki dan umur panjang kita berjumpa di Minda Tazkirah akan datang. Sebelum berpisah, renung-renungkanlah mutiara kata dari Dr. H.M Tuah al-Haj ini:

Tak usah berdiri di atas air mata orang kerana kejayaan sebenar ialah kejayaan yang kita bina dengan air mata sendiri.

Wassalam!

Bengkel Pemantapan Program Sihat Untuk Remaja

Oleh: Unit Pendidikan & Komuniti SMART


Pada 29 Mac 2008 bertempat di Markas Staf Station, Batu Ferengghi telah dijalankan Bengkel Pemantapan Program Sihat Untuk Remaja anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara. Bengkel yang disertai kira-kira 30 orang kakitangan PKD SPU ini berperanan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran kakitangan untuk membantu melaksanakan program-program dalan organisasi PROSTAR amnya. Penyelaras SMART, En. Abdul Harris Hj. Abdul Wahab telah dijemput sebagai penceramah untuk membincangkan mengenai perlaksanaan program-program yang berkesan untuk golongan remaja disamping berkongsi pengalaman dan kemahiran sepanjang penubuhan SMART. Sesi beliau dimulakan pada jam 2.00 petang.

Sebagai mukadimah sesi, beliau cuba memastikan para peserta yang terlibat bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dimilikki oleh mereka. Namun, dengan waktu selepas makan tengahari, majoriti peserta kelihatan kurang bersemangat dan agak mengantuk. Ini telah dapat dikenalpasti sejak awal lagi kerana sesi-sesi sebegini menyebabkan para peserta berasa bosan. Beliau kemudiannya menukarkan sebentar slaid powerpoint beliau kepada slaid powerpoint SMART. Tujuannya ialah untuk menunjukkan realiti dan kesungguhan kumpulan remaja membangunkan organisasi sendiri disamping mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Disini, para peserta dapat membuka mata mereka sendiri akan kemampuan sebenar golongan remaja sekiranya diberikan peluang disamping diberikan bimbingan dan tunjuk ajar oleh orang-orang yang berpengalaman. Selesai persembahan slaid powerpoint mengenai SMART, beliau kembali kepada slaid powerpoint tajuk yang telah diberikan kepada beliau.

Dalam sesi ceramah dan perbincangan, beliau menekankan beberapa persoalan seperti perlakuan dan masalah sosial, punca-punca masalah sosial terjadi dan perlaksanaan program-program remaja perdana yang sedia ada. Salah satu persoalan yang menarik dibincangkan ialah mengenai teori-teori yang dikemukakan oleh para penyelidik perlakuan manusia terutama sekali remaja amnya. Menurut Gottfredson dan McNeil (1991), pada peringkat remaja, mereka mudah terikut-ikut dengan perangai rakan-rakan mereka disekeliling. Manakala menurut Bettelheim (1950), pada peringkat remaja, mereka mengubah seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak ke alam yang lebih matang dan dewasa. Walaupun begitu, menurut Nik Aziz Nik Pa (1998), beliau telah mengenal pasti tiga faktor penyumbang kepada ketegangan dalam zaman remaja iaitu perubahan fizikal yang cepat dan kematangan jantina, kedudukan sebagai manusia pinggiran dan akhir sekali, keperluan menyediakan diri untuk dunia dewasa. Melalui pembentang teori-teori ini, para peserta dapat mengetahui punca permasalahan sosial secara asasnya.

Sebelum penceramah meneruskan ke topik perbincangan seterusnya, beliau berhenti seketika untuk aktiviti permainan individu. Dalam permainan ini, para peserta diminta menulis segala keburukkan dan kelemahan diri mereka ke ata sekeping kertas kecil. Kemudian mereka perlu menggulungkan kertas tersebut dan memasukkannya ke dalam belon yang telah disediakan. Mereka dikehendaki meniup belon tersebut dan mengikatnya. Seterusnya, mereka diarahkan untuk melukis corak batik yang sesuai dengan kehendak dan diri mereka. Walaupun agak sukar dan terdapat beberapa orang peserta yang belonnya pecah, penceramah tidak menceritakan mengenai moral permainan ini. Setelah masa yang diberikan tamat, para peserta perlu menunjukkan belon-belon mereka. Kemudiannya, penceramah mengarahkan para peserta memecahkan belon-belon mereka. Disini, keseronokkan sudah mula terasa. Ada yang memecahkan belon sendiri dan ada juga yang tolong memecahkan belon kawan disebelah. Persoalannya disini, apa moral yang mereka perolehi dari aktiviti tersebut. Pelbagai jawapan yang diberikan dan semuanya hanya berkaitan dengan belon sahaja.

Pokoknya dalam permainan tersebut ialah gulungan kertas dalam belon tersebut. Dalam diri manusia, sememangnya terdapat kelemahan dan kekurangan. Namun begitu, ramai dikalangan manusia suka menyimpan kelemahan dan kekurangan tersebut dan dalam masa yang sama mencipta satu lapisan yang dipanggil hipokrit. Apabila seseorang bersikap hipokrit, secara tidak langsung dia cuma mencipta satu sikap yang menampakkan dia sedang berlakon. Itulah lukisan batik yang dilukis oleh para peserta. Realitinya, seseorang yang ingin terlibat dan menjalankan program-program remaja tidak boleh hipokrit dan tidak bermakna mereka perlu menonjolkan kelemahan dan kekurangan mereka. Tetapi cukuplah sekadar berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang ada disamping bersedia untuk mendengar dan memberikan peluang kepada golongan remaja untuk bersuara. Ini secara tidak langsung akan membuatkan golongan remaja tersebut menghormati dan merapatkan diri dengan kita.

Selepas permainan tersebut, penceramah seterusnya membincangkan topik punca-punca sesebuah program remaja tidak berkesan. Punca-puncanya adalah seperti berikut:

1. Penggunaan pendekatan mainstream.
2. Penggunaan modul yang sukar dikuasai atau diterjemah.
3. Pendekatan yang tidak mensasarkan kumpulan sasaran sebenar.
4. Strategi kurang sesuai iaitu dari pihak atasan ke pihak bawahan.
5. Perlaksanaan program secara one stop.
6. Penglibatan secara paksa.
7. Aktiviti yang tidak mencapai kehendak remaja.
8. Kekurangan aktiviti berbentuk kerohanian dan motivasi.
9. Tidak mengenali dan menguasai remaja terbabit.
10. Fasilitator/Mentor kurang sesuai atau mesra.

Sepuluh punca ini merupakan sebahagian daripada punca-punca yang menyebabkan program-program remaja kurang berkesan. Pun begitu, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Antara penyelesaian yang dicadangkan adalah seperti berikut:

1. Pendekatan “REMAJA UNTUK REMAJA”.
2. Modul yang mudah difahami dan mesra remaja.
3. Pendekatan secara menyeluruh.
4. Strategi kehendak remaja.
5. Perlaksanaan program secara berterusan.
6. Penglibatan remaja secara sukarela, aktif dan ingin dibantu dan membantu.
7. Aktiviti yang mencabar diri remaja (dalaman dan luaran)
8. Penglibatan organisasi remaja lain (program kerjasama).
9. Sistem Mentor dan Pembimbing Rakan Sebaya.
10. Fasilitator/Mentor dari kalangan remaja/belia yang berpengalaman.

Diakhir sesi, pihak penganjur telah berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada En. Abdul Harris Hj. Abdul Wahab sebagai penceramah jemputan kerana sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam menjayakan perlaksanaan program-program remaja. Sesi ceramah tersebut selesai pada jam 4.00 petang.

Tuesday, April 8, 2008

Program Anti Dadah dan Anti Rokok Peringkat Sekolah Menengah

Oleh: Unit Pendidikan dan Komuniti, SMART

Pada 19 Mac 2008, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah, Permatang Pauh, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah tersebut telah menjemput Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang untuk mengadakan sesi ceramah, bengkel dan pameran. Pusat Racun Negara juga menjemput En. Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas dan Penyelaras SMART yang merupakan kakitangan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Kehadiran En. Abdul Harris adalah untuk membantu Pusat Racun Negara dalam sesi pameran dan bengkel.


Sesi dimulakan dengan penyampaian ceramah mengenai bahaya tabiat merokok kepada pelajar-pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Sesi ceramah tersebut telah disampaikan oleh Pn. Sulastri Samsudin, Ketua Unit Pendidikan dan Pencegahan, Pusat Racun Negara. Sesi yang memakan masa hampir 1 jam 30 minit itu mengajak para pelajar mengenali apa itu rokok dan bahan-bahan yang terkandung didalam sebatang rokok. Sesi yang menggunakan paparan salid powerpoint ditambah dengan beberapa fakta terkini menunjukkan situasi sebenar perokok terutama sekali golongan remaja amnya. Dalam pada masa yang sama, penceramah juga mengemukakan beberapa soalan dari slaid-slaid ceramah beliau. Bagi pelajar yang berjaya menjawab soalan-soalan yang dikemukan, mereka diberikan hadiah sebagai tanda saguhati dan keprihatinan mereka memberikan perhatian sepanjang sesi ceramah dijalankan. Sesi ceramah ini selesai pada jam 10.30 pagi dan para pelajar yang terlibat dibenarkan keluar berehat.

Pn. Lee Chu Goik, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMKSG kemudiannya menjemput dan mengiringi rombongan ke kantin untuk minum pagi sebelum sesi seterusnya dijalankan. Semasa para pelajar yang mengikuti sesi ceramah berehat dan ahli rombongan menjamu selera, para pelajar dari tingkatan-tingkatan lain terlibat dalam sesi pameran yang diadakan. Antara bahan-bahan pameran yang disediakan oleh Pusat Racun Negara ialah poster-poster berkaitan rokok, dadah, daun ketum dan inhalan. Selain itu, contoh rekabentuk kotak rokok baru yang mengandungi pelbagai amaran bahaya merokok turut juga dipamerkan dan tidak lupa juga beberapa risalah berkaitan rokok, dadah, daun ketum dan inhalan turut sama dibawa.

Pada jam 11.15 pagi, sesi seterusnya dijalankan iaitu sesi bengkel. Dalam sesi bengkel ini, seramai 60 orang pelajar dipilih dari pelbagai tingkatan yang telah dikenalpasti berisiko tinggi terlibat dengan masalah merokok. Sesi bengkel ini dikendalikan oleh Profesor Madya Razak Haji Lajis, Pengarah Pusat Racun Negara. Sesi ini dimulakan dengan tayangan beberapa video berkaitan bahaya tabiat merokok dan penipuan syarikat tembakau yang berusaha menarik perhatian remaja untuk merokok. Terdapat juga beberapa video yang benar-benar menarik perhatian para pelajar. Ini membuktikan bahawa para pelajar terbabit mengambil perhatian dan peka dengan isi kandungan video terbabit. Selepas tayangan video terbabit, Prof. Madya Razak berbincang dengan para pelajar mengenai maksud tersirat setiap video yang ditayangkan.

Sesi bengkel diteruskan dengan latihan dalam kumpulan (LDK). LDK ini dijalankan supaya para pelajar tidak merasa bosan dan dalam masa yang sama untuk mengetahui adakah mereka masih mengingati apa yang telah disampaikan semasa sesi ceramah yang diadakan tadi. Sebelum LDK ini dimulakan, para pelajar telah dipecahkan kepada dua kumpulan besar. Kumpulan pertama dikenali sebagai Faxtor manakala kumpulan kedua dikenali sebagai Condition Zero. Dalam LDK ini, setiap kumpulan perlu meneka perkataan yang berkaitan dengan kandungan rokok dan kesan-kesan tabiat merokok. Setiap ruangan perkataan ini dikosongkan. Kumpulan-kumpulan tersebut perlu meneka abjad yang terkandung didalam ruangan kosong tersebut. Sekiranya kumpulan tersebut memilih abjad, maka bahagian-bahagian tubuh badan orang lidi akan dilukis (seperti kepala, badan, tangan, kaki, mata, hidung dan mulut) dan berada dalam posisi tergantung. Andainya lukisan orang lidi ini sempurna sifatnya, maka kumpulan tersebut kalah.

Setiap kumpulan diberikan tiga pusing yang mana setiap perkataan yang dikosongkan itu disediakan oleh Prof. Madya Razak. Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti sesi ceramah yang dijalankan pada awal pagi tadi, agak mudah untuk meneka perkataan tersebut. Dari sesi permainan ini (pada awalnya), kelihatan kedua-dua belah pihak agak pasif dan kurang memberikan kerjasama. Dalam pusingan pertama, kumpulan Condition Zero telah memenangi pusingan tersebut. Masuk sahaja pusingan kedua, kedua-dua kumpulan kelihatan agak agresif dengan persaingan untuk menang. Pun begitu, nasib menyebelahi Condition Zero. Dalam pusingan ketiga, kedua-dua kumpulan diberikan peluang untuk mencabar kumpulan lawan dengan memberikan soalan-soalan berkaitan kesan bahan-bahan khayal sama ada rokok, dadah, inhalan mahupun daun ketum. Dalam pusingan kali ini, giliran kumpulan Faxtor memenanginya. Namun begitu, kemenangan keseluruhan dimenangi oleh kumpulan Condition Zero.

Aktiviti LDK diteruskan lagi dengan aktiviti penyediaan poster kumpulan. Untuk aktiviti kali ini, setiap kumpulan perlu mempunyai 10 orang ahli sahaja. Para pelajar diberikan masa selama 5 minit untuk memilih dan membentuk kumpulan. Di akhir masa yang ditetapkan, enam kumpulan berjaya dibentuk. Setiap kumpulan kemudiannya diberikan beberapa naskah surat khabar. Tugas setiap ahli kumpulan ialah mencari dan menggunting berita-berita berkaitan gejala dan masalah sosial didalam surat khabar terbabit. Mereka kemudiannya perlu melekatkan keratan-keratan berita terbabit diatas kad manila yang telah disediakan. Poster-poster mereka ini kemudiannya akan dinilai berdasarkan kesesuaian keratan berita, kreativiti susunan dan gaya persembahan kumpulan. Masa yang diperuntukkan ialah 1 jam 30 minit. Pn. Sulastri dan En. Abdul Harris ditugaskan untuk membantu kumpulan-kumpulan untuk menyiapkan tugasan mereka.

Selesaikan masa yang diberikan, setiap kumpulan perlu berhenti dan membersihkan hasil poster dan sampah-sarap yang terdapat disekeliling mereka. Panel juri terdiri daripada pasukan Pn. Lee Chu Goik. Melalui aktiviti LDK ini, para pelajar didedahkan dengan cara dan gaya komunikasi, teknik percambahan fikiran, cara persembahan dan akhir sekali semangat kerjasama antara ahli kumpulan. Bagi setiap kumpulan yang berani dan berjaya membentangkan hasil poster kumpulan, mereka diberikan hadiah saguhati yang disediakan oleh Pusat Racun Negara. Di akhir aktiviti dan penilaian, kumpulan Impak Maksima telah dinobatkan sebagai pemenang manakala Ketua Kumpulannya dinobatkan sebagai Ketua Kumpulan Terbaik.

Di akhir sesi, pihak sekolah telah menyampaikan cenderahati kepada Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengarah, Pusat Racun Negara sebagai wakil kepada semua ahli rombongan manakala pihak Pusat Racun Negara yang diwakili oleh Pn. Sulastri menyampaian cenderahati sebab tanda penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah. Program tamat pada jam 1.00 petang.

Wednesday, March 5, 2008

SEMINAR MENANGANI REMAJA BERMASALAH

Oleh : Abdul Harris Haji Abdul Wahab (cairel_harriz@yahoo.com.my)
Pengasas dan Penyelaras, Lembaga Penasihat SMART

Bertarikh 24 Februari 2008 bersamaan 17 Safar 1429H, Yayasan Sahabat Iman dan Insan Malaysia (SIDIM), Pertubuhan Prihatin Kesihatan dan Sosial Malaysia (PRIHATIN MALAYSIA) dan Rumah Upayadaya dan Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH) telah bekerjasama menganjurkan Seminar Menangani Remaja Bermasalah bertempat di Dewan 1, Masjid Seberang Jaya. Seminar yang dihadiri kira-kira 30 orang merupakan sebuah seminar yang amat bermanfaat kepada golongan ibubapa, pendidik dan pemimpin masyarakat.

Seminar yang dimulakan pada jam 9.00 pagi dimulakan dengan ucapan oleh Encik Mohd. Nizam Mahshar, Pengarah, Rumah Upayadaya dan Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH). Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa masalah sosial dewasa kini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi golongan kanak-kanak tidak terkecuali. Kanak-kanak seawal usia terjebak dengan masalah sosial ialah 11 tahun. Ini menunjukkan bahawa masalah sosial tidak boleh dipandang ringan oleh pelbagai pihak. Menurut beliau lagi, Rumah Upayadaya dan Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH) mendapat bantuan khidmat nasihat dan sokongan dari lima buah rumah-rumah pemulihan yang terdapat di Kuala Lumpur. Melalui rumah-rumah pemulihan ini, mereka dapat mengenalpasti masalah utama yang mengakibatkan kanak-kanak dan remaja terjerumus ke dalam masalah sosial dan punca utamanya ialah masalah dalaman keluarga. Walaupun bukan 100% tetapi masalah dalaman ini kadang-kala membuatkan anak-anak ini mencari hiburan di luar disamping kelemahan akidah anak-anak terbabit. Budaya black metal yang dahulunya kecoh diseluruh negara mula mengubah cara pendekatan dan taktik mereka. Kemudian ianya diberikan nafas baru. Budaya gothic semakin bertapak di Malaysia dan membelanggu jiwa anak-anak remaja amnya. Diakhir ucapan, beliau menyarankan agar setiap ahli keluarga memainkan peranan yang penting dan terlibar secara aktif dalam membendung masalah sosial dalam kalangan remaja dan anak-anak mereka.

Sesi kemudiannya diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Kamaruddin Kasim, Timbalan Presiden, Pertubuhan Prihatin Kesihatan dan Sosial Malaysia (PRIHATIN MALAYSIA). Melalui pembentangan kertas kerjanya, beberapa perkara dibangkitkan oleh beliau. Antaranya:

1. Hanya Aktivis Lapangan tahu realiti masalah sosial dalam kalangan remaja dan kanak-kanak pada hari ini.

2. Kerenah birokrasi dan pentingkan diri sendiri merupakan halangan utama dalam menangani masalah sosial yang kian meruncing.

3. Ramai yang mementingkan wang ringgit jika diajak menjalankan kerja-kerja aktivis sebegini.

4. Sibuk dan tidak ada masa sering dijadikan alasan oleh pelajar-pelajar universiti IPTA/IPTS sekiranya dijemput untuk sama-sama membantu disamping alasan-alasan lain yang kadang-kalanya tidak munasabah.

5. Setiap Aktivis Lapangan yang ingin terlibat dalam menangani gejala sosial perlulah mempunyai persediaan sepenuhnya sama ada dari segi mental mahupun fizikal dan keberanian adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan.

6. Salah satu cabang Skin Head ialah Kumpulan Red Power. Namun begitu, bukan semua orang mengenali kumpulan mereka ini. Simbol yang sering digunakan oleh kumpulan ini ialah tali kasut berwarna merah.

7. Bagi remaja perempuan, mereka yang sering menjadi penagih gam ialah bohsia atau pun yang dikenali sebagai belen.

8. Central Square merupakan sebuah shopping complex yang popular di Sungai Petani. Namun begitu, ibubapa dinasihatkan supaya tidak membenarkan anak-anak mereka mengunjunginya kerana dikhuatiri akan terjebak dengan masalah sosial. Menurut sumber, terdapat beberapa orang remaja yang bertindak sebagai pengaruh tidak baik di sana.

9. Terdapat kes-kes zina yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah tahfiz (Maktab Mahmud, Daie dan sebagainya). Mereka telah melakukan zina dengan beberapa orang bohsia/belen yang sering menemani dan mempengaruhi mereka di Central Square.

10. Bukan itu sahaja, malah terdapat juga kes-kes dimana pasangan kekasih menonton video lucah (VCD/DVD) secara beramai-ramai didalam sebuah rumah.

11. Majoriti remaja-remaja yang ditangkap oleh Jabatan Agama Islam tahu akan masalah sosial dan kesannya kepada Islam.

12. Selain mat-mat rempit, minah-minah rempit juga tidak terkecuali terlibat sama. Untuk meningkatkan tahap keberanian, mereka akan meminum arak dan menghidu gam sebelum berlumba.

13. Dalam pada masa yang sama, punca yang tercetusnya pelbagai masalah ini ialah gerakan kristian yang menular dalam kalangan komuniti kita. Mereka dibiayai oleh gerakan kerja kristian antarabangsa.

14. Mereka (gerakan kerja kristian antarabangsa) menggunakan aktivis-aktivis dan mubaligh-mubaligh kristian untuk membantu remaja yang menghadapi masalah.

15. Gereja banyak memberikan tumpuan dan perhatian kepada setiap remaja yang terlibat dalam masalah sosial dan keluarga. Ini secara tidak langsung menjadi penyebab utama kepada ramai remaja Islam menganuti kristian kerana mereka sering diberikan perhatian.

16. Tips-tips yang penting dalam membendung masalah sosial:
Jangan benarkan anak-anak keluar rumah tanpa kebenaran ibubapa/penjaga.
Jangan biarkan anak-anak tidur/bermalam dirumah rakan.
Jangan biarkan anak-anak pergi ke shopping complex seorang diri atau bersama rakan.
Jangan percaya 100% dengan apa yang dikatakan oleh anak-anak. Selidik dulu.
Tahu dan mengenali siapa rakan-rakan anak kita setiap masa.

17. Terkini, terdapat sejenis cecair yang digunakan untuk meningkatkan nafsu seks khinzir di Thailand yang menjadi barangan popular kepada golongan remaja lelaki amnya untuk memperdayakan golongan perempuan.
Sebelum mengakhiri pembentangan kertas kerja, beliau memohon kepada belia-belia yang mempunyai masa terluang dan bersemangat untuk membendung masalah sosial supaya bersama-sama beliau untuk menjadi Aktivis Lapangan disamping menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Seminar seterusnya berhenti rehat dan para peserta dijemput untuk kudapan pagi yang disediakan oleh pihak penganjur. Seminar akan diteruskan pada jam 11.00 pagi.

Seperti yang dijanjikan, selepas para peserta berehat untuk kudapan pagi, sesi diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Hanafi Abdul Malek, Pengerusi, Yayasan Sahabat Iman dan Insan Malaysia (SIDIM). Dalam pembentangan beliau, beberapa fakta dan maklumat boleh dimuatkan disini. Antaranya:

1. Setiap tahun, kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM 60 juta untuk perbelanjaan pengurusan pusat-pusat serenti di Malaysia (28 buah keseluruhannya).

2. Harga pasaran 1 gram syabu (ice) tulen ialah RM 400.00.

3. Bagi seorang penagih dadah, mereka memerlukan lebih kurang RM 1,000.00 (sehari/sebulan) untuk memuaskan ketagihan mereka.

4. Sistem perundangan yang digunapakai di Malaysia (Common Law) merupakan sistem perundangan lapuk di negara kita.

5. Pengedar-pengedar dadah di Malaysia merupakan musuh utama negara kerana kehadiran mereka di negara ini menyebabkan lebih banyak keadaan huru-hara dan rasa kurang selamat dalam kalangan rakyat.

6. Di Kelantan, pil kuda merupakan dadah yang paling popular berbanding Pulau Pinang yang popular dengan syabu (ice) di kalangan remaja dan belia am.

7. Akibat penagihan dadah, seseorang pelajar yang cemerlang akan menjadi rosak dan tindakannya sering melampaui batas.

8. Di akhir zaman nanti, nisbah seorang lelaki bersamaan 50 orang perempuan.

9. Cara terbaik untuk menegur seseorang ialah melalui kalimah-kalimah Syurga seperti memberi salam dan membaca doa. Salah sebuah doa yang boleh diamalkan ialah:

Ya Allah, lembutkanlah hati dia/mereka kepada ku/kami sebagaimana Kau lembutkan besi kepada Nabi Daud a.s

10. Majoriti pengkid (tomboy) ialah kacukan bangsa Melayu dan India.

11. Merempit merupakan cabang kepada semua masalah hari ini.

12. Kes-kes penipuan terhadap golongan perempuan/wanita amat banyak dan mendukacitakan. Caranya mudah iaitu memasukkan pil tidur ke dalam minuman. Salah satu cara untuk menghalang penipuan ini ialah membiarkan straw minuman berada dipermukaan air. Sekiranya terasa pahit (rasa lain yang was-was), jangan minum kerana dikhuatiri dimasukkan pil tidur.

13. Prinsip pengkid – sekiranya dia tidak dapat memilikki seseorang perempuan tersebut, tiada siapa pun boleh memilikkinya. Sekiranya prinsip tersebut dilanggar, perempuan terbabit akan dibunuh, dikelar dan dipenggal kepala.

14. Zaman hidup remaja sekarang ini semakin mencabar.

15. Keuntungan yang paling minima diperolehi oleh seseorang pengusaha kafe siber (tokey cyber cafe) ialah RM 20,000.00 sebulan.

16. Terlampau lama berhadapan dengan monitor komputer boleh merosakkan retina mata kerana terdapat pertembungan ion negatif dan positif.

17. Di Pulau Pinang, gejala punk dalam kalangan remaja merupakan yang terburuk di Malaysia.

18. Mat-mat dan minah-minah rempit umpama virus yang menyerang pemikiran anak-anak remaja Islam kita manakala pelajar-pelajar Multimedia University (MMU) paling ramai murtad di Malaysia.

19. Ramai perempuan dan wanita yang bekerja sebagai operator-operator kilang di Malaysia melahirkan anak-anak luar nikah dan banyak gereja sanggup menjaga anak-anak luar nikah ini. Kemudian, mereka akan berusaha memujuk dan mengajak wanita-wanita ini menukar agama ke kristian.

20. Dunia kita sekarang ini dipenuhi dengan kemarahan lebih -lebih lagi melibatkan golongan remaja/belia. Jangan tambah lagi kemarahan ini. Cara-cara untuk menyelesaikan masalah ini dalam kalangan remaja/belia ialah:
i. Bagi perhatian.
ii. Selalu memberikan pujian.
iii. Berikan pendidikan.
iv. Pukul untuk kebaikkan.
v. Memujuk apabila semuanya reda.
vi. Memberikan penghargaan.
vii. Sering mengadakan spot check (pemeriksaan).

21. Remaja hari ini tiada tempat untuk mengadu atau mendengar masalah mereka.

22. Hari ini, jika seorang anak orang Melayu memasukki universiti, 14 orang lagi akan memasukki pusat-pusat serenti. Dan yang melakukan masalah ini adalah kalangan mereka yang mempunyai paras rupa yang menarik (handsome).

23. Antara tanda-tanda akhir zaman yang telah sabdakan oleh Nabi Muhammad saw sebelum wafatnya baginda ialah:
i. Harta negara akan beredar di kalangan orang-orang tertentu.
ii. Amanah dijadikan keuntungan.
iii. Zakat dijadikan hutang.
iv. Suami menturuti kehendak isteri.
v. Anak menderhaka kepada ibubapa sedangkan dia berbaik-baik dengan rakan.
vi. Anak-anak lelaki suka berjauhan dengan ayahnya.
vii. Suara sudah ditinggikan didalam rumah-rumah Allah (masjid/surau) – melalui pertelingkahan.
viii. Yang menjadi ketua kepada satu-satu kaum ialah yang terhina.
ix. Orang-orang jahat diangkat dan dimuliakan.
x. Arak sudah boleh diminum dimana-mana tempat.
xi. Orang lelaki menjadikan sutera sebagai pakaian.
xii. Artis-artis disanjung manakala alim ulama dipinggirkan.
xiii. Muzik dimainkan dimana saja sehingga melalaikan.
xiv. Generasi ramai melaknat sahabat-sabahat mereka sendiri.

Selepas selesai pembentangan kertas kerja oleh Ustaz Hanafi Abdul Malek, sesi diteruskan dengan perkongsian pengalaman dan masalah yang dihadapi oleh ibubapa berkaitan anak-anak remaja mereka. Sesi ini dikendalikan oleh Ustaz Hanafi sendiri.

Pengalaman Pertama
Sepasang ini merupakan ibubapa kepada seorang anak lelaki mereka yang telah menjalani sesi pemulihan di SIDIM selama 6 bulan. Anak lelaki mereka ini tidak minat belajar walaupun telah didaftarkan untuk mengambil SPM. Menurut pengakuan bapa (yang merupakan bekas guru), lebih mudah mendidik anak orang lain berbanding anak sendiri. Akibat dimanjakan dengan wang ringgit, anaknya mula terjebak dengan tabiat merokok dan kemudiannya terlibat dengan ganja. Ini semuanya berlaku secara spontan apabila anaknya suka tidur dan bermalam di rumah kawan. Ibubapa ini berasa lemah apabila menegur anak ini. Apabila menegur, anaknya ini mudah mengamuk dan sehingga sanggup memecahkan cermin kereta. Akibat penagihan, anaknya dijangkiti Hepetatis B. Setiap malam, ibunya melakukan solat hajat supaya anaknya menjadi orang yang bertakwa.

Pengalaman Kedua
Seorang wanita merupakan ibu kepada lima orang anak. Menurutnya, ketika kecil suaminya sering dipukul dan didera oleh bapa mertuanya. Apabila berkahwin, wanita ini sering dijadikan tempat untuk melepaskan geram dan tekanan. Walaupun sedang mengandung anak sulung, suaminya masih memukulnya sehinggalah dia mengandungkan anak kedua. Apabila mengandung anak kedua, si suami menjadikan anak sulung mereka sebagai pengganti isterinya untuk melepaskan geram dan tekanan. Ini adalah kerana sikap suaminya yang suka membalas dendam dengan apa yang dialaminya dulu. Kemudian, ibubapa wanita ini telah mengambil anak sulung tersebut apabila berusia awal 13 tahun. Remaja terbabit kemudiannya dijaga dan dibela oleh datuk dan nenek. Dimanjakan dengan wang ringgit, remaja terbabit tidak lagi bersekolah sejak tingkatan dua. Ini adalah kerana remaja terbabit terjebak dengan masalah menghidu gam. Kini, si ibu pasrah dan berharap agar anaknya dapat ditempatkan di SIDIM dalam masa terdekat.

Pengalaman Ketiga
Sebuah keluarga ini mempunyai tiga orang anak. Dua perempuan dan seorang lelaki. Memandangkan itulah satu-satunya anak lelaki, remaja tersebut dijaga dan ditatang seperti minyak yang penuh. Pun begitu, dalam penjagaan yang sempurna, remaja terbabit mula hilang arah. Semasa berusia 11 tahun, remaja terbabit berminat untuk bermain bola sepak. Lalu, bapanya memberikan galakkan sehinggalah satu hari, selepas latihan bola sepak, dia berasa dahaga kemudian datang seorang lelaki cina memberikannya minuman berupa air mineral. Tetapi, apabila diminum, remaja tersebut rasa lain. Pulang sahaja ke rumah, remaja terbabit memaklumkan kepada ibunya. Si ibu mengesyaki yang anaknya itu terminum holly water.

Dari bola sepak, remaja terbabit ingin terlibat dalam seni mempertahankan diri. Apabila masuk tingkatan satu, remaja terbabit menyertai tomoi (muay thai). Dengan bergurukan Gong (jurulatih dari Thailand), remaja terbabit mula memakai tangkal, ingin memotong urat betis yang kononnya untuk mengelakkan rasa sakit dan yang memeranjatkan ibubapanya ialah remaja terbabit tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah. Apabila memasukki tingkatan tiga, solat fardhu dilupakan. Remaja terbabit terlibat dengan syabu (ice). Dia juga sering menggugut untuk mencederakan ibunya sekiranya tidak memberikan RM 100 setiap hari. Disebabkan penagihan syabu, anaknya menjadi gila.

Komen Ustaz Hanafi
Menurut beliau, inilah masalah yang sering diterima olehnya. Melalui pengalaman pertama, anak pasangan terbabit telah berjaya dipulihkan. Pun begitu, keluarga perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan dan perhatian kepada anak tersebut. Melalui pengalaman kedua, beliau tiada halangan untuk menerima anak wanita terbabit. Pun begitu, beliau menasihatkan wanita terbabit supaya mengamalkan solat Istiqarah untuk mendapat petunjuk daripada Allah swt. Beliau tidak mahu apabila diambil anak itu nanti, wanita tersebut tidak boleh menerima hakikat apabila anaknya meraung meminta tolong, ampun dan maaf. Berkaitan pengalaman ketiga, beliau mengaku bahawa remaja terbabit menghadapi masalah. Bukan sahaja diri sendiri malah unsur-unsur luar seperti makhluk halus. Atas kekuasaan Allah swt. remaja terbabit kian pulih dan wanita terbabit diminta untuk bersedia menerima anaknya kembali disamping memohon petunjuk dari Allah swt.

Beliau juga mengajar para peserta seminar beberapa ayat yang boleh digunakan sama ada dalam mendidik anak ataupun kebahagiaan keluarga. Antara ayat-ayat tersebut:

Allah Tuhan mereka Tuhan kami. Hati mereka dan hati kami berada dalam gengaman-Mu. Sesungguhnya Allah menguasai atas mereka.

Ayat diatas digunakan untuk melembut hati anak atau suami atau sesiapa sahaja melalui beras. Apabila membasuh beras tersebut, dibasuhan terakhir, gengam sedikit beras (gengaman terakhir) dan bacalah ayat di atas. Insyallah, anak atau suami akan mendengar segala nasihat dan percakapan kita.

Ya Allah, lembutkan hati (nama anak/suami dan dibin atau dibintikan dengan nama ibu) kepada ku (nama kita dibin atau dibintikan dengan nama ibu) sebagaimana Kau lembutkan besi kepada Nabi Daud a.s

Doa ini afdhal dibaca selepas solat-solat fardhu mahupun solat-solat sunat. Insyallah, akan lembut hati seseorang anak, suami atau sesiapa sahaja.

Seminar berakhir pada jam 4.00 petang sebelum semua peserta dijemput untuk jamuan kudapan petang. Seminar ini telah memberikan informasi yang berguna dalam meniti kehidupan bersama remaja mahupun institusi kekeluargaan.

Tuesday, March 4, 2008

Minda Tazkirah: Cuba Contohi Muhammad

Oleh: Abdul Harris Haji Abdul Wahab (cairel_harriz@yahoo.com.my)
Pengasas dan Penyelaras, Lembaga Penasihat SMART

Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt. kerana berkat rahmatNya kita sekali lagi dapat bertemu didalam Minda Tazkirah bagi bulan Mac. Tidak lupa juga selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad saw. Semoga kita mendapat syafaat baginda kelak. Dan akhir sekali, kita mulakan Minda Tazkirah kita kali ini dengan Al-Fatihah.

Apa khabar semua? Bagaimana dengan kehidupan seharian kita? Saya harap semuanya dalam keadaan baik dan sihat sejahtera hendak-Nya. Dalam kehidupan seharian, kita sering bertemu dengan pelbagai karenah manusia yang sering ada disekeliling kita. Adakalanya kita boleh menahan dengan karenah seseorang dan adakalanya tidak. Pun begitu, inilah perjanjian kita dengan Maha Pencipta yang menjadikan kita sebagai khalifah di bumi. Di masa tertentu, kita perlu mencontohi sikap dan perilaku baik diri seseorang kerana ianya secara tidak langsung akan memberikan kesan jangka panjang dan jangka pendek dalam kehidupan kita. Begitu juga dengan kehidupan kita dalam organisasi SMART. Ada beberapa ketika, kita gembira dengan apa yang kita lakukan dan tak lupa juga, ada ketikanya kita tertekan dengan permasalahan yang membelenggu diri kita. Jalan yang paling mudah ialah tinggalkan SMART begitu saja. Setelah kita bersusah payah menghadapi semuanya, mengapa sekarang baru kita mengalah? Di mana semangat perjuangan kita selama ini? Atau lebih tepat lagi, apa nawaitu kita menyertai SMART? Hanya diri sendiri yang lebih mengetahui segalanya.

Kisah yang ingin saya bawa hari ini bukanlah mengenai organisasi kita. Secara dasarnya cuma kisah seorang insan yang boleh kita contohi dan dijadikan pedoman di kemudian hari. Insan tersebut ialah Muhammad Luqman. Siapakah Muhammad Luqman? Apa yang menarik tentangnya sehingga saya menjadikan kisahnya sebagai Minda Tazkirah kita kali ini? Apa kaitannya Muhammad Luqman dengan SMART? Mungkin itulah persoalan yang bermain dalam fikirkan kita semua. Secara realitinya, apabila kita memilih seseorang itu, kita sering bertanyakan keistimewaannya. Kalau seseorang itu mempunyai keistimewaan, barulah kita sanjung dan memujanya. Andaikata tiada apa-apa keistimewaan, jangan katakan nak mengenali, nak memandangnya pun tidak tak nak. Betul ke? Ada ke diantara kita mempunyai sikap dan sifat sebegini? Secara umumnya, contohilah Muhammad.

Muhammad Luqman, seorang remaja yang akan menjangkau usia 18 tahun pada bulan Mei ini. Merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Keningau, Sabah. Pelajar biasa dalam aliran mekanikal (kalau tak salah). Ada sifat nakalnya dan kadang-kala boleh menambat hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Pun begitu, nama sebenarnya bukanlah Muhammad Luqman. Nama tersebut saya yang cadangkan memandangkan dia suka akan nama Luqman. Gabungan dua nama manusia agung, Nabi Muhammad saw dan Lukmanul Hakim. Seorang penyebar agama Allah dan seorang lagi penasihat yang baik. Hasil gabungan dua nama tersebut, maka lahirlah Muhammad Luqman. Muhammad Luqman sebenarnya menghadapi cabaran yang berat dalam hidupnya. Walaupun baru memasuki alam remaja, dia sanggup menempuh segala cabaran dan halangan. Bukan sahaja dari keluarganya malah masyarakat sekeliling juga. Berasal dari kawasan yang bernama Nabawan, Muhammad Luqman menongkah arus kehidupan lampau salasilah keluarganya. Dari seorang remaja beragama kristian, Muhammad Luqman menukar agamanya kepada Islam pada 2007.

Terdetik dalam hati saya, bagaimana penerimaan keluarganya? Masyarakat sekeliling? Dan yang lebih penting, bagaimana dirinya boleh menerima Islam?

Jawapan Muhammad Luqman, dia tertarik dengan Islam kerana dalam Islam ada disiplin. Disiplin yang membawa erti tertib satu persatu dalam setiap perbuatan dan tindakan. Contoh yang mudah melalui solat, berpuasa dan sebagainya.

Tetapi bagaimana dengan keluarganya? Tidakkah menghalang?

Dia menjawab, bukan mudah untuk membuat keputusan lebih-lebih lagi masih dibawah jagaan dan tanggungjawab ibubapa. Pun begitu, dia sudah bertekad sehabisnya. Hidayah Allah swt telah membuka hatinya untuk menerima Islam. Baginya pengorbanan ini bukan kerana diri tetapi kerana Allah. Dia beroleh ketenangan bila dipertemukan Islam didalam hati dan kehidupannya.

Namun, bukan semua bisa menghadapi segala cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Muhammad Luqman. Tidak perlu perkatakan mengenai pertukaran agama walhal setiap tindakan kita hari ini tidak mencerminkan tanggungjawab kita kepada Allah swt. Kerana apa? Kerana majoriti daripada kita merupakan Islam baka hasil dari hubungan ibu dan bapa kita yang beragama Islam. Sayangnya, perilaku kita tidak menunjukkan sifat-sifat baik yang terkandung dalam ajaran Islam. Bukanlah saya menujukan kepada sesiapa tetapi saya menujukan kepada diri saya sendiri. Tetapi, kita tidak sedar. Adakalanya sifat kebaikkan tetap ada dalam diri kita. Itulah perjanjian kita dengan Maha Pencipta sewaktu kita dijadikan daripada empat sifat Allah, empat sifat Malaikat, empat sifat Rasullullah, empat sifat ibu dan empat sifat bapa. Gabungan kesemua sifat ini menjadikan kita seorang manusia yang sempurna tetapi apabila kita sampai di dunia ini, perjanjian itu telah “dihilangkan” sehinggalah kita dibentuk oleh ibubapa kita sebagai seorang Islam atau tidak.

Itulah sedikit sebanyak cabaran dan halangan yang dihadapi oleh Muhammad Luqman. Kini, dia berada di Nabawan, Sabah untuk mencapai matlamatnya. Bersamalah kita doakan semoga matlamatnya tercapai kelak.

Persoalannya, apa kaitan cerita Muhammad Luqman dengan SMART? Apa yang boleh kita contohi? Jawapan saya..fikir-fikirkanlah sendiri.