Rakan Kami

Wednesday, July 30, 2008

MINDA TAZKIRAH – MENGHADAPI TEKANAN DALAM PENGORBANAN



Bismillahhirrahmannirrahim.
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,

Mutiara Muqqadimah:
Menghargai keistimewaan diri ibarat berada di puncak sebuah bukit, harganya tidak ternilai (Dr. H.M Tuah al-Haj)

Terlebih dahulu marilah kita mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab, Al-Fatihah dan kemudian kita berselawat kepada Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Semoga kita beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak. Al-Fatihah...

Apa khabar semua? Sihat? Bagaimana dengan kehidupan yang serba mencabar sekarang nie? Boleh harunginya? Sekarang nie, semua harga dah naik. Saya sendiri yang hidup bujang ini pun tidak terkecuali merasai beban kenaikkan harga nie. Tapi jangan risau atau gusar. Andai kita tahu merancang perjalanan dan perbelanjaan kita, Insyallah, kita masih boleh berjimat. Rasanya tak perlulah saya berikan cara-cara untuk berjimat sebab saya bukan pakar ekonomi (hehehehe). Baiklah. Kita sambung kembali Minda Tazkirah pada kali ini. “Menghadapi Tekanan Dalam Perjuangan”, tajuk yang saya akan bincangkan pada kali ini. Kira sambungan Minda Tazkirah yang lalu (sila rujuk - http://smart-malaysia.blogspot.com/).

Siapa yang tidak pernah mengalami tekanan atau stress? Rasa-rasanya, semua pernah melalui dan merasainya. Adakalanya tekanan yang kecil dan adakalanya tekanan yang besar. Realitinya, setiap tekanan tersebut, kita perlu menghadapinya. Saya tahu, ada yang cuba untuk melarikan diri dari tekanan tersebut tetapi sayangnya, lagi kita lari, lagi tekanan tersebut mengejar kita. Nasihat saya, BERHENTI! dan hadapi tekanan tersebut. Begitulah juga kita yang berada dalam sesebuah organisasi. Tidak kiralah organisasi di tempat kerja mahupun organisasi remaja seperti SMART. Tekanan tetap berada di mana-mana. Kebijaksanaan dan kebijaksinian (seperti kata-kata Prof. Madya Razak) kita diperlukan untuk menghadapinya. Tetapi bagaimana ya? Hurm..rasanya lebih mudah jika saya ceritakan mengenai pengalaman saya disini. Pengalaman bulan lepas dan bulan ini. Jadi, sama-samalah kita menilai tekanan macam mana yang telah saya hadapi dan bagaimana kita nak menyelesainya.

Ingat lagi dengan kes Eric (bekas Presiden SMART)? Rasanya kes paling gempar selepas kes Reformasi pada tahun 2002. Kiranya sejarah berulang kembali. Dalam kes tersebut, terlampau banyak tekanan yang telah saya terima termasuklah dari Lembaga Penasihat, fasilitator-fasilitator, ahli-ahli, bekas ahli-ahli dan tak lupa juga, penaja-penaja tiket penerbangan Eric. Ini ditambah lagi dengan emel-emel yang dihantar oleh Lembaga Penasihat. Sangat berikan tekanan kepada saya. Saya ada tunjukkan beberapa emel tersebut kepada Jan. Tujuannya untuk dia melihat sendiri tekanan yang saya perlu hadapi sebagai seorang Penyelaras SMART. Dalam masa yang sama, saya nak Jan nampak sendiri apa yang telah dia dan rakan-rakan lain lakukan kepada saya lebih-lebih lagi tindakan mereka keluar dari SMART. Tertekan? Memang saya sangat tertekan diwaktu itu. Perkara ini saya pernah bincangkan dengan Acah. Kata Acah, dulu masa Jan, Isa dan lain-lain nak sertai SMART, boleh pula berjumpa dengan saya tetapi bila keluar dari SMART, suruh Syazwan dan Suven pula yang hantar Kad Keahlian, Pas Fasilitator dan Lencana Kor kepada saya. Betul juga kata-kata Acah tu tapi biarlah. Sudah menjadi adat orang Melayu kita. Bila memerlukan sesuatu, kita sanggup mencari sehingga ke lubang cacing tetapi bila kita tidak memerlukannya, kita buang ibarat tiada nilai langsung selama ini. Nasihat saya, cerminlah diri dan renung kembali siapa diri kita sebelum kita berada di tahap sekarang ini.

Bagaimana? Dapat merasai tekanan yang saya hadapi? Bukan mudah untuk sesiapa merasainya. Ini melibatkan diri dan perasaan seseorang. Tindakan saya ialah biarkan saja. Ini adalah kehendak Jan, Isa dan lain-lain untuk berada diluar SMART. Takkan saya nak paksa pula? SMART hanyalah organisasi yang memerlukan semangat kesukarelawan bagi menjalankan program dan akitivi. Jika kita sendiri tidak mampu dan sanggup membantu diri kita sendiri, bagaimana kita mampu dan sanggup membantu orang lain pula? Itulah kehebatan ahli-ahli SMART. Sanggup berkorban walaupun menghadapi tekanan. Secara tidak langsung, semangat kekeluargaan yang saya tekankan selama ini menjadi ikatan kepada kita semua. Tak gitu? Mari kita lihat tekanan seterusnya.

Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti berusaha untuk membawa pulang kembali Jan, Isa dan ahli-ahli lain ke SMART. Sehinggalah pada satu hari, semasa saya, Jan dan Isa keluar minum di Perhentian Bagan Ajam, saya bertanya kepada Jan dan Isa kenapa mereka mengambil keputusan untuk keluar SMART sedangkan setelah hampir lima tahun mereka berjuang bersama-sama saya di dalam SMART.

Jawapan Isa, “Hang faham-fahamlah sendiri...”

Manakala jawapan Jan, “Kami sibuk kerja, mana ada masa nak tumpu kat SMART. Lagipun kami takleh nak join kem-kem tu semua”.

Pelik. Dari nada kata-kata mereka berdua, saya dapat rasakan ada sesuatu yang terbuku dalam hati mereka. Jika melibatkan sikap dan kepimpinan saya, saya dengan rasa rendah dirinya memohon maaf atas apa yang telah berlaku. Pun begitu, adakalanya seseorang pemimpin perlu membuat keputusan yang kurang popular bukan saja kepada fasilitator-fasilitator malah kepada ahli-ahli juga. Realitinya disini, terdapat sebilangan ahli yang kurang bersetuju dengan segala kelebihan yang dimilikki oleh seseorang fasilitator dan dalam masa yang sama, terdapat juga sebilangan fasilitator kurang senang dengan apa yang diberikan kepada seseorang ahli SMART. Antaranya kelebihan seseorang ahli ialah apabila abang atau kakak angkatnya merupakan Fasilitator Senior SMART. Begitu juga dengan penyertaan seseorang fasilitator dalam mengendalikan kem. Saya sendiri sebagai Penyelaras Kem tidak boleh berdepan atau menghadapi masalah penglibatan fasilitator yang ramai dalam sesebuah program perkhemahan kerana sekiranya sesebuah program perkhemahan itu mempunyai kuota fasilitator yang berlebihan, secara tidak langsung ianya akan memberikan kesan kepada kos perbelanjaan kem tersebut (contohnya pengangkutan, insurans, makan/minum dan sebagainya). Begitu juga jika kekurangan fasilitator. Akibatnya perlaksanaan aktiviti dan keselamatan para peserta akan tergugat. Memandangkan masalah seperti inilah yang membuatkan saya terpaksa memilih fasilitator-fasilitator yang sesuai dan layak menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan. Dalam masa yang sama, setiap fasilitator yang akan terlibat dalam sesebuah program perkhemahan, perlulah mendapat pengesahan dan kelulusan dari Lembaga Penasihat.

Bagaimana pula dengan cerita saya di atas? Memberikan tekanan tak? Rasanya bukan saya sahaja melaluinya malah beberapa fasilitator SMART juga pernah menghadapinya. Ini termasuk juga beberapa rakan saya di persatuan-persatuan belia dan Majlis Fasilitator Pulau Pinang. Simpati. Itulah yang boleh saya katakan. Realitinya, ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang terpaksa meletak jawatan kerana tekanan yang dihadapi dan saya juga tidak terkecuali. Saya sendiri telah beberapa bercadang untuk meletakkan jawatan dan keluar dari SMART. Namun, sehingga hari ini, niat saya tersebut terpaksa saya lupakan seketika kerana SMART masih memerlukan saya. Tindakan saya sekarang ini ialah membiarkan SMART seperti sedia ada. Saya sendiri telah melupakan niat saya untuk membawa pulang Jan, Isa dan lain-lain ke dalam SMART. Tak guna memaksa atau merayu kerana tekanan yang bakal dihadapi pada masa depan akan lebih teruk dan secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada fasilitator-fasilitator dan ahli-ahli yang ada sekarang ini.

Tekanan yang ingin saya kongsi terakhir ini merupakan tekanan terkini. Mungkin ada yang mengetahui dan mungkin ada yang tidak mengetahui mengenai kejayaan saya membantu Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (PPDU) mendapatkan projek bernilai RM 40,000. Izinkan saya ceritakan sedikit mengenai projek tersebut. Projek tersebut merupakan sebuah Projek Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) yang diketuai oleh Y. Bhg. Prof. Lim Koon Ong, Timbalan Naib Canselor BJIM. Pada asalnya, projek tersebut bernlai RM 20,000 sahaja dan semua pusat di USM boleh menghantar proposal mereka berkaitan projek yang melibatkan industri dan masyarakat. Akhirnya, sebanyak 31 proposal telah dihantar oleh pusat-pusat di USM termasuklah Pusat Racun Negara (PRN). Malangnya, pada pusingan pertama, proposal PRN berkaitan Kelab Nafas Baru telah ditolak manakala proposal PPDU memasukki pusingan kedua. Diwaktu itu, hubungan saya dengan PRN mula renggang kerana kes Eric dan mulalah terbit suara-suara sumbang yang mengatakan saya sekarang ini berlagak setelah berjaya mengalah PRN. Dipendekkan cerita, akhirnya PPDU dan 16 proposal lain telah diterima dan disahkan menerima dana dari BJIM. Lebih menarik, proposal PPDU telah berjaya menarik perhatian dan sokongan Timbalan Naib Canselor sehingga beliau memberikan dana sebanyak dua kali ganda kepada PPDU iaitu RM 40,000! Ini secara tidak langsung membuatkan pusat-pusat lain agak cemburu dengan kejayaan PPDU. Nak tahu apa projek PPDU? Program Sihat Melalui Anjakan Remaja Terkini (S.M.A.R.T) yang mana sekarang ini dikenali sebagai Program Bebaskan Diri Dari Tembakau dan Dadah (BERTEKAD).

Realitinya, projek ini merupakan gabungan Kelab Nafas Baru dan SMART. Dr. Sabariah Ismail, Wakil Tetap JIM PPDU yang merupakan bos projek saya ini bersungguh-sungguh mahukan SMART terlibat 100% dalam projek ini. Tetapi sayangnya, apabila saya khabar situasi SMART hadapi sekarang ini, beliau agak terkilan kerana beliau menyatakan proposal ini disediakan oleh saya selaku Penyelaras SMART. Jadi kenapa SMART tidak berminat? Beliau sendiri sanggup menaikkan bayaran khidmat fasilitator SMART dari RM 120 sebulan ke RM 200 sebulan. Setelah berbincang dan memujuk akhirnya beliau setuju SMART tidak terlibat secara 100% cuma SMART akan terlibat dalam dua program perkhemahan di Pulau Aman dan Muka Head. Pun begitu, saya telah berjaya memujuk saudara Akmal untuk terlibat dalam projek tersebut. Saya berharap agar saudara Ibrahim (AJK Disiplin, Tatatertib dan Penilaian) menyediakan satu bentuk penghargaan kepada saudara Akmal kelak.

Cuma satu sahaja yang ingin saya kisahkan disini dan mungkin menarik minat semua ialah mengenai kehadiran Isa dan Jan pada malam 16 Jun yang lalu. Masa itu saya sedang menonton TV. Kehadiran mereka saya sambut seperti biasa. Lagipun waktu itu saya hampir tertidur kerana keletihan menguruskan projek tersebut. Semasa berbual, saya maklumkan kepada Isa dan Jan mengenai ‘kepulangan’ saya ke PRN dengan membawa projek tersebut.

“Hang dah baik dengan Abang Razak ka?”, tanya Isa.

Noktah. Jawapan saya mudah saja. Kemana saya nak bawa projek tersebut? SMART sekarang ini tidak mempunyai kekuatan seperti dahulu. Oleh yang demikian, saya terpaksa ‘balik’ ke PRN kerana segala kepakaran dan bantuan ada di PRN. Saya sendiri terpaksa tebalkan muka dan telinga di PRN kerana kesilapan saya terlampau mendengar kata-kata ahli dan fasilitator SMART. Nasib baiklah Prof. Madya Razak boleh menerima saya kembali di PRN. Jika tidak, tidak tahulah dimana lagi saya ingin dapatkan bantuan dan kepakaran dalam menguruskan projek tersebut. Sekarang ini, alhamdunillah, beberapa tugasan dapat saya selesaikan termasuklah kebenaran memasukki Sekolah Menengah Teknik Batu Lanchang, Pulau Pinang dan aktiviti pertama projek tersebut ialah Bengkel Fasilitator Program BERTEKAD yang akan diadakan pada 28 Jun ini.

Tertekan tak? Hehehehe. Relaks. Setiap pengorbanan yang dibuat tentulah mempunyai tekanannya yang tersendiri. Itulah yang membuatkan setiap kejayaaan itu amat manis bagi diri kita. Penyelesaian saya dari kisah diatas, walau apa pun yang berlaku, kita masih mempunyai orang yang sudi dan boleh membantu kita walaupun ada ketika itu kita membelakangkan orang tersebut berbanding rakan-rakan sekeliling kita yang adakalanya menjatuhkan dan menaikkan diri kita. Kita sendiri, perlulah mengambil keputusan yang bijak dan wajar. Duduk sebentar dan fikirkan tekanan yang sedang kita hadapi. Insyallah, akan ditunjukkan jalan kepada kita. Nasihat saya kepada semua, jika hadapi tekanan atau masalah, rujuklah kepada mereka yang lebih berpengalaman dan dalam masa yang sama, mohonlah kepada-Nya agar diberikan petunjuk dan jalan yang diredhai-Nya.

Wassalam.

No comments: