Rakan Kami

Wednesday, May 4, 2011

Kem HARIS Edisi April/Mei 2011 TAMAT!

Assalammualaikum wbt. dan Salam Muhibbah semua.

Alhamdulillah. Akhirnya Program Perkhemahan Himpunan Anak Remaja Islam atau lebih dikenali sebagai Kem HARIS Edisi April/Mei 2011 telah selesai dilaksanakan. Kem yang telah dilaksanakan selama tiga hari dua malam telah mengumpulkan hampir 33 orang termasuk peserta dan fasilitator yang bertugas sepanjang kem tersebut dijalankan.

Penyertaan para peserta kali ini terdiri daripada beberapa buah sekolah menengah di Pulau Pinang termasuklah SMK. Machang Bubok, SMK. Bertam Indah, SMK. Datuk Haji Ahmad Badawi, SM. Agama Al-Mashoor (Lelaki) dan Maahad Al-Imam An-Nawawi. Penyertaan kali ini amat memberangsangkan disebabkan promosi oleh para peserta Kem HARIS yang lalu.

Sepanjang program perkhemahan tersebut, para peserta telah mengikuti aktiviti-aktiviti yang disediakan. Antaranya ialah Info Race, K.I.K.U, I Will Follow You, Holding On You, Eksplorasi Remaja, Cabaran Menjadi Remaja, Explorace dan Liku-Liku Cahaya. Setiap aktiviti yang dilaksanakan mempunyai kekuatan dan falsafahnya tersendiri.

SMART Malaysia ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang telah menaja 10 orang peserta, Pusat Racun Negara (USM Pulau Pinang) yang telah menyumbang peralatan pengurusan program, Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (USM Pulau Pinang) yang telah menyumbangkan sijil penghargaan dan sijil penyertaan serta 10 helai t-shirt untuk para fasilitator bertugas dan tidak ketinggalan kepada Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang (PERMUAFAKAT) kerana telah menyumbangkan 22 helai t-shirt buat para peserta yang terlibat.

Penghargaan tidak terhingga juga turut diberikan kepada para fasilitator bertugas yang telah menyumbangkan tenaga, idea dan wang ringgit untuk menjayakan Kem HARIS kali ini. Mereka ialah Abdul Harris, Muhd. Ibrahim, Akmal Amin, Idham Helmi, Amir Izwan, Azli Syam, Shahrul, Lukmanul Hakim, Farid, Iskandar, Nurul Hazreen, Ahmad Naim dan Nur Hidayah. Tanpa mereka semua, mungkin perlaksanaan Kem HARIS tidak dapat direalisasikan dengan sempurna.

Buat mereka yang tidak sempat menyertai Kem HARIS yang telah dilaksanakan, usah khuatir. Insyallah, Kem HARIS akan kembali lagi dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Teruskan menyokong perjuangan kami semua!

No comments: