Rakan Kami

Tuesday, March 4, 2008

Minda Tazkirah: Cuba Contohi Muhammad

Oleh: Abdul Harris Haji Abdul Wahab (cairel_harriz@yahoo.com.my)
Pengasas dan Penyelaras, Lembaga Penasihat SMART

Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt. kerana berkat rahmatNya kita sekali lagi dapat bertemu didalam Minda Tazkirah bagi bulan Mac. Tidak lupa juga selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad saw. Semoga kita mendapat syafaat baginda kelak. Dan akhir sekali, kita mulakan Minda Tazkirah kita kali ini dengan Al-Fatihah.

Apa khabar semua? Bagaimana dengan kehidupan seharian kita? Saya harap semuanya dalam keadaan baik dan sihat sejahtera hendak-Nya. Dalam kehidupan seharian, kita sering bertemu dengan pelbagai karenah manusia yang sering ada disekeliling kita. Adakalanya kita boleh menahan dengan karenah seseorang dan adakalanya tidak. Pun begitu, inilah perjanjian kita dengan Maha Pencipta yang menjadikan kita sebagai khalifah di bumi. Di masa tertentu, kita perlu mencontohi sikap dan perilaku baik diri seseorang kerana ianya secara tidak langsung akan memberikan kesan jangka panjang dan jangka pendek dalam kehidupan kita. Begitu juga dengan kehidupan kita dalam organisasi SMART. Ada beberapa ketika, kita gembira dengan apa yang kita lakukan dan tak lupa juga, ada ketikanya kita tertekan dengan permasalahan yang membelenggu diri kita. Jalan yang paling mudah ialah tinggalkan SMART begitu saja. Setelah kita bersusah payah menghadapi semuanya, mengapa sekarang baru kita mengalah? Di mana semangat perjuangan kita selama ini? Atau lebih tepat lagi, apa nawaitu kita menyertai SMART? Hanya diri sendiri yang lebih mengetahui segalanya.

Kisah yang ingin saya bawa hari ini bukanlah mengenai organisasi kita. Secara dasarnya cuma kisah seorang insan yang boleh kita contohi dan dijadikan pedoman di kemudian hari. Insan tersebut ialah Muhammad Luqman. Siapakah Muhammad Luqman? Apa yang menarik tentangnya sehingga saya menjadikan kisahnya sebagai Minda Tazkirah kita kali ini? Apa kaitannya Muhammad Luqman dengan SMART? Mungkin itulah persoalan yang bermain dalam fikirkan kita semua. Secara realitinya, apabila kita memilih seseorang itu, kita sering bertanyakan keistimewaannya. Kalau seseorang itu mempunyai keistimewaan, barulah kita sanjung dan memujanya. Andaikata tiada apa-apa keistimewaan, jangan katakan nak mengenali, nak memandangnya pun tidak tak nak. Betul ke? Ada ke diantara kita mempunyai sikap dan sifat sebegini? Secara umumnya, contohilah Muhammad.

Muhammad Luqman, seorang remaja yang akan menjangkau usia 18 tahun pada bulan Mei ini. Merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Keningau, Sabah. Pelajar biasa dalam aliran mekanikal (kalau tak salah). Ada sifat nakalnya dan kadang-kala boleh menambat hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Pun begitu, nama sebenarnya bukanlah Muhammad Luqman. Nama tersebut saya yang cadangkan memandangkan dia suka akan nama Luqman. Gabungan dua nama manusia agung, Nabi Muhammad saw dan Lukmanul Hakim. Seorang penyebar agama Allah dan seorang lagi penasihat yang baik. Hasil gabungan dua nama tersebut, maka lahirlah Muhammad Luqman. Muhammad Luqman sebenarnya menghadapi cabaran yang berat dalam hidupnya. Walaupun baru memasuki alam remaja, dia sanggup menempuh segala cabaran dan halangan. Bukan sahaja dari keluarganya malah masyarakat sekeliling juga. Berasal dari kawasan yang bernama Nabawan, Muhammad Luqman menongkah arus kehidupan lampau salasilah keluarganya. Dari seorang remaja beragama kristian, Muhammad Luqman menukar agamanya kepada Islam pada 2007.

Terdetik dalam hati saya, bagaimana penerimaan keluarganya? Masyarakat sekeliling? Dan yang lebih penting, bagaimana dirinya boleh menerima Islam?

Jawapan Muhammad Luqman, dia tertarik dengan Islam kerana dalam Islam ada disiplin. Disiplin yang membawa erti tertib satu persatu dalam setiap perbuatan dan tindakan. Contoh yang mudah melalui solat, berpuasa dan sebagainya.

Tetapi bagaimana dengan keluarganya? Tidakkah menghalang?

Dia menjawab, bukan mudah untuk membuat keputusan lebih-lebih lagi masih dibawah jagaan dan tanggungjawab ibubapa. Pun begitu, dia sudah bertekad sehabisnya. Hidayah Allah swt telah membuka hatinya untuk menerima Islam. Baginya pengorbanan ini bukan kerana diri tetapi kerana Allah. Dia beroleh ketenangan bila dipertemukan Islam didalam hati dan kehidupannya.

Namun, bukan semua bisa menghadapi segala cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Muhammad Luqman. Tidak perlu perkatakan mengenai pertukaran agama walhal setiap tindakan kita hari ini tidak mencerminkan tanggungjawab kita kepada Allah swt. Kerana apa? Kerana majoriti daripada kita merupakan Islam baka hasil dari hubungan ibu dan bapa kita yang beragama Islam. Sayangnya, perilaku kita tidak menunjukkan sifat-sifat baik yang terkandung dalam ajaran Islam. Bukanlah saya menujukan kepada sesiapa tetapi saya menujukan kepada diri saya sendiri. Tetapi, kita tidak sedar. Adakalanya sifat kebaikkan tetap ada dalam diri kita. Itulah perjanjian kita dengan Maha Pencipta sewaktu kita dijadikan daripada empat sifat Allah, empat sifat Malaikat, empat sifat Rasullullah, empat sifat ibu dan empat sifat bapa. Gabungan kesemua sifat ini menjadikan kita seorang manusia yang sempurna tetapi apabila kita sampai di dunia ini, perjanjian itu telah “dihilangkan” sehinggalah kita dibentuk oleh ibubapa kita sebagai seorang Islam atau tidak.

Itulah sedikit sebanyak cabaran dan halangan yang dihadapi oleh Muhammad Luqman. Kini, dia berada di Nabawan, Sabah untuk mencapai matlamatnya. Bersamalah kita doakan semoga matlamatnya tercapai kelak.

Persoalannya, apa kaitan cerita Muhammad Luqman dengan SMART? Apa yang boleh kita contohi? Jawapan saya..fikir-fikirkanlah sendiri.

No comments: