Rakan Kami

Sunday, May 4, 2008

Bengkel Pemantapan Program Sihat Untuk Remaja

Oleh: Unit Pendidikan & Komuniti SMART


Pada 29 Mac 2008 bertempat di Markas Staf Station, Batu Ferengghi telah dijalankan Bengkel Pemantapan Program Sihat Untuk Remaja anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara. Bengkel yang disertai kira-kira 30 orang kakitangan PKD SPU ini berperanan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran kakitangan untuk membantu melaksanakan program-program dalan organisasi PROSTAR amnya. Penyelaras SMART, En. Abdul Harris Hj. Abdul Wahab telah dijemput sebagai penceramah untuk membincangkan mengenai perlaksanaan program-program yang berkesan untuk golongan remaja disamping berkongsi pengalaman dan kemahiran sepanjang penubuhan SMART. Sesi beliau dimulakan pada jam 2.00 petang.

Sebagai mukadimah sesi, beliau cuba memastikan para peserta yang terlibat bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dimilikki oleh mereka. Namun, dengan waktu selepas makan tengahari, majoriti peserta kelihatan kurang bersemangat dan agak mengantuk. Ini telah dapat dikenalpasti sejak awal lagi kerana sesi-sesi sebegini menyebabkan para peserta berasa bosan. Beliau kemudiannya menukarkan sebentar slaid powerpoint beliau kepada slaid powerpoint SMART. Tujuannya ialah untuk menunjukkan realiti dan kesungguhan kumpulan remaja membangunkan organisasi sendiri disamping mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Disini, para peserta dapat membuka mata mereka sendiri akan kemampuan sebenar golongan remaja sekiranya diberikan peluang disamping diberikan bimbingan dan tunjuk ajar oleh orang-orang yang berpengalaman. Selesai persembahan slaid powerpoint mengenai SMART, beliau kembali kepada slaid powerpoint tajuk yang telah diberikan kepada beliau.

Dalam sesi ceramah dan perbincangan, beliau menekankan beberapa persoalan seperti perlakuan dan masalah sosial, punca-punca masalah sosial terjadi dan perlaksanaan program-program remaja perdana yang sedia ada. Salah satu persoalan yang menarik dibincangkan ialah mengenai teori-teori yang dikemukakan oleh para penyelidik perlakuan manusia terutama sekali remaja amnya. Menurut Gottfredson dan McNeil (1991), pada peringkat remaja, mereka mudah terikut-ikut dengan perangai rakan-rakan mereka disekeliling. Manakala menurut Bettelheim (1950), pada peringkat remaja, mereka mengubah seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak ke alam yang lebih matang dan dewasa. Walaupun begitu, menurut Nik Aziz Nik Pa (1998), beliau telah mengenal pasti tiga faktor penyumbang kepada ketegangan dalam zaman remaja iaitu perubahan fizikal yang cepat dan kematangan jantina, kedudukan sebagai manusia pinggiran dan akhir sekali, keperluan menyediakan diri untuk dunia dewasa. Melalui pembentang teori-teori ini, para peserta dapat mengetahui punca permasalahan sosial secara asasnya.

Sebelum penceramah meneruskan ke topik perbincangan seterusnya, beliau berhenti seketika untuk aktiviti permainan individu. Dalam permainan ini, para peserta diminta menulis segala keburukkan dan kelemahan diri mereka ke ata sekeping kertas kecil. Kemudian mereka perlu menggulungkan kertas tersebut dan memasukkannya ke dalam belon yang telah disediakan. Mereka dikehendaki meniup belon tersebut dan mengikatnya. Seterusnya, mereka diarahkan untuk melukis corak batik yang sesuai dengan kehendak dan diri mereka. Walaupun agak sukar dan terdapat beberapa orang peserta yang belonnya pecah, penceramah tidak menceritakan mengenai moral permainan ini. Setelah masa yang diberikan tamat, para peserta perlu menunjukkan belon-belon mereka. Kemudiannya, penceramah mengarahkan para peserta memecahkan belon-belon mereka. Disini, keseronokkan sudah mula terasa. Ada yang memecahkan belon sendiri dan ada juga yang tolong memecahkan belon kawan disebelah. Persoalannya disini, apa moral yang mereka perolehi dari aktiviti tersebut. Pelbagai jawapan yang diberikan dan semuanya hanya berkaitan dengan belon sahaja.

Pokoknya dalam permainan tersebut ialah gulungan kertas dalam belon tersebut. Dalam diri manusia, sememangnya terdapat kelemahan dan kekurangan. Namun begitu, ramai dikalangan manusia suka menyimpan kelemahan dan kekurangan tersebut dan dalam masa yang sama mencipta satu lapisan yang dipanggil hipokrit. Apabila seseorang bersikap hipokrit, secara tidak langsung dia cuma mencipta satu sikap yang menampakkan dia sedang berlakon. Itulah lukisan batik yang dilukis oleh para peserta. Realitinya, seseorang yang ingin terlibat dan menjalankan program-program remaja tidak boleh hipokrit dan tidak bermakna mereka perlu menonjolkan kelemahan dan kekurangan mereka. Tetapi cukuplah sekadar berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang ada disamping bersedia untuk mendengar dan memberikan peluang kepada golongan remaja untuk bersuara. Ini secara tidak langsung akan membuatkan golongan remaja tersebut menghormati dan merapatkan diri dengan kita.

Selepas permainan tersebut, penceramah seterusnya membincangkan topik punca-punca sesebuah program remaja tidak berkesan. Punca-puncanya adalah seperti berikut:

1. Penggunaan pendekatan mainstream.
2. Penggunaan modul yang sukar dikuasai atau diterjemah.
3. Pendekatan yang tidak mensasarkan kumpulan sasaran sebenar.
4. Strategi kurang sesuai iaitu dari pihak atasan ke pihak bawahan.
5. Perlaksanaan program secara one stop.
6. Penglibatan secara paksa.
7. Aktiviti yang tidak mencapai kehendak remaja.
8. Kekurangan aktiviti berbentuk kerohanian dan motivasi.
9. Tidak mengenali dan menguasai remaja terbabit.
10. Fasilitator/Mentor kurang sesuai atau mesra.

Sepuluh punca ini merupakan sebahagian daripada punca-punca yang menyebabkan program-program remaja kurang berkesan. Pun begitu, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Antara penyelesaian yang dicadangkan adalah seperti berikut:

1. Pendekatan “REMAJA UNTUK REMAJA”.
2. Modul yang mudah difahami dan mesra remaja.
3. Pendekatan secara menyeluruh.
4. Strategi kehendak remaja.
5. Perlaksanaan program secara berterusan.
6. Penglibatan remaja secara sukarela, aktif dan ingin dibantu dan membantu.
7. Aktiviti yang mencabar diri remaja (dalaman dan luaran)
8. Penglibatan organisasi remaja lain (program kerjasama).
9. Sistem Mentor dan Pembimbing Rakan Sebaya.
10. Fasilitator/Mentor dari kalangan remaja/belia yang berpengalaman.

Diakhir sesi, pihak penganjur telah berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada En. Abdul Harris Hj. Abdul Wahab sebagai penceramah jemputan kerana sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam menjayakan perlaksanaan program-program remaja. Sesi ceramah tersebut selesai pada jam 4.00 petang.

No comments: