Assalammualaikum wbt. dan Salam Sejantera buat pengunjung dan pembaca blog rasmi SMART Malaysia. Semoga segala perkongsian ilmu dan pengalaman yang dimilikki oleh SMART Malaysia akan memberikan faedah kepada semua.
Rakan Kami
Wednesday, January 21, 2009
Sukarelawan satu kepuasan?
Sumber : KOSMO! Online
Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misi-misi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng.
JIKA diminta menawarkan diri untuk melakukan kerja sukarela, pasti ramai yang akan berfikir panjang. Apa tidaknya, tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran, dan kerap kali tiada penghargaan.
Namun ramai juga individu seperti Shahriman Abdul Rahman, 37, anggota sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Salam Malaysia merasakan kerja sebagai sukarelawan memberikan kepuasan kepadanya.
Pekerja kilang di Mentakab, Pahang itu menganggotai Yayasan Salam sejak tahun 2000 kerana merasakan kerja sukarelawan adalah satu perkara terbaik yang pernah dilakukannya untuk membantu insan yang memerlukan.
"Pelbagai program telah saya ikuti dan terbaru ialah mengikuti misi kemanusiaan ke Kemboja anjuran Yayasan Salam dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Veteran Kedah.
"Sepanjang berada di sana, kami dapat melihat dan merasai kesusahan masyarakat Islam di Kratie, Kemboja. Melihat itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh sekarang," katanya.
Kata-kata Shahriman turut disokong rakannya, Diana Syafiza Said, 26, yang berpendapat kerja sukarelawan mampu melatih dirinya menghargai setiap pemberian yang dikurniakan.
"Kini, saya lebih bersyukur kerana kalau kita fikir kita susah, masih ada orang lain yang lebih susah. Saya berminat menjadi sukarelawan sebab ia memberi kepuasan kepada saya, selain minat saya untuk membantu orang yang memerlukan," katanya yang bekerja sebagai Jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur.
Cabaran menjadi sukarelawan
Walaupun tugas sukarelawan ini tidak seperti tugas anggota polis, tentera dan bomba, namun sumbangan mereka dalam misi-misi kemanusiaan tidak boleh dipandang enteng. Shahriman juga berpendapat, dalam menjalankan kerja kebajikan atau sukarela, cabaran mental dan fizikal, amat diperlukan.
"Kita harus mempunyai keyakinan diri, selain sihat untuk menjalankan kerja sukarela ini. Misalnya, ketika kejadian tsunami di Aceh, kami memerlukan sepenuh kudrat untuk mengangkat mayat," katanya.
Bagi Diana Syafiza pula, sebagai seorang wanita, beliau tetap bersemangat melakukan tugasnya walaupun menuntut pengorbanan yang tinggi daripada segi tenaga, wang dan masa, selain terdedah kepada bahaya dan risiko penyakit.
"Apa yang penting, kita harus tabah dan berani untuk melakukan tugas ini. Bukan semua orang mampu membuatnya. Menyertai badan sukarela bukan bertujuan makan angin atau melancong.
"Tanggapan itu tidak boleh ada sama sekali. Kita kena ikhlas dengan apa yang kita nak buat. Barulah apa yang kita buat diberkati," katanya.
Kos menjadi cabaran
Seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Salam. Datuk Ahmad A. Talib berkata, kos dan dana adalah cabaran utama bagi menjayakan sesuatu misi kemanusiaan.
"Apa yang menjadi masalah ialah kos. Kami mengharapkan ada individu atau badan-badan korporat bermurah hati untuk membantu. Bagi individu, pihak kami akan mengeluarkan resit yang membolehkan mereka mendapat rebat cukai pendapatan.
"Seperti contohnya, pembinaan masjid di Kampung Praksandai, Tropengbeang, dan Tanaksawai di wilayah Kratie, Kemboja yang mana setiap satunya memerlukan perbelanjaan hampir RM63,000. Tetapi buat masa ini, kami hanya mampu membantu setakat RM10,000 sahaja," katanya.
Sementara itu, Presiden MAYC Veteran Kedah, Fazilah Ismail pula berkata, MAYC Veteran hanya wujud di Kedah.
"Di negeri-negeri lain, masih belum ada. Tujuan kami adalah membantu bekas aktivis masyarakat yang berumur kerana selepas bersara menjadi aktivis, mereka ini seolah-olah dilupakan.
"Untuk itu, kami akan membantu setakat yang mampu," katanya sambil memberitahu Yayasan Salam dan MAYC Veteran Kedah saling bekerjasama bagi membantu mereka yang ditimpa kesusahan termasuk melaksanakan projek kemanusiaan.
Misi kemanusiaan
Bagi Yayasan Salam, misi kemanusiaan adalah misi utama yang sentiasa diberi perhatian penuh.
Ahmad berkata, sekiranya tidak mempunyai dana sekalipun untuk membantu, yayasan itu akan tetap digerakkan untuk membantu sekadar yang boleh terutama daripada segi tenaga dan kepakaran.
Semasa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu, Yayasan Salam melancarkan Tabung Bencana Bukit Antarabangsa bagi membantu penduduk yang terlibat.
Sebagai sebuah pertubuhan yang tidak mengaut keuntungan, membantu rakyat negara ini yang ditimpa bencana adalah keutamaan.
"Kami tidak mahu dilihat seperti menganaktirikan penduduk tempatan apabila kami menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain. Kami lebih mementingkan bantuan kepada mereka yang susah di negara sendiri. Kemudian barulah kami fikirkan untuk membantu penduduk luar seperti di Somalia dan Pakistan, " katanya. - Bernama
Sunday, January 11, 2009
Majlis Kesyukuran & Ceramah Maal Hijrah 1430H

Maal Hijrah menjelma lagi. Tahun ini kita menyambut Maal Hijrah kali 1430. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sama ada peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun kawasan. Bandar Seberang Jaya yang menjadi lokasi utama SMART juga tidak terkecuali mengadakan sambutan Maal Hijrah ini. Hasil inisiatif dan usaha Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah dan Majlis Perpaduan & Kebajikan Rakyat Negeri Pulau Pinang, majlis sambutan tersebut telah berlangsung dengan jaya di perkarangan Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah. Majlis dimulakan dengan pendaftaran para tetamu dan hidangan makan malam disamping aluan lagu-lagu nasyid yang memuji kebesaran Illahi. Selepas solat Isyak, para tetamu telah dijemput untuk memenuhkan ruangan hadapan kerana penceramah jemputan telah tiba. Pengerusi Majlis seterusnya memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Baqarah oleh pelajar sekolah agama rakyat yang dijemput khas oleh pengelola. Pelajar terbabit baru berusia lapan tahun. Walaupun agak gementar ketika memperdengarkan bacaan Al-Quran, namun ketekunannya perlu menjadi inspirasi kepada para remaja hari ini [sila tonton video dibawah].
Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput YB Datuk Arif Shah Hj. Omar Shah untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapan, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan dalam menjayakan majlis yang diadakan. Beliau juga mengingatkan mengenai sikap kita sebagai hamba Allah yang perlu redha dengan segala yang berlaku dan dalam masa yang sama memuhasabahkan diri. Muhasabah diri ini tidak hanya dalam tempoh masa tertentu sahaja tetapi perlu diteruskan dari semasa ke semasa demi kebaikkan diri pada masa hadapan. Beliau juga dalam masa yang sama memaklumkan kepada para tetamu, sekiranya mempunyai masalah berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mereka boleh terus berhubung dengan beliau kerana beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pihak Berkuasa Tempatan.
Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput penceramah yang diundang khas, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hassan untuk menyampaikan ceramah. Menurut penceramah, tahun baharu Hijriah bermula selepas masuknya waktu maghrib dan menjadi amalan sunat untuk seseorang itu berdoa untuk akhir tahun iaitu selepas asar dan berdoa untuk awal tahun selepas maghrib. Meneruskan sesi ceramah tersebut, beliau menceritakan mengenai peristiwa sebelum zaman Hijrah. Pada masa itu, Nabi Muhammad SAW telah dipulau, dihina, dimaki dan diseksa dari segi fizikal dan mental. Ini termasuk juga para sahabat Baginda seperti Bilal Bin Rabah, Yasser dan lain-lain lagi. Selain dari itu, Baginda juga pernah diberikan rasuah oleh kaum jahilliah supaya berhenti berdakwah. Antaranya menjadi raja, diberikan kekayaan dan harta benda malah mereka juga menawarkan perempuan-perempuan yang cantik. Namun, semuanya itu ditolak mentah-mentah oleh Baginda.
Memandangkan segala usaha itu tidak berkesan, mereka berjumpa dengan Baginda dan mencabar Baginda dengan beberapa perkara sekiranya inginkan mereka memeluk Islam dan keluar dari agama nenek moyang mereka. Antara cabaran mereka ialah meminta supaya Baginda mengeluarkan mata air, menyediakan ladang kurma, menurunkan langit berkeping-keping ke atas mereka seperti mana diancamkan kepada mereka dan membawa Allah dan malaikat bersemuka dengan mereka. Segala tuntutan dan cabaran yang diberikan oleh mereka kepada Baginda tidak dapat ditunaikan kerana Baginda hanyalah utusan Allah SWT.
Akhirnya, satu mesyuarat kabilah tergempar telah diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, iblis menyertainya dengan menjelmakan diri sebagai salah seorang ahli kabilah tersebut. Dalam mesyuarat tersebut, mereka mencadangkan beberapa perkara untuk memusahkan Baginda. Antara cadangan mereka ialah membuang daerah, memenjarakan Baginda dan akhir sekali membunuh Baginda. Cadangan yang pertama dan kedua telah dibantah oleh iblis laknatullah. Akhirnya cadangan membunuh Baginda telah diterima dengan sebulat suara. Mereka kemudiannya mencaturkan strategi untuk membunuh Baginda. Malam yang telah dirancangkan, mereka telah bersedia untuk membunuh Baginda namun Baginda sedar akan hal tersebut. Penceramah kemudiannya bertanya kepada para tetamu akan usaha Baginda untuk mengelakkan diri dari dibunuh. Menurut penceramah, Baginda telah membaca ayat kesembilan dari Surah Yassin iaitu:
WAJA’ALNAA MIMBAINI AIDIIHIM SADDAU WAMIN KHALFIHIM SADDAM FA AGH SYAINAAHUM FAHUM LAA YUBSIRUUN
Penceramah mengajak para tetamu mengamalkan ayat ini ketika berada didalam kesusahan mahupun kesulitan. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkatinya.
Menurut penceramah, kejayaan Nabi Muhammad SAW seringkali menjadi rujukan orang ramai diseluruh dunia. Pun begitu, sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang mampu menandingi kehebatan Baginda. Kenapa Baginda berjaya? Itu persoalan yang dikemukakan oleh penceramah. Terdapat tiga faktor utama kejayaan Baginda iaitu:
Pertama – Keperibadian dan perwatakkan yang sempurna. Baginda diberikan gelaran Al-Amin iaitu amat dipercayai.
Kedua – Akhlak dan tingkahlaku yang terpuji. Sekiranya berada di dalam halaqah (bulatan) ketika berbincang, Baginda tidak akan keluar halaqah tersebut sebelum para sahabat. Apabila bersalam, biarlah orang menarik tangan dulu sebelum kita dan apabila bersalam, tengok mata orang terbabit. Didalam masyarakat, Baginda juga amat mengasihani orang fakir, orang susah dan orang sakit.
Dalam waktu ini, penceramah membuat jenaka. Beliau menyatakan sekiranya seseorang bersalam tanpa melihat mata, itu bermaksud orang itu sombong atau membela hantu raya. Diwaktu ini para tetamu gelak dengan gelagat penceramah.
Ketiga – Kebijaksanaan dalam tindakan. Ini membolehkan kejayaan Baginda dalam setiap tindakan yang diambil.
Penceramah juga menyatakan bahawa beliau banyak terlibat dalam kes-kes membabitkan perceraian suami isteri. Menurut beliau, orang lelaki mempunyai sikap yang paling buruk iaitu EGO & PANTANG DICABAR manakala orang perempuan pula amat pantang apabila di KRITIK & PUJI. Ini merupakan tips yang berguna untuk mereka yang bakal mendirikan rumah tangga mahupun untuk mereka yang ingin mengecapi kebahagiaan dalam berumah tangga.
Majlis tamat pada jam 10.30 malam selepas YB Datuk Arif Shah menyampaikan cenderahati kepada mereka yang terlibat. SMART melalui Unit Kebajikan dan Sosial mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Khidmat YB Datuk Arif Shah kerana telah menjemput kami ke majlis ilmu yang telah diadakan. Harapan kami agar majlis-majlis seperti ini diteruskan pada masa depan demi pembangunan diri dan sahsiah rakyat dikawasan sekitar.
Disediakan oleh: Unit Kebajikan dan Sosial, SMART
Sunday, January 4, 2009
MINDA TAZKIRAH: Terima Kasih 1429H & Selamat Datang 1430H

Bismillahhirrahmannirrahim.
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,
Mutiara Muqqadimah:
Manusia mencipta peluang, Allah SWT menjayakannya. Kita dikurniakan kekayaan yang luar biasa untuk mencipta berbagai-bagai peluang yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat (Ustaz Akhil Hayy Rawa)
Alhamdunillah. Bertemu kita sekali lagi dalam kolum Minda Tazkirah yang merupakan salah satu medium penulisan saya untuk mengetengahkan idea dan padangan saya berkaitan isu semasa lebih-lebih lagi berkaitan remaja dan belia. Sebelum saya mulakan nukilan saya ini, marilah kita bersama-sama mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab dan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Al-Fatihah.
Apa khabar? Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan salam Maal Hijrah dan selamat tahun baru kepada semua ahli keluarga dan para sahabat sama ada didalam organisasi SMART mahupun diluar. Akhirnya kita telah pun meninggalkan tahun 2008 dan lebih tepat lagi 1429H. Sepanjang tahun tersebut, pelbagai rintangan dan halangan telah kita tempuhi dan lalui. Kegembiraan, kesedihan, kedukaan, harapan, cabaran, kegagalan dan kejayaan telah membaluti episod organisasi kita pada tahun lalu. Semuanya itu menjadi sejarah yang perlu kita renungi dan menghargainya kerana ianya mendidik dan mematangkan diri kita dalam meneruskan perjuangan ini. Dalam Minda Tazkirah kali ini, saya akan membawa kembali kisah-kisah kejayaan dan kegagalan organisasi ini pada tahun lalu. Semoga melaluinya, kita akan terus berusaha dan berusaha untuk memantapkan organisasi pada tahun ini. Insyallah.
Tahun lalu, SMART bermula dengan pelbagai masalah yang membelenggu dan ianya melibatkan keahlian SMART yang semakin hari semakin merosot. Ini ditambah pula dengan keputusan beberapa orang Fasilitator dan Fasilitator Pelatih SMART mengundurkan diri. Antara nama-nama besar termasuklah Sharizan Abdul Rahim (Jan), Mohd. Isa Abdul Rassak (Isa), Nurul Adibah Mohd. Khairi (Diba), Zulsyedi Zakaria (Zul), Irman Ishak (E-man), Muhd. Syazwan Azahar (Wan), Nor Hidayat Noordin (Yat), Nurul Ain Safiee (Ain), Sa’dat Abdul Manab dan Suvendran Kobalakrishnan (Suven). Masalah ini terus saya utarakan kepada Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengerusi, Lembaga Penasihat SMART. Pada awalnya, saya perlu menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan. Ini sedikit sebanyak membebankan saya kerana saya sendiri tidak mengetahui permasalahannya. Walau apa pun, saya tetap menerima segala teguran dan nasihat yang diberikan. Tiga bulan pertama, sememangnya membuatkan saya benar-benar tertekan. Pun begitu, saya tidak keseorangan kerana saya sering diberikan nasihat dan motivasi oleh Pn. Hafilah Said, Penasihat, Lembaga Penasihat SMART dan Dr. Haji Mazzan Mat Issa@Desa, Penasihat (Bersekutu), Lembaga Penasihat. Untuk menyelesaikan masalah ini, Lembaga Penasihat menyaran agar Jawatankuasa SMART 2008 dikecilkan dan diperkukuhkan terlebih dahulu. Ini termasuklah menangguhkan perlantikan Lembaga Fasilitator yang telah dimansuhkan oleh Zulhilmi Mukhatar, bekas Ketua Fasilitator. Hasilnya, pentadbiran SMART dapat dibentuk kecuali perlantikan Presiden SMART yang baru. Ini disebabkan ketiadaan calon-calon yang sesuai untuk dilantik. Masalah ini tidak lama kerana hasil persetujuan semua Fasilitator Kanan, Fasilitator Kor dan Fasilitator Pelatih yang ada, maka Eric Francis George telah dilantik sebagai Presiden SMART yang baru dan berkuatkuasa April 2008.
Kehadiran Presiden SMART sebagai satu rahmat.
Kesusahan demi kesusahan ditempuhi oleh beberapa orang Fasilitator SMART yang berusaha mengumpulkan dana bagi menampung kos penerbangan Presiden SMART ke Pulau Pinang. Nyata kesusahan itu tidak dihargai sepenuhnya oleh Presiden SMART. Semuanya bermula apabila Presiden SMART mula menjejakkan kaki ke Pulau Pinang. Pertemuan awal, dengan lagaknya seperti presiden dari sebuah negara yang maju, pelbagai andainya dan arahan diberikan kepada saya. Namun saya hanya mengikut sahaja kerana sebagai tetamu, saya perlu melayannya sebaik mungkin. Pada masa yang sama, saya bertanyakan mengenai jadualnya sepanjang berada di Pulau Pinang. Dia memaklumkan bahawa jadual tersebut ditinggalkan di Sabah. Alahai..kurang bertanggungjawab juga Presiden SMART ini. Sepanjang dia berada di Pulau Pinang, pelbagai masalah dan kerenah yang perlu saya tempuhi. Akhirnya kesabaran saya kian menipis. Bermula dengan episod dia menyatakan yang dia amat tidak berpuas hati dengan semua Fasilitator SMART sehinggalah dia melangkau dan masuk campur dalam urusan Lembaga SMART. Lebih membuatkan saya berasa tertekan apabila Lembaga Penasihat mula mempertikaikan kewibawaan saya selaku Penyelaras. Ini adalah kerana saya tidak mengambil berat tentang penyakitnya iaitu sawan. Jujurnya, dia tidak pernah memaklumkan kepada saya mengenai penyakitnya itu. Mungkin agak kejam bunyinya tetapi inilah keputusan yang saya ambil sehinggakan berlaku sedikit perselisihan faham dengan kakitangan Pusat Racun Negara apabila saya menghalaunya keluar dari rumah saya. Ini disebabkan oleh ugutannya kepada saya. Kali ini, boleh dikatakan dia silap perhitungan. Saya nekad dan dengan sokongan semua Fasilitator SMART dibelakang, saya tidak kisah apa pun tindakan yang bakal saya hadapi kelak. Akhirnya, dia pulang ke Sabah dan beberapa hari selepas itu dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan mengundurkan diri dari SMART. Mengapa saya katakan rahmat kehadiran Presiden SMART? Ini kerana, Syazwan dan Suven kembali ke dalam SMART. Manakala Jan pula sudi membantu SMART apabila diperlukan. Alhamdunillah.
Kejayaan yang tak mungkin dicapai.
Hasil kesabaran dan ketekunan saya sebagai pekerja kontrak di Pusat Racun Negara telah membuahkan hasil apabila saya diterima sebagai kakitangan tetap Universiti Sains Malaysia (USM). Bermula September 2007, saya berkhidmat di Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan memegang jawatan sebagai Pembantu Penyelidik Sosial. Walaupun pada awalnya agak membosankan, akhirnya saya menerima rezeki yang tidak disangka dan saya berkongsi dengan SMART. Pun begitu, bila diselidik, rupa-rupanya Prof. Madya Razak Haji Lajis telah memaklumkan mengenai kelebihan saya dalam perlaksanaan program-program sekolah dan komuniti kepada Prof. Sharif Mahsufi Mansor, Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan. Hasilnya, saya telah diberikan projek bernilai RM 40, 000.00! untuk perlaksanaan Program Bebaskan Diri Dari Rokok dan Dadah (BERTEKAD). Berita ini sememangnya mengejutkan ramai orang termasuklah SMART sendiri. Yealah..saya kan suka melawak dengan duit ringgit nie. Lebih-lebih lagi dengan Isa yang pernah memegang jawatan Bendahari SMART. Hehehehehe. Projek tersebut merupakan projek dibawa peruntukkan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM. Saya pula bekerja dibawah Dr. Sabariah Ismail.
Awalnya pada fasa pertama, projek ini memang menakjubkan dan menyeronokkan tetapi apabila bermula fasa kedua, pelbagai masalah berlaku. Disini, saya mengakui ada beberapa masalah yang melibatkan diri saya dengan orang lain termasuklah masalah komunikasi. Pun begitu, masalah tersebut tetap saya harungi walaupun realitinya saya kehilangan keyakinan saya terhadap projek tersebut lebih-lebih lagi apabila orang kurang percaya dengan kebolehan saya disamping campur tangan pihak lain. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Fasilitator SMART yang telah membantu, mencurah bakti dan memberikan sokongan kepada saya lebih-lebih lagi semasa kita semua bersama-sama mengendalikan Perkhemahan Jati Diti Remaja 2008 di Pulau Aman. Kenangan tidur semalaman di tandas dan berhujan disana benar-benar membuktikan betapa keutuhan semangat kekeluargaan dan kesukarelawanan kita didalam organisasi ini. Terima kasih sekali lagi!
Aktiviti-aktiviti lain yang tidak kurang menarik!
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 40 aktiviti yang telah dilaksanakan dan disertai oleh SMART. Ini setakat yang direkod dalam jadual saya dan belum lagi aktiviti-aktiviti yang tidak sempat direkodkan. Pun begitu, saya percaya, kejayaan setiap aktiviti ini tidak akan terlaksana sekiranya Fasilitator-Fasilitator kita tidak memberikan komitmen yang tinggi.
Antara aktiviti-aktiviti menariknya yang boleh saya nukilkan disini ialah:
Seminar Menangani Masalah Sosial Remaja yang telah dijalankan di Masjid Seberang Jaya pada 24 Februari yang lalu. Seminar ini juga turut sama disertai oleh golongan ibubapa dan belia-belia yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti menangani gejala sosial.
Program Outreach Remaja bersempena Nafas Baru Bermula Ramadhan 1429H yang diadakan di Sek. Men. Keb. Permatang Tok Jaya, pada 17 September, anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara. Dalam program ini, SMART turut bekerjasama dan menjemput Pelatih Program BERTEKAD seramai tiga orang dan beberapa PRS di Sek. Men. Keb. Permatang Tok Jaya. Program ini dijalankan dengan jayanya dengan penyertaan hampir 100 peserta.
Bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, SMART juga julung-julung kali mengadakan Rumah Terbuka SMART pada 25 Oktober yang lalu. Projek ini merupakan hasil daripada Mohd. Shah Rizan Hamzah, Fasilitator Kanan SMART yang mengetuai projek ini. Tetamu-tetamu yang hadir turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Razak Haji Lajis, Pengerusi, Lembaga Penasihat SMART yang menyampaikan ucapan disamping cabutan bertuah dan Pertandingan Karaoke Bintang Aidilfitri 2008.
Perancangan SMART untuk melaksanakan Kursus Pra Fasilitator Siri 5/2008 direalisasikan juga. Kursus ini diketuai oleh Mohd. Syazwan Azahar dan telah dijalankan pada 13-16 Disember lalu bertempat di Teluk Duyung, P. Pinang. Walaupun pada dasarnya kursus ini mengalami beberapa masalah, ianya dapat diselesaikan hasil bantuan dan sokongan beberapa orang Fasilitator dan bekas ahli SMART.
Sebagai penutup tirai 1429H, YB. Datuk Arif Shah Hj. Omar Shah telah menjemput SMART untuk bersama-sama menyertai Majlis Kesyukuran dan Ceramah Maal Hijrah yang telah diadakan di KADUN beliau pada 28 Disember yang lalu. Penceramah yang dijemput dari Jabatan Agama Negeri Pulau Pinang, benar-benar menyeronokkan dengan lawak jenaka disamping beberapa tips-tips untuk menjadi insan baru di tahun baru.
SMART diakhirnya.
Walaupun pada awalnya SMART mengalami pelbagai masalah, syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan laluan yang mudah untuk saya meneruskannya. Berkat nasihat, sokongan dan kasih sayang dari Lembaga Penasihat dan ahli keluarga SMART, keahlian SMART kini mula bertambah. Jika pada tahun 2007 SMART mempunyai 25 orang ahli, tahun 2008 pula keahlian SMART bertambah dari 11 orang ke 17 orang. Ini termasuklah penyertaan semula Yat, Ayu dan Diba. Ini membuktikan yang SMART masih lagi releven untuk meneruskan perjuangannya lagi.
Pun begitu, pelbagai usaha perlu dilipat gandakan dan sikap-sikap perlu diubah bagi memastikan SMART sentiasa berdiri kukuh disamping hubungan dan jalinan kerjasama dipereratkan antara ahli dan organisasi lain. Ini juga sejajar dengan matlamat Rancangan SMART Kedua: 2008-2014 yang telah dibentangkan kepada Lembaga Penasihat. Harapan saya, mungkin disatu hari nanti SMART akan menjadi sebuah organisasi yang kukuh dalam memperjuangan pelbagai isu berkaitan remaja dan belia disamping menjadi sumber rujukan orang ramai.
Saya selaku Pengasas dan Penyelaras SMART mewakili Lembaga Penasihat, Fasilitator Kanan, Fasilitator Kor, Fasilitator Pelatih, Pelatih dan ahli-ahli SMART mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah membantu menjayakan misi SMART 1429H/2008. Sekiranya ada terkasar bahasa, tersilap kata, tersilap perbuatan dan menyinggung hati dan perasaan mana-mana pihak, saya memohon ribuan kemaafan dari anda semua. Terima kasih semua, terima kasih 1429H dan selamat datang 1430H/2009!
Wassalam.
Tuesday, December 9, 2008
Minda Tazkirah - Perjuangan Baru Perjalanan Berliku
Oleh: Abdul Harris Haji Abdul Wahab, Pengasas & Penyelaras SMART
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,
Alhamdunillah. Bertemu kita sekali lagi dalam ruangan Minda Tazkirah yang merupakan salah satu medium penulisan saya untuk mengetengahkan idea dan padangan saya berkaitan isu semasa lebih-lebih lagi berkaitan remaja dan belia. Sebelum saya mulakan nukilan saya ini, marilah kita bersama-sama mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab dan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Al-Fatihah.
Tidak beberapa lama lagi kita akan meninggalkan tahun 2008 dan juga tahun Hijrah 1429. Bagaikan seketika sahaja kita berada di tahun 2008/1429H. Dalam tidak kita sedari, pelbagai pengalaman dan perjalanan telah kita tempuhi untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan kita sebagai seorang insan di muka bumi ini. Adakalanya pengalaman itu amat manis untuk dilupakan dan adakalanya kita ingin lupakan segala pengalaman pahit yang menyelubungi diri kita. Tidak dinafikan, ramai di kalangan kita yang seringkali lupa dan alpa dari segala kejadian yang berlaku sejak-sejak akhir ini. Perjuangan yang dimulakan dengan penuh berkobar-kobar tetapi akhirnya padam secara perlahan-lahan. Apakah sebabnya? Adakah kita bersalah dalam hal ini? Atau kita hanya mangsa keadaan yang rasuk meragut segala hak-hak kita?
Realiti, itulah perjuangan kita hari ini yang seringkali kita tidak sedari. Kita sedang berjuang. Berjuang untuk memajukan diri sendiri, agama, bangsa, negara dan keluarga. Walhal, ada dikalangan rakan-rakan kita yang lebih suka membuang masa tanpa faedah. Bak kata orang Ngori, “mengabeskan boras jo!”. Kalau dulu, isu mat-mat rempit menjadi topik utama didada-dada akhbar dan kini, isu remaja-remaja dengan tarian shuffle pula. Sempat saya menonton drama FRONTPAGE yang disiarkan di NTV7. Menarik drama tersebut. Sudahlah menggunakan bahasa Inggeris yang mudah difahami malah secara tidak langsung kita mengetahui kerjaya sebagai seorang wartawan. Salah satu episod ialah berkisarkan masalah remaja-remaja shuffle yang sering bergaduh dengan remaja-remaja rock. Pergaduhan sering berlaku walaupun masalah kecil. Sehinggalah satu hari, salah seorang remaja dari kumpulan shuffle telah terbunuh pada malam hari.
Maunya tak mengamuk kumpulan remaja shuffle tu! Sasaran utama mereka ialah kumpulan remaja rock yang memang anti sangat-sangat dengan kumpulan shuffle ini. Realitinya, mereka tidak tahu kisah sebenar. Kematian kawan mereka bukanlah disebabkan oleh pergaduhan tetapi disebabkan oleh overdose najis dadah. Itupun selepas dirungkai oleh Jehan Miskin yang memegang watak Dylan. Sukar bukan? Apabila dua gajah sedang bertembung, pasti akan ada haiwan lain yang mengambil kesempatan. Rakan mereka yang mati tu bukanlah seorang drug addict tetapi dia telah dianiaya. Pusher dadah sememangnya tidak berpuas hati kerana mereka sering melepak dikawasan perniagaannya sehinggakan pelanggannya takut untuk berurusan jual beli dadah. Lantas, dianiaya budak tu. Saya yang menonton kisah terbabit rasa agak kesian kerana tiba-tiba sahaja seorang remaja boleh menjadi mangsa keadaan. Tapi saya tertanya-tanya juga, kenapa remaja terbabit berada diluar rumah pada pukul 1-2 pagi? Bukan itu bahaya dan mencari bala namanya?
Berkaitan isu budak-budak shuffle seperti yang dipaparkan dalam Harian Metro beberapa minggu lalu. Lokasinya di Bukit Bintang. Dah menjadi seperti parti liar kumpulan shuffle nie. Majoritinya anak-anak Melayu kita sendiri. Seringkali diadakan battle antara kumpulan. Battle secara sihat sememangnya tidak salah tetapi dalam battle terbabit, terselit minuman keras (arak) dan pergaulan bebas sehinggakan wujudnya perhubungan bukan muhrim. Lebih teruk, mana-mana kumpulan yang kalah cukup sukar mengakui kekalahannya sehinggakan melibatkan pergaduhan yang besar. Cuba bayangkan. Bukit Bintang. Lokasi utama tumpuan pelancong. Jangan salah pelancong apabila mereka menyatakan Malaysia mempunyai ramai pengganas. Realitinya memang ada ramai pengganas. Pengganas kecil yang bermaharajalela tanpa memikirkan maruah diri, agama, negara dan keluarga!
Saya bukanlah penentang kumpulan shuffle malah saya sendiri agak tertarik dengan tarian shuffle ini. Pergerakkannya seperti kita berlari setempat. Secara tidak langsung dapat menyihatkan tubuh badan dan ‘mengaktifkan’ jantung kita. Latihan perlu dijalankan dengan konsisten, barulah rentak tarian dan pergerakkan kita tidak sumbang. Namun begitu, aktiviti yang boleh dikatakan sebagai perjuangan baru seringkali dirosakkan oleh mereka yang rata-rata seperti tidak bertamadun. Aktiviti yang sah dan halal secara tidak langsung akan diharamkan pada satu hari nanti. Ini semua gara-gara masalah sosial yang menyelit dicelah-celah hiburan sihat.
Dalam SMART sendiri, kita mempunyai beberapa orang Pelatih dan Fasilitator yang terlibat dalam kumpulan-kumpulan shuffle. Pun begitu, pemerhatian dan seliaan dijalankan dari semasa ke semasa. Ini adalah untuk memastikan mereka tidak menyimpang dan tersasar jauh dari landasan yang telah ditetapkan. Selagi aktiviti tersebut merupakan aktiviti yang sihat dan memberikan faedah, SMART akan terus memberikan sokongan 100%.
Perjuangan kumpulan-kumpulan shuffle masih lagi baru dan perjalanan mereka di masa hadapan akan lebih berliku sekiranya masalah-masalah sosial sering membelenggu mereka. Sebagai remaja yang semakin lanjut usia, saya menyarankan agar kumpulan-kumpulan shuffle ini berusaha mengukuhkan pergerakkan mereka secara sah dan berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan mahupun NGO dalam memastikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak.
Wassalam.
Wednesday, July 30, 2008
MINDA TAZKIRAH – INSAN CEMERLANG, UMMAH GEMILANG
Bismillahhirrahmannirrahim.
Assalammualaikum wbt. dan salam perpaduan semua,
Mutiara Muqqadimah:
Jika kita melakukan sesuatu pekerjaan kerana keuntungan pasti tiada apa yang kita akan capai tetapi jika kita melakukan sesuatu pekerjaan kerana pembangunan insan lain, pasti kita gembira dengan kejayaannya kelak (Pengasas McDonald).
Alhamdunillah. Bertemu kita sekali lagi dalam kolum Minda Tazkirah yang merupakan salah satu medium penulisan saya untuk mengetengahkan idea dan padangan saya berkaitan isu semasa lebih-lebih lagi berkaitan remaja dan belia. Sebelum saya mulakan nukilan saya ini, marilah kita bersama-sama mulakan Minda Tazkirah ini dengan Ummul Kitab dan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Al-Fatihah.
Apa khabar semua? Harapan saya semoga semuanya sihat sejahtera. Bagaimana dengan kehidupan sekarang? Dah boleh sesuaikan diri dengan kenaikkan harga barang? Kalau belum, cubalah untuk mengubah kehidupan kita. Lebih berjimat cermat. Saya sendiri pun sekarang ini dah banyak kurangkan perbelanjaan terutama sekali makanan. Boleh dikatakan, setiap hari saya membawa bekal ke pejabat. Kurang-kurang perbelanjaan makan minum saya jimat sedikit. Begitu juga dengan perjalanan. Kalau tidak perlu, saya tidak keluar ke mana-mana. Jimat petrol. Walaupun begitu, semuanya bergantung kepada diri kita sendiri sama ada mahu berjimat atau tidak. Pilihan ditangan anda.
Minda Tazkirah saya kali ini lebih umum tanpa menjurus kepada mana-mana pihak atau individu. Dari Mutiara Muqqadimah di atas, kita sudah dapat menduga kenapa syarikat-syarikat makanan segera sentiasa berjaya. Dan kita, sebagai pelanggan memang suka dengan makanan segera kerana ianya cepat, mudah dan sedap. Ada juga orang-orang tua yang saya jumpa mengatakan, orang muda sekarang ini suka semuanya segera sehinggakan penyakit pun datang dengan segera. Betul juga cakap mereka tu. Saya, secara tidak langsung merupakan pelanggan syarikat makanan segera tersebut. Tetapi atas nasihat Prof. Madya Razak, kekerapan mengunjungi McDonald atau KFC berkurangan dan sekarang ini, lagilah saya kurangkan kerana harganya kadang-kadang tidak masuk akal. Saya akan ke sana sekiranya ada kawan-kawan yang mengajak. Itu pun selepas mereka bersetuju untuk belanja saya (hehehehe). Mengapa saya memilih kisah berkaitan syarikat makanan segera? Apa kaitannya dengan tajuk yang ingin saya bincangkan kali ini? Teruskan membaca. Mungkin ada manfaat yang boleh dikutip dari nukilan saya kali ini.
Ramai diantara kita yang ingin menjadi insan cemerlang namun bukan semuanya berjaya kerana beberapa faktor seperti diri sendiri, rakan sebaya, keluarga dan persekitaran. Faktor-faktor inilah yang seringkali mendorong atau memesong semangat kita untuk menjadi insan cemerlang. Saya sendiri telah melalui pelbagai pengalaman dan kisah insan-insan yang berjaya. Mereka ialah remaja dan belia seperti kita hari ini. Untuk menjadi insan cemerlang, faktor yang paling penting ialah diri sendiri. Ketetapan dan ketegasan. Itu yang utama. Alam remaja merupakan alam yang indah dan kadang kala penuh dengan cabaran. Bagi yang tiada ketetapan dan ketegasan diri, mereka akan hanyut dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Mereka akan sedar tatkala berada dihujung cabaran dimana segala kekesalan menyelubungi diri. Bagi yang mempunyai ketetapan dan ketegasan diri, mereka akan melihat setiap cabaran yang mendatang itu sebagai satu peluang untuk mempertingkatkan kekuatan dan kemahiran dalam diri mereka. Inilah insan yang cemerlang. Tidak hanya menunggu hasil tetapi membanting tenaga bagi menambah hasil. Nampak bukan? Sebab itulah petani yang rajin tidak hanya menunggu hasil padi sahaja tetapi mereka bercucuk tanam dan berkebun. Andainya kita mengikut cara dan petua mereka berusaha, nescaya kita tidak akan ketinggalan.
Faktor kedua ialah rakan sebaya. Ada pepatah menyatakan, andai kita berkawan dengan penjual minyak wangi, wangilah kita dan andai kata kita berkawan dengan pengangkat najis...faham-faham sendirilah kawan (hehehe). Rakan merupakan orang yang banyak meluangkan masa dengan kita berbanding keluarga kita sendiri. Tak percaya? Lihatlah remaja dan belia hari ini. Siapa yang mereka rujuk sekiranya mempunyai sebarang masalah atau perlukan pendapat? Keluarga? Tidak. Rakan? Ya! Dan itu semestinya. Rakan baik dan rakan jahat. Itulah label yang kita berikan kepada rakan-rakan kita. Sedar atau tidak, dalam masa yang sama kita juga merupakan rakan kepada rakan-rakan kita. Apa pula rakan-rakan kita labelkan kepada kita? Untuk menjadi insan cemerlang, tempatkan diri kita sebagai rakan kita. Mahukah kita dilabelkan sebagai rakan yang jahat atau rakan yang tidak guna? Tidak bukan? Oleh yang demikian, pastikan kita membuat sesuatu yang terbaik kepada rakan-rakan kita supaya mereka boleh membalas sesuatu yang terbaik buat kita. Secara tidak langsung, kita dan rakan-rakan kita akan sentiasa gembira!
Faktor ketiga ini saya gabungkan sekali untuk menjimatkan masa dan terus kepada pandangan saya mengenai insan cemerlang. Keluarga dan persekitaran. Dua perkara yang berbeza tapi pengaruh yang sama. Hari ini, saya sempat berbual dengan R.O saya berkaitan masalah remaja masa kini. Menurut R.O saya, beliau telah menasihatkan ramai remaja. Nasihat beliau, jangan kita ikut orang tetapi biar orang ikut kita dan ditambah dengan hujah-hujah beliau yang sangat bernas. Bila fikirkan kembali, betul juga apa yang beliau katakan. Remaja Melayu hari ini, sebagai contoh yang mudah. Orang lain warnakan rambut, dia pun warnakan rambut. Orang lain bertindik telinga, pusat, lidah dan merata lagi, dia pun ikut juga. Pendek kata, cuma jadi pak turut jea. Sehinggakan apa yang berlaku sekarang ini sama ada didalam atau diluar negara tidak ambil kisah pun. Pak turut le katakan. Tetapi apabila seseorang memberikan idea atau pandangan yang bernas, dialah orang pertama yang membangkang. Pelik? Kenapa tak turut jea? Sebabnya idea atau pandangan tersebut tidak kena dengan gaya atau cara yang dikehendaki remaja terbabit. Tak ke haru jadinya? Akhir sekali, ramai yang abaikan dia. Lepas tu mula le bising dan protes. Ayat yang selalu dilontarkan...TIDAK FAHAM KEHENDAK REMAJA! Macam mana nak faham kalo awak tu tak pernah bagi peluang untuk fahami awak? Betul tak? Rasa-rasanya kalau kata macam itu mesti remaja terbabit diam.
Dan institusi keluarga perlu memainkan peranan juga. Mereka tidak patut dan tidak boleh melepaskan hal berkaitan anak-anak mereka kepada satu pihak sahaja. Kerjasama adalah perlu. Kenapa saya berkata begitu? Ini adalah kerana ibubapa perlu memainkan peranan seperti melibatkan diri bersama anak-anak mereka dalam sesebuah aktiviti atau program. Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan, secara tidak langsung ianya akan memastikan ibubapa ini tahu aktiviti-aktiviti yang disertai oleh anak-anak mereka sama ada ianya berfaedah atau tidak. Anak-anak juga akan berasa gembira dan bahagia kerana ibubapanya memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya. Secara tidak langsung, ianya menjadi faktor kepada pembentukkan karektor remaja terbabit dan menjadikan dia sebagai insan cemerlang satu hari kelak.
Macam mana? Ada gaya macam Dr. H.M Tuah atau Dr. Fadzilah Kamsah tak? Hehehehe. Menjadi insan cemerlang tidak susah. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri dan selebihnya kepada motivasi yang kita akan terima dari rakan-rakan, keluarga dan persekitaran. Sebelum saya menamatkan nukilan saya ini, saya memohon maaf andainya Minda Tazkirah ini lambat dihantar kepada semua kerana saya masih sibuk dengan Projek Program BERTEKAD. Al-maklumlah, saya nie kan Penyelaras Projek (hehehehehe). Baiklah. Semoga sihat dan ceria sentiasa. Yang buruk dan lemah itu dari saya dan yang hebat dan berkuasa hanyalah dari-Nya. Salam motivasi semua!
Wassalam!
